Biasanya bila Adli cuti, dia akan habiskan masa dengan keluarga. Pagi itu, dia menemani ibunya ke Tesco membeli barang-barang keperluan. Memandangkan Amira sudah tidak tinggal lagi bersama mereka, kos sara hidup sudah boleh dijimatkan. Jumlah wang yang dibelanjakan pada hari itu cuma RM250 sahaja. Kemungkinan barang-barang yang mereka beli boleh tahan sehingga dua bulan. Banyak duit mereka jimatkan di situ. Setiap bulan, Adli akan masukkan sejumlah wang ke dalam akaun Tabung Haji ibunya. Selain daripada itu, dia juga membayar semula hutang PTPTN-nya dengan menolak saja gaji yang diterima. Walaupun kewangan bulanan keluarganya dirancang dengan rapi, Adli masih lagi rasa ianya tidak mencukupi. Dia masih tidak mampu membeli kereta baru. Mungkin sebab kereta arwah ayahnya masih boleh digunakan lagi. Mungkin juga kerana gajinya hanya cukup untuk membayar sebuah kereta Myvi saja sebulan. Lainlah mereka yang bergaji besar. Mampu pakai kereta berjenama kerana gaji mereka setiap bulan cukup untuk berbuat sedemikian. Tapi Adli masih tetap rasa tidak puas hati. Masih ada yang tidak cukup. Rumah? Ya, mungkin juga. Sebenarnya dari dulu lagi Adli tidak berapa berkenan keluarganya tinggal di kawasan flat. Bukannya berlagak macam orang kaya. Cuma jika mereka tinggal di rumah yang lebih besar, barulah selesa sikit. Tidak perlu menghidu bau hancing dalam lif setiap hari. Tidak perlu bersusah-payah menaiki tangga untuk sampai ke rumah jika lif tiba-tiba rosak. Tidak perlu berebut mencari parking dan macam-macam lagi. Tapi gaji Adli tidak cukup untuk membeli rumah baru. Dia juga bukan jenis yang suka berhutang. Jadi, agak sukar sikit untuk dia mengambil keputusan meminjam wang dari bank. Bila sesi konsultasi dengan ibunya, Adli dinasihatkan untuk menunggu dulu. Sekurang-kurangnya selepas ibunya meninggal dunia nanti di mana Adli tidak perlu menanggung sesiapa lagi waktu itu. Adli yang memang taat akan perintah ibunya sekadar menurut. Sekurang-kurangnya poket Adli tidak kesempitan di hujung bulan buat masa ini. Dalam diam, Adli hanya mampu menahan seksa kerana masih tidak berdaya mengubah nasib keluarga. Sebab itu dia menjaga baik hubungannya dengan Analiza. Biarlah dia tidak mampu membahagiakan ibunya dari segi harta, sekurang-kurangnya dia sentiasa ada untuk ibunya itu. Semenjak Amira berpindah ke Setia Alam, Adli menghabiskan lebih banyak masa bersama ibunya. Saban hari, Adli dapat melihat garis tua pada wajah ibunya yang semakin bertambah. Mungkin selama ini dia tidak terperasan akan perkara itu. Kini, setelah mengamati wajah ibunya setiap kali mereka makan malam bersama, Adli akan berasa sayu. Apa akan berlaku jika ibunya sudah tiada lagi selepas ini? Tentu Adli akan dihimpit kesunyian. Sudahlah dia tidak punya teman wanita. Siapa yang akan mengisi lubang di hatinya nanti? Setiap kali dia terfikirkan persoalan itu, Adli akan mengasingkan diri. Membiarkan dirinya terus hanyut dibawa arus kemurungan. Sesiapa yang sudah mengenali Adli, mereka akan faham. Adli tentu sedang berada dalam keadaan tertekan. Walau bagaimanapun, tekanannya sekejap saja. Adli senang untuk dipujuk. Buatlah dia tertawa. Maka, mood-nya akan kembali seperti biasa.
"Ibu nak singgah mana-mana lagi tak?" tanya Adli sewaktu dia sedang memandu ibunya pulang dari Tesco. Air-cond dalam kereta itu sengaja tidak dibuka. Adli membuka sedikit tingkap supaya angin masuk meniup rambut dan tudung ibunya.
"Tak naklah. Kita balik terus," jawab Analiza, mudah.
Adli sekadar menurut perintah. Sambil memandu, Adli menghiburkan diri sendiri dengan bersiul. Radio tidak dipasang kerana bunyi angin sudah terlalu kuat. Bukannya dengar pun kalau dia pasang radio itu. Semakin laju pemanduannya, semakin kuat angin yang masuk. Analiza yang tidak tahan terus menutup tingkap di sebelahnya. Adli turut melakukan perkara yang sama. Tidak lama kemudian, dia menghidupkan air-cond.
"Habis tudung ibu!" marah Analiza.
"Sorry. Cakaplah awal-awal tadi," kata Adli.
Analiza diam saja. Adli dapat rasakan sesuatu yang asing. Analiza kelihatan seperti sedang mengalami masalah. Dari tadi, dia termenung jauh ke luar tingkap. Sesekali kedengaran suaranya mengeluh. Adli jadi tidak senang duduk. Dia tidak mahu ibunya itu berada dalam keadaan tertekan. Takut nanti muncul penyakit-penyakit yang tidak menyenangkan.
"Ibu okey?" Adli akhirnya bertanya selepas Analiza mengeluh buat kali ketiga.
Analiza diam. Dia menjeling perlahan ke arah anak sulungnya. Kemudian, kembali menatap semula pemandangan di luar tingkap. Sah! Memang dia ada masalah. Adli perlu tahu apa masalah ibunya itu. Adli tidak mahu ibunya memendam saja perasaan. Menanggung sakit seorang diri.
"Ibu...?" Adli memegang tangan ibunya.
Analiza memandang wajah Adli. Ada sesuatu yang mahu dikatakan. Anak matanya. Adli dapat rasakan ibunya benar-benar berada dalam kesakitan.
"Kenapa ibu?"
"Adli..." Analiza bersuara. "Mira ajak duduk dengan dia."
Adli terkedu seketika. Namun dia masih tenang meneruskan pemanduan. Cuma kelajuan dikurangkan kerana takut sesuatu yang tidak diingini terjadi. Lebih-lebih lagi ketika dia masih tidak faham apa yang cuba ibunya katakan.
"Ibu nak pindah?" tanya Adli.
"Entahlah. Mungkin. Ibu tak larat lagi nak duduk dekat flat tu. Rasa kosong. Macam tak ada apa-apa," jawab Analiza, mengecilkan hati Adli.
"Habis Adli ni bukan apa-apa?"
Analiza terdiam. Dia tidak bermaksud langsung untuk melukakan hati anaknya. "Bukan itu maksud ibu. Tak ada apa lagi untuk kita dekat situ, nak. Sebab tu masa Mira ajak ibu duduk dengan dia, ibu rasa macam itu keputusan yang terbaik."
Adli berfikir sejenak. Bukankah Amira tinggal dengan kawan-kawannya? Takkan dia mahu ajak ibu duduk bersama dengan kawan-kawannya tu? "Mira beli rumah baru ke?"
"Eh, tak! Dia nak ibu duduk dengan kawan-kawan dia."
"Biar betul ibu ni? Ibu pun tahu kawan-kawan dia macam mana kan?"
Analiza tidak terus menjawab. Semenjak Amira putus cinta dengan Idin, perangai liarnya semakin menjadi-jadi. Amira mula discover seksualitinya. Dia berkelakuan tidak ubah seperti lelaki. Rambutnya juga sudah pendek. Amira mula belajar untuk menutup buah dadanya menggunakan bengkung. Dia sudah berubah menjadi pengkid. Dan kawan-kawannya adalah yang sewaktu dengannya. Risau juga bila Analiza akan dikelilingi oleh orang-orang sebegitu.
"Ibu?" Adli memanggil ibunya yang tiba-tiba saja termengelamun.
"Ya. Ibu tahu kawan-kawan dia macam mana. Tapi entahlah, Adli. Ibu rasa macam nak pindah."
Nah, rasa bersalah mula menghimpit jiwanya. Adli tahu ibunya sudah tidak tahan tinggal di kawasan flat. Analiza mahu memiliki halaman rumah sendiri. Memandangkan rumah Amira di Setia Alam adalah rumah teres dua tingkat, padanlah dia mengambil keputusan untuk berpindah. Peluang sudah ada di hadapan mata. Masakan Analiza mahu menolak?
"Tapi tak tahulah bila," sambung Analiza lagi yang ternyata seperti memang mahu berpindah keluar dari rumahnya sekarang.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, Adli diam saja. Padanlah ibunya termenung jauh tadi. Kini, Adli pula yang asyik memikirkan tentang masalah itu. Dia faham apa yang ibunya rasakan. Lebih mudah rasanya untuk dia menetap di rumah bawah. Lagipun dalam rumah Amira nanti akan ada beberapa orang lagi insan yang boleh tolong tengok-tengokkan ibunya. Jadi, Adli tidak perlu risau. Adli faham. Mungkin ini adalah keputusan yang terbuat untuk Analiza buat masa ini. Namun, hatinya masih tetap remuk. Kerana masih tidak mampu membahagiakan ibunya. Kini, ibunya mengambil keputusan untuk berpindah keluar pula dari rumah mereka.
YOU ARE READING
Terbang
AdventureAdli menyangka selepas dia memiliki segulung ijazah, dia mampu menyara keluarganya dengan gaji yang lumayan. Namun, dia terkandas kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan. Pertemuan semula dengan sahabat lama telah membuka ruang kepada...