"Cashier support!" suara Bieb kedengaran di corong walkie-talkie.
"Adli, cashier support!" Chin menepuk bahu Adli sewaktu Adli sedang jauh mengelamun.
Adli pantas berlari menuju ke arah cashier counter. Beberapa orang pelanggan sudah berbaris menunggu giliran mereka untuk membuat bayaran. Bieb terkial-kial seorang diri. Puas dia memanggil support dari rakan-rakannya yang berada di sales floor. Tiada jawapan. Diyana yang berada dalam manager room dengan Miss Yu Yang turut keluar membantu selepas Bieb meminta pertolongan buat kali ketiga.
"Sorry Bieb. Tengah discuss dengan Miss Yu Yang pasal layout malam ni," ujar Diyana biarpun Bieb tidak dengar pun sebenarnya apa yang Diyana cakap. Dia sedang sibuk memberitahu customer yang sedang membuat transaksi tentang polisi syarikat mereka yang tidak membenarkan mana-mana pakaian dalam ditukar semula selepas dibeli.
Kurang dari 15 minit, barisan tadi kosong. Bieb mengucapkan terima kasih kepada Adli dan Diyana kerana telah membantunya. Adli dan Diyana sekadar tersenyum kerana itu sudah sememangnya tugas mereka di kedai itu. Diyana masuk semula ke dalam manager room manakala Adli kembali menjaga kasetnya sehingga jam 1.30 tengah hari. Selepas mereka yang bekerja syif petang masuk, Adli bersiap sedia untuk berehat selama satu jam. Perutnya yang sudah lapar minta diisi dengan nasi. Maklum sajalah, pagi tadi dia sekadar menjamah sandwich berintikan sardin. Itu pun tidak cukup untuk mengalas perutnya sepanjang pagi. Pukul 10.30 tadi dia sudah lapar semula.
"Makan mana? Lan?" tanya Adli kepada rakan-rakan syif paginya dalam staff room. Mereka semua sedang mengambil duit dan telefon bimbit masing-masing dalam locker.
"Kita beli je dekat Cold Storage macam biasa," kata Aishah yang kelihatan seperti sudah tidak merajuk dengan Adli lagi kerana sudah boleh menegur Adli seperti biasa.
"Aku makan dekat food court dengan Kak Emma. Kau tak nak ikut?" tanya Atika, yang juga merupakan salah seorang dari staf yang rapat dengan Adli.
Adli berfikir sejenak. Dia memerhatikan rakan-rakannya yang lain. Kemudian, dia mengambil keputusan untuk makan di Gerai Lan. Atika dan Emma akur dengan keputusan Adli itu. Mungkin Adli mahu 'berasap' bersama teman-temannya di Gerai Lan. Nanti bila mereka balik, baju busuk dengan bau rokok. Lebih baik makan dalam air-cond saja kata Atika kepada Emma sebelum mereka keluar dari staff room itu.
Sambil berjalan menuju ke Gerai Lan, Adli memeriksa telefon bimbitnya. Dari tadi dia berhasrat mahu menghubungi Naeem. Sudah lama mereka tidak bersua muka. Terasa rindu pula pada teman baiknya itu. Nama saja bekerja dalam satu bangunan yang sama. Tapi tak pernah ada masa untuk duduk melepak. Naeem kini bekerja dengan Petronas. Adli berhasrat mahu mengajak Naeem lepak-lepak minum dengannya petang nanti. Mungkin di Starbucks, di mana mereka boleh sama-sama chill sambil melayani perasaan masing-masing.
Kau kat mana?
Adli menghantar Whatsapp kepada Naeem. Sambil menunggu, dia berbual dengan kawan-kawan sekerjanya.
Ofis. Kenapa?
Adli tersenyum membaca mesej Naeem itu. Pantas dia membalas Whatsapp Naeem. Wajahnya berseri-seri kerana terlalu teruja mahu berjumpa dengan temannya petang nanti.
Jom lepak Starbucks petang ni? Aku belanja.
Adli sengaja memancing Naeem. Dia tahu Naeem sukakan Starbucks. Bila dengar perkataan 'belanja', mesti Naeem tidak mahu lepaskan peluang.
Betul ke ni Adli? Tak pernah-pernah dia ajak lepak sama. Apa mimpi?
Naeem sengaja menyindir Adli kerana Adli memang jenis yang jarang ajak kawan-kawannya lepak. Biasanya kawan-kawan dia yang akan menjadi tukang ajak. Adli tidak gemar menjadi ketua projek jika berkaitan dengan pertemuan bersama para sahabat.
Alah, sekali sekali apa salahnya. Jomlah!
Agak lama sedikit Adli menunggu respons dari Naeem. Mungkin Naeem sedang mempertimbangkan. Adli sabar menantikan jawapan dari temannya itu. Dia yang sudah sampai ke Gerai Lan mencedok nasi serta lauk-pauk yang pelbagai rasa. Selepas membuat bayaran dan duduk di meja belakang, Naeem akhirnya membalas Whatsapp dari Adli.
Okey. Jumpa petang nanti. Aku akan call kau.
Adli bersorak riang. Orang ramai di gerai itu semua memerhatikan. "Kau kenapa?" tanya Raja, yang duduk di sebelah Adli. Adli sekadar mampu tertawa. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Kegembiraannya itu sukar diungkapkan dengan kata-kata. Mungkin dia sudah terlalu lama berada dalam keadaan stress. Mungkin juga kerana dia bosan dengan kerjanya. Menghadap muka yang sama hari-hari. Jadi bila dia ada peluang bertemu dengan seseorang yang jarang sekali lepak bersama, dia jadi gembira. Wajah Adli berseri-seri berbanding dengan wajahnya pagi tadi selepas diarahkan oleh Miss Yu Yang untuk menulis incident report.
"Alamak!" Adli baru teringat. Dia belum menulis incident report lagi. Ternyata wajah kegembiraannya tadi sekadar untuk beberapa saat sahaja.
YOU ARE READING
Terbang
AdventureAdli menyangka selepas dia memiliki segulung ijazah, dia mampu menyara keluarganya dengan gaji yang lumayan. Namun, dia terkandas kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan. Pertemuan semula dengan sahabat lama telah membuka ruang kepada...