Pergilah ayah...kami redha. Benar, keredhaan itu telah membawa Zaidi pergi dari hidup mereka. Di tanah perkuburan yang tanahnya masih merah itu, dia bacakan surah Yaasin untuk Zaidi. Kepalanya didongakkan seketika mencari ruang untuk bernafas. Allahuakbar. Berat sungguh dugaan-Mu kali ini, Ya Allah. Adli menahan dirinya dari menitiskan air mata. Sudah beberapa hari dia memendam saja perasaan sayu. Dia tidak mahu menambahkan lagi kesedihan keluarganya. Dialah yang menjadi tukang pujuk. Dialah yang menenangkan mereka setiap kali mereka menangis, meratapi pemergian ayah.
Ketika hendak pulang ke rumah, Adli terlihat seorang wanita mengandung duduk di tepi kubur. Tekun membaca ayat suci al-Quran. Wanita itu sudah berada di situ ketika dia sampai dan masih di situ ketika dia sudah selesai membacakan surah Yaasin untuk arwah ayahnya. Sesekali dia melihat wanita itu seperti mengesat air mata. Wanita itu sudah sarat benar hingga hendak bangun pun terasa begitu payah. Ya Allah, Kau permudahkanlah hidup ibu mengandung itu. Serta-merta, Adli teringatkan ibunya di rumah. Yang tentunya masih bersedih lagi ketika ini. Adli mempercepatkan langkah. Namun, dia masih berjalan dengan cermat di atas rumput. Maklumlah, musim hujan. Rumput-rumput masih lagi basah kerana hujan malam tadi. Adli bimbang dia tergelincir nanti. Sesekali dia menoleh ke belakang. Merenungi pusara ayahnya yang masih tidak bertanda. Emosinya bercampur-baur. Siapa sangka kepulangannya ke Kuala Lumpur akan jadi begini? Esok dia akan kembali semula ke Melaka. Sudah dua hari dia tidak ke kelas. Rakan-rakannya yang menghubungi langsung tidak dihiraukan. Adli malas hendak menjelaskan apa yang berlaku. Dia sekadar menghantar pesanan melalui Whatsapp sahaja.
Sampai sahaja di kereta, nafas Adli terasa sesak. Adli...kau kena kuat semangat. Dia cuba mengawal emosinya. Mungkin hatinya terasa berat kerana esok dia tidak dapat melawat kubur ayahnya lagi. Mungkin juga inilah yang dimaksudkan dengan kehilangan. Kehilangan satu-satunya ayah kandung. Adli sendiri pelik. Selama ini, ibu dan ayahnya tidak pernah bergaduh. Merekalah pasangan paling bahagia pernah Adli jumpa. Ternyata apa yang sudah terjadi memberi tamparan hebat terhadap dirinya. Dia masih lagi terkejut. Namun, dia harus akur dengan kehendak Ilahi. Dia segera masuk ke dalam kereta Proton Saga milik arwah ayahnya. Mungkin selepas ini, kereta itu akan menjadi miliknya. Adli memegang stereng kereta kemas sebelum menghidupkan enjin. Penghawa dingin kereta itu dibuka ke laras yang sederhana. Gear satu dimasukkan. Dia sempat menjeling ke arah pusara ayahnya sewaktu kereta itu melewati kawasan tanah perkuburan. Selamat tinggal...ayah. Ada masa, Adli akan datang lagi.
Keluar dari tanah perkuburan Ampang, Adli memandu pulang ke rumahnya di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng. Mujur ketika dia pulang, tidak susah untuk dia mencari parking. Satu kotak parking sudah kosong tidak jauh dari flat kediamannya. Usai mengunci kereta itu, Adli naik ke rumahnya dalam keadaan yang lemah. Malam nanti akan diadakan tahlil di surau. Tiga hari berturut-turut Adli menghadiri majlis tahlil itu. Malam nanti adalah yang terakhir buatnya. Mungkin di Melaka nanti dia akan melakukan perkara sama. Insya-Allah.
"Assalamualaikum..." Adli memberi salam sebaik saja dia masuk ke dalam rumah. Tiada jawapan. Mungkin ibunya sedang tidur. Atau mungkin juga dia tiada di rumah kerana sibuk dengan persiapan untuk majlis tahlil malam nanti. Adli terus masuk ke dalam bilik. Amira ada di dalam bilik itu. Dia sedang sibuk membelek telefon pintarnya di atas katil. Langsung tidak mempedulikan kepulangan abangnya. Sudah tiga hari Amira langsung tidak bercakap dengan sesiapa. Mungkin dia juga terkesan dengan apa yang telah terjadi kepada keluarga mereka. Memandangkan Amira sendiri seorang gadis rebel, mungkin itu caranya berdepan dengan nasib yang melanda diri.
Adli menukar baju Melayu yang dikenakannya untuk ke kubur tadi dengan t-shirt plain hitam. Kain pelekat masih disarung supaya lebih selesa untuk dia bergerak di dalam rumah. Selesai saja menukar pakaian, Adli terus menuju ke ruang tamu. Dia berhasrat untuk merehatkan minda dengan menonton televisyen. Amira mengekorinya dari belakang. Belum sempat pun Adli menghidupkan televisyen menggunakan alat kawalan jauh, Amira tercegat di hadapannya. Dia sedang menyilangkan tangan dengan muka yang quite bitchy.
"Sanalah. Aku nak tengok TV," pinta Adli tanpa berkasar. Dia sudah tidak mahu bertengkar dengan adiknya. Dia sudah berjanji dengan ibunya untuk tidak berbuat sedemikian.
Amira tiba-tiba menghulurkan telefon pintarnya kepada Adli. Adli bingung. Buang tabiat ke apa adik aku ni? Adli menjeling ke arah skrin telefon pintar adiknya itu. Dia cuba menunjukkan sesuatu. Profil Facebook seseorang.
"Tengoklah!" marah Amira melihat abangnya tercengang-cengang.
Adli mengambil telefon pintar itu dari tangan Amira. Dia memerhatikan profil Facebook seorang wanita bernama Rania Sufiyya. Entah betul atau tidak nama dia Rania Sufiyya. Jangan-jangan nama samaran yang sengaja diletak untuk menarik perhatian. Gambar selfie Rania Sufiyya dijadikan sebagai default picture akaun itu.
"Kenapa dengan dia?" tanya Adli, masih tidak mengerti apa yang Amira mahu tunjukkan.
Amira menyilangkan semula tangannya. Dia merengus kasar. Seakan-akan benci terhadap pemilik akaun Facebook itu. "Dialah yang rosakkan rumah tangga ibu dengan ayah."
Terus membara hati Adli mendengar saja kata-kata Amira itu. Dia menatap gambar Rania Sufiyya lama. Kemudian, dia membuka gambar-gambar lain. Mengamati wajah perempuan sial itu. Hatinya semakin terbakar. Dia menggenggam kuat telefon pintar Amira. Mengetap bibirnya menahan rasa geram. Usai melihat gambar, Adli skrol profil Rania Sufiyya ke bawah. Salah seorang dari mutual friends perempuan itu ialah ayahnya. Adli terus tidak dapat menahan rasa hatinya yang panas membara kala ini. Dia memulangkan semula telefon pintar itu kepada adiknya.
"Kenapa kau tunjuk pada aku?" tanya Adli.
Amira mencapai telefon pintarnya dan menatap profil Rania Sufiyya dengan penuh perasaan benci. "Because it's time for you to know the truth..."
Adli menoleh ke arah Amira.
"...eventhough I know it's already too late," sambungnya lagi.
Adli terdiam seketika. Cuba memproses niat Amira menunjukkan kepadanya siapakah yang telah bertanggungjawab menghancurkan rumah tangga ibu dan ayah mereka. Yang telah menyebabkan ibu dan ayah bergaduh. Sehingga ayah diserang sakit jantung ketika dalam perjalanan ke rumahnya. Dan si Rania Sufiyya itu langsung tidak kelihatan sewaktu arwah ayah mereka dikebumikan. Mungkin dia ada. Cuma dia duduk jauh dari mereka. Tidak mahu merosakkan lagi acara yang sudah tentunya pincang waktu itu.
"At least you're being honest..." kata Adli, mengakhiri perbualannya dengan Amira. "Thank you..."
YOU ARE READING
Terbang
AdventureAdli menyangka selepas dia memiliki segulung ijazah, dia mampu menyara keluarganya dengan gaji yang lumayan. Namun, dia terkandas kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan. Pertemuan semula dengan sahabat lama telah membuka ruang kepada...