Afiq datang mendekati Adli yang sedang leka menikmati keindahan malam di kampung itu. Bintang di langit berkelip-kelip mengelilingi bulan separa. Di Kuala Lumpur, pemandangan sebegini jarang dapat dilihat. Kalau ada pun, bila berada di kawasan hutan. Kalau di bandar, memang susah nak dapat pemandangan sebegitu.
Adli sedar akan kehadiran Afiq. Bunyi tapak seliparnya bertemu dengan pasir kedengaran kuat. Adli enggan menoleh ke belakang. Dia masih mahu melayan perasaannya itu. Perasaan sendu kerana terpaksa menerima hakikat bahawa tidak lama lagi Adda akan disatukan dengan seseorang.
Tahu dirinya sedang dipalau, Afiq cuba untuk berdehem supaya Adli menoleh ke belakang. Ternyata, Adli masih enggan menoleh. Dia menghembus nafas panjang. Mahu bersendiri tanpa sebarang gangguan.
Dengan perlahan, Afiq mengambil tempat di sebelah Adli. Mereka sedang bersandar pada kereta Adli yang diparkir di hadapan rumah.
Afiq menepuk belakang Adli. "Kau okey?" tanyanya.
Adli tidak terus menjawab. Dia memandang saja wajah Afiq yang penuh prihatin.
"Entahlah. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana," jawab Adli, lemah.
Buat seketika, mereka berdiam diri. Membiarkan cengkerik mengalunkan irama malam.
"Aku tahu kau suka adik aku. Aku dapat tengok cara kau pandang dia." Afiq tiba-tiba memecah kesunyian.
Adli pantas memandang Afiq. Dia jadi tidak selesa berbual mengenai perasaannya terhadap Adda dengan Afiq, abang kepada Adda sendiri.
Tidak mahu Adli dihimpit perasaan awkward, Afiq mengukirkan senyuman.
"Relakslah. Aku tak marah pun kau ada perasaan dekat dia." Afiq cuba menenangkan Adli sambil tertawa.
Adli hanya mampu tersenyum apabila Afiq menepuk-nepuk belakangnya. Dia juga turut sama tertawa kecil mengenangkan betapa awkward-nya keadaan waktu itu.
"Kecilnya dunia ni. Kan?" tanya Afiq sambil menatap langit malam.
Adli menyoroti pandangan Afiq. Dia setuju dengan apa yang dikatakan. Dunia ini memang kecil. Siapa sangka Adda ialah adik Afiq?
"Kau tahu kan apa yang mak ayah aku plan untuk Adda?" tanya Afiq, biarpun dia yakin Adli sudah faham apa yang telah dibincangkan oleh ibu ayah Adda tadi sewaktu sedang menikmati makan malam.
"Tahu. Diorang nak satukan Adda dengan boyfriend dia." Adli menelan rasa pahit ketika menjawab pertanyaan Afiq itu.
Afiq dapat rasakan kesakitan yang sedang dialami oleh Adli sekarang. Dia cuba untuk meletakkan dirinya dalam situasi Adli. Namun, dia tidak mahu Adli terus hanyut dibuai perasaan. Afiq yakin satu hari nanti, Adli juga akan bertemu dengan jodohnya. Mungkin bukan untuk masa terdekat ini. Satu hari nanti. Ya. Satu hari nanti.
Afiq sekadar menganggukkan kepalanya tanpa memandang wajah Adli.
"Kau pernah jumpa lelaki tu?" Adli tiba-tiba bertanya.
Afiq tidak terus menjawab. Dia memandang wajah Adli yang menginginkan jawapan dari sahabatnya itu. "Pernah. Kau?"
Adli tersengih sendiri. "Pernah. Selalu."
Ada kesakitan dalam jawapan Adli itu. Afiq cuba menenangkan dengan mengusap belakang Adli.
Adli hanya tersenyum pahit sebagai tanda dia akan kuat melalui kesakitan itu.
Derap langkah dua sahabat mereka kedengaran kuat. Selipar yang dipakai terseret dengan pasir.
"Oi, buat apa berdua tu?" tanya Naeem yang sedang menikmati kek hari jadi Adda.
Hamnet turut sama menikmati kek hari jadi Adda dari piring yang dibawa bersama Naeem.
"Sibuklah. Kacau orang nak dating!" marah Adli, bergurau.
Afiq hanya tertawa mendengar reaksi Adli itu.
"Eleh, dating ke merajuk sebab Adda nak kahwin dah?" provok Naeem.
Hamnet dan Afiq tidak menyangka Naeem cukup celupar untuk memprovok Adli. Adli langsung tidak membalas provokasi Naeem itu. Dia diam saja. Malas hendak melayan Naeem.
"Sedaplah mak kau masak, Afiq." Hamnet sengaja menukar topik, sebelum keadaan menjadi tegang. Sejak dari pagi tadi, ada saja yang tidak kena antara Adli dan Naeem. Hamnet kalau boleh tak nak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Dia tahu dulu Adli dan Naeem pernah bergaduh sehingga dua tahun tidak bertegur sapa. Perkara paling dia tidak ingin berlaku adalah sejarah berulang kembali.
"Kek yang kau beli untuk Adda ni pun sedap." Naeem berkata tanpa menghiraukan tentang provokasinya tadi yang telah membuatkan Adli tersentap.
"Sikit..." pinta Afiq sambil menjeling ke arah Adli. Takut-takut Adli tiba-tiba menyerang Naeem.
Naeem menghulurkan piringnya kepada Afiq. Afiq menikmati kek hari jadi adiknya penuh berselera. Betul cakap Naeem. Kek itu memang sedap. Afiq menyuapkan mulutnya dengan kek yang diambil Naeem tadi buat kali kedua.
"So apa plan esok?" tanya Hamnet.
"Oh, there's this one café dekat Kuantan. Jom pergi?" Naeem mengajak.
"Kafe apa?" tanya Afiq dan Hamnet, serentak.
Belum sempat Naeem menjawab, mereka terdiam apabila sebuah kereta memasuki perkarangan rumah Afiq. Lampu kereta itu menyilaukan lagi pandangan mereka.
"Siapa tu, Afiq?" tanya ibunya dari dalam rumah.
"Kakak!" kedengaran suara Adda dari dalam rumah berlari keluar dalam keadaan penuh excited.
"Kakak?" bisik Adli, seperti tidak percaya apa yang didengarnya.
Kereta yang masuk tadi dimatikan enjinnya. Adli dan rakan-rakannya hanya memerhatikan Adda membuka pintu kereta itu. Afiq datang mendekati Adda. Begitu juga dengan ibu ayah mereka yang sudah pun keluar dari rumah untuk menjenguk siapa yang datang. Adli rasa mereka sudah tahu siapa. Dia pun dah tau siapa. Sial! Kenapa dia kena datang masa aku ada dekat sini?
"Siapa tu?" tanya Naeem kepada Hamnet, berbisik.
Hamnet mengangkat bahunya. "Mana aku tahu."
"Rania Sufiyya." Adli menjawab sambil mengetap bibirnya.
Habislah percutian mereka kali ini.
YOU ARE READING
Terbang
AdventureAdli menyangka selepas dia memiliki segulung ijazah, dia mampu menyara keluarganya dengan gaji yang lumayan. Namun, dia terkandas kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan. Pertemuan semula dengan sahabat lama telah membuka ruang kepada...