Di daun yang ikut
Mengalir lembut
Terbawa sungai ke
Ujung mata
Dan aku mulai takut
Terbawa cinta
Menghirup rindu yang
Sesakkan dada
Jalanku hampa
Dan kusentuh dia
Terasa hangat
Oh di dalam hati
Kupegang erat dan
Kuhalangi waktu
Tak urung jua
Kulihatnya pergi
Adli meliuk-lintukkan kepalanya mendengar lagu Ruang Rindu dari Letto. Sejak pulang dari berjumpa dengan Naeem tadi, tiada apa yang difikirkannya selain dari ruang. Ruang mempunyai banyak maksud. Ruang masa, ruang tamu, ruang tidur, Ruang Event Space, ruang di hatimu, macam-macam lagi. Entah kenapa bila bercakap tentang ruang, lagu Ruang Rindu yang pertama sekali terlintas di fikiran Adli. Dia terus men-download lagu itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Sepanjang berada di dalam tren, Adli memainkan lagu itu berulang kali. Jika dia punya stesen radio sendiri, lagu itu pasti menjadi juara carta.
"Stesen Masjid Jamek," umum suara dalam interkom. Mujur Adli sedar yang dia perlu turun di stesen itu. Sebelum pintu tertutup, dia sempat berlari keluar. Kemudian, dia tertawa sendiri kerana hampir terlepas stesen. Orang ramai di sekeliling langsung tidak mempedulikan. Mereka meneruskan kehidupan masing-masing. Adli juga turut melakukan perkara yang sama. Perjalanannya diteruskan. Dia perlu menukar tren untuk turun ke stesen Hang Tuah. Sambil berjalan, dia kembali mendengar semula lagu Ruang Rindu. Dia masih tidak bosan lagi mendengar lagu itu. Ting! Satu notification masuk. Naeem telah memuat naik gambar dia dan Adli di Instagram. Adli tersenyum sendiri. Sewaktu gambar itu dikongsikan dalam Whatsapp group Awesome B***hez, Fasihah, Izzyan dan Latun meluahkan rasa cemburu mereka kerana tidak dapat lepak bersama. Sekarang gambar itu dikongsi dalam Instagram pula. Siapakah yang akan cemburu lihat Adli dan Naeem lepak bersama? Mungkin rakan-rakan sekelas mereka. Adli yang sedang menaiki eskalator menghantar komen pada gambar yang dimuat naik oleh Naeem dalam Instagram-nya. 'Thanks for today, man'. Beberapa ketika, Naeem membalas, 'No problem. Thanks for the Starbucks!'. Adli sekadar tersengih membaca komen yang dibalas oleh Naeem itu. Dia mempercepatkan langkah untuk tiba di platform menunggu LRT Star. Ada lagi dua minit sebelum tren tiba. Adli berdiri betul-betul di belakang garisan kuning. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Penumpang masih ramai. Nampak gayanya terpaksalah Adli berdiri saja nanti dalam tren. Mujur jarak antara Masjid Jamek dan Hang Tuah hanya dua stesen. Adli mengalih pandangan ke hadapan. Awalnya dia tidak perasan. Namun setelah diamati lebih lama, Adli jadi tidak selesa. Perempuan yang telah menghancurkan rumah tangga ibu dan arwah ayahnya sedang bermadu asmara dengan seorang lelaki. Perempuan itu langsung tidak terperasankan Adli. Dia sedang sibuk membelai rambut lelaki yang bersamanya. Adli jadi benci melihat kegedikan perempuan yang terlampau itu. Dia terus mengalihkan pandangan mata. Sesekali dia mencuri pandang. Dia tidak akan pernah melupakan perempuan itu. Perempuan itulah yang telah menghancurkan hati ibunya. Perempuan itu cuba merampas arwah ayahnya dari keluarga mereka. Kerana perempuan itu, ayah bergaduh dengan ibu. Kerana perempuan itulah, ayah diserang strok, sekaligus meragut nyawanya. Adli tidak akan memaafkan perbuatan perempuan itu. Dia mengetap bibirnya dan menggenggam erat buku lima. Tren tiba dan terus menutupi pandangan mata Adli. Perempuan itu hilang bersama teman lelakinya.
YOU ARE READING
Terbang
AdventureAdli menyangka selepas dia memiliki segulung ijazah, dia mampu menyara keluarganya dengan gaji yang lumayan. Namun, dia terkandas kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan. Pertemuan semula dengan sahabat lama telah membuka ruang kepada...