Ketika surat tawaran diterimanya melalui emel, Adli melompat keriangan. Tidak sia-sia penantiannya selama beberapa bulan ini. Akhirnya dapat juga dia masuk ke UiTM. Diploma Komunikasi dan Media, kampus Alor Gajah, Melaka. Tidak pernah dia rasa begitu gembira. Sehingga dicium-ciumnya pipi Amira.
"Eeee geli! Rimas!" Amira menolak tubuh Adli.
Adli terlompat-lompat persis anak kecil. "Yahooooo! Aku dapat masuk UiTM!"
Amira mengerutkan kening. Apa yang exciting sangat masuk UiTM? Amira menyilangkan tangan. Sekadar memerhati Adli yang tidak henti-henti melompat. Lama lama tengok, Amira jadi terhibur. Dia tersengih. Jarang sekali dapat dia lihat abangnya berada dalam kegembiraan. Beberapa bulan lepas, Adli mengalami kemurungan. Semua kerana gagal diterima masuk ke mana-mana IPT melalui sistem UPU. Agak lama juga untuk Adli bangun semula dan meneruskan kehidupan. Ibu dan ayahnya terpaksa mencari ustaz agar membantu Adli mengembalikan semula semangatnya yang telah hilang. Berkat usaha Analiza dan Zaidi itu, akhirnya Adli mengambil langkah untuk memohon second intake UiTM. Jika kali pertama dia gagal mendapat TESL, kali kedua dia mencuba masscomm pula. Alhamdulillah. Memang rezekinya di situ.
"Bila kau kena lapor diri?" tanya Amira, yang mahu Adli berhenti melompat.
Adli meneliti surat tawarannya melalui Nokia Xpress Music. "27 Disember 2010."
"Tahniah!" Amira menepuk-nepuk bahu abangnya. Kedua-dua mereka berbalas senyuman. Ketika ini, hubungan mereka masih rapat. Siapa sangka lima tahun lagi, kedua-dua mereka berantakan?
Sepanjang perjalanan ke Melaka, Adli asyik tersenyum ke luar jendela. Cuaca juga agak baik. Membuat Adli bertambah teruja untuk menjejakkan kaki ke UiTM. Dia ada menghubungi senior-seniornya yang berada di situ. Kesemua mereka mengalu-alukan kehadiran Adli. Adli sudah tidak murung lagi. Dia dapat rasakan tahun 2011 nanti akan jadi tahun yang menarik. Sesekali Adli menoleh ke arah adiknya di sebelah. Sedang sibuk bermain dengan BlackBerry yang baru dibelinya. Kemudian, Adli memandang ibu dan ayahnya dari belakang. Adli tersenyum sendiri. Dia berazam untuk membanggakan ibu bapanya. Dia berjanji akan melakukan yang terbaik. Dia tidak akan mengecewakan mereka. Itu janji Adli.
"I will miss you guys so much..." bisik Adli ketika kereta yang dipandu oleh ayahnya masuk ke Plaza Tol Simpang Ampat. "This is it, Adli. It's now or never."
Beberapa minit kemudian, mereka tiba ke UiTM Alor Gajah, Melaka. Banyak kereta yang masuk ke dalam kampus itu. Semua kerana Minggu Destini Siswa sudah bermula. Adli jadi rambang mata menyaksikan sendiri pelbagai kerenah pelajar-pelajar yang baru masuk. Ada yang tidak mahu meninggalkan ibu bapa mereka. Ada yang mahu membawa kucing peliharaan bersama. Ada juga yang sibuk mengendeng dengan pasangan masing-masing setiap masa. Beginilah kehidupan di kampus nanti. Adli jadi semakin tidak sabar untuk memulakan minggu orientasi. Dan yang paling penting sekali, membuat kawan baru. Ya, dia akan membuat kawan baru. Adli tidak sabar untuk tahu siapakah kawan barunya nanti. Adakah kawan barunya itu sama sepertinya yang berasal dari Kuala Lumpur? Atau mungkin dari negeri-negeri lain? Adli semakin tidak keruan. Dia tidak peduli dari mana bakal kawan-kawannya datang. Yang penting, dia dapat memulakan kehidupan baru. Kehidupan sebagai seorang mahasiswa.
"Lekir..." kata seorang Pemimpin Minggu Destini Siswa bernama Raden Faiz Putra. Dia mengarahkan Adli untuk ke Kolej Lekir selepas Adli selesai mendaftar di Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Adli yang masih tidak lekang dengan senyuman hanya menurut. Dia memberitahu keluarganya tentang arahan yang telah diberi. Mereka pun menuju ke Kolej Lekir bersama.
Tiba saja di sana, Adli diarahkan untuk menghitamkan rambutnya yang berwarna perang. Wajah Yang Di-Pertua Kolej Lekir itu agak serius ketika berbicara dengan Adli biarpun keluarga Adli ada bersamanya. Analiza yang memang tidak suka Adli mewarna rambut menyokong tindakan YDP Lekir itu. Maka, mereka anak-beranak pun menuju ke kedai runcit berhadapan dengan UiTM untuk membeli inai rambut hitam. Agak ironi kerana selama ini Adli suka rambutnya berwarna perang. Namun, disebabkan dia gembira berada di dalam UiTM, dia tidak peduli jika rambutnya perlu dihitamkan. Dia ikut saja. Dah memang peraturannya begitu. Apa Adli boleh buat?
"Ha, kan handsome macam ni..." puji Analiza selepas Adli menghitam rambutnya di dalam tandas.
Adli mencebikkan bibir. Amira tidak henti-henti mengejek abangnya. Padan muka! Berangan mahu jadi anak mat salleh lagi. Rasakan!
"Jom, tengok bilik. Nak pilih katil..." kata Adli.
Keluarganya menurut. Amira melihat waktu pada BlackBerry-nya. "Aku rasa kau dapat katil atas la. Macam dah lambat je. Mesti semua orang dah amek katil bawah."
Adli terpaksa akur. Nak buat macam mana? Dah dia terlambat masuk ke bilik. Silapnya juga. Mana mungkin UiTM membenarkan pelajar mereka mewarnakan rambut? Lagi-lagi waktu orientasi. Memang terpaksa dihitamkanlah ceritanya.
"Tak apa. Asalkan ada katil..." itu saja jawapan yang mampu diberikan untuk memujuk diri sendiri.
Ketika melangkahkan kaki ke dalam biliknya, ada satu perasaan pishang yang sukar digambarkan. Tiga keluarga sudah berada di dalam. Ditambah dengan keluarga Adli. Makin meriah dibuatnya. Analiza memberi salam. Kesemua mereka yang berada dalam bilik itu menjawab salam Analiza. Mereka mengukirkan senyuman kepada Adli sekeluarga. Ruang diberi untuk Adli masuk bersama barang-barang yang dibawanya.
Sewaktu Adli sedang meletakkan barang-barangnya di atas meja, Analiza berkenalan dengan ibu-ibu rakan sebilik Adli yang lain. Begitu juga dengan Zaidi yang mula berbual dengan si ayah-ayah. Amira datang mendekati Adli yang sedang menyusun peralatan mandinya di dalam almari. Sangkaan Adli, adiknya itu mahu menolong. Rupanya sekadar mahu memprovok.
"Aku dapat rasakan yang kau macam takkan tahan duduk sini..." kata Amira.
Adli pelik. Apa yang Amira cuba maksudkan? Dia memandang ke arah teman-teman sebiliknya. Seorang demi seorang datang untuk bersalaman. Adli menyambut salam mereka dengan mesra.
"Naeem"
"Adli"
"Afiq"
"Adli"
"Hamnet"
"Sorry?"
"Hamnet"
"Okey" Adli meleraikan tangannya dari genggaman Hamnet.
"That's a very strange name..." bisik Amira ketika Adli menyambung semula kerjanya.
"Shut up!" marah Adli. Dia menjeling ke arah teman-teman sebiliknya yang baru saja disalam tadi. Sebenarnya, Adli langsung tidak ingat nama mereka. Nama mereka masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Yang Adli tahu, seorang lembut, seorang gempal dan seorang lagi poyo. Dah la nama pelik. Poyo pulak tu!
Amira akhirnya menolong Adli mengemas barang-barangnya. Analiza juga turut sama membantu Adli menyarung cadar tilam. Seperti yang sudah diagak, Adli dapat katil atas. Atas pun ataslah. Memang selama ini pun Adli tidur di atas. Jadi, tak ada hal la kalau dia dapat katil atas.
"Bang, aku rasakan...kau akan baik dengan si lembut tulah," bisik Amira lagi.
Adli menoleh ke arah Naeem, si lembut yang dimaksudkan oleh Amira. "Kenapa pulak?"
"Tengoklah tu. Teratur je semua barang dia. Tak macam yang lagi dua orang. Aku rasa dia ni budak nerd. Kau kena baik dengan dia. Sebab aku tau kau takkan suka kawan dengan orang gemuk. Dan kau lagi tak suka kawan dengan budak poyo," jelas Amira.
Adli memandang ke arah Naeem lagi. Kemudian dia berfikir sejenak. Ada benarnya kata Amira. Ya. Mungkin dia akan rapat dengan Naeem. We'll see nanti.
YOU ARE READING
Terbang
AdventureAdli menyangka selepas dia memiliki segulung ijazah, dia mampu menyara keluarganya dengan gaji yang lumayan. Namun, dia terkandas kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan. Pertemuan semula dengan sahabat lama telah membuka ruang kepada...