Bab 20

350 16 0
                                    

                

Ini merupakan kali pertama Adli ponteng kerja. Dia sudah tidak larat lagi menanggung rasa sakit. Jadi, dia mengambil peluang ini untuk mencari ruang seperti yang dimaksudkan oleh Naeem ketika pertemuan mereka tempoh hari.

            Bila tekanan terlalu tinggi, kita cari ruang.

Terngiang-ngiang suara Naeem ketika dia quote balik dialog Sharifah Amani dalam filem Terbaik Dari Langit. Ya, aku harus cari ruang. Tekanan terlalu tinggi. Dengan ibu yang tiba-tiba mahu keluar dari rumah. Macam-macam yang Adli harus fikirkan. Dia mengambil keputusan untuk memanjat Bukit Tabur. Senang. Dekat dengan KL dan tidak bahaya untuk dipanjat seorang diri. Sepanjang dakian, Adli langsung tidak memandang ke belakang. Fokusnya hanya satu. Ingin sampai ke puncak. Dan di sana nanti dia mahu menenangkan fikiran. Menikmati pemandangan yang menyejukkan mata. Mungkin dapat meredakan sedikit rasa marah yang bersarang dalam jiwanya saat ini. Ada satu perasaan sukar digambarkan ketika sedang mendaki. Penat lelah yang dilalui bakal berakhir dengan sesuatu yang indah. Keindahan yang hanya boleh dinikmati dengan berada di situ secara fizikal. Merasai sendiri tiupan angin pada kulit yang melekit dengan peluh. Menghirup udara segar yang jarang sekali dapat ditemui di Kuala Lumpur. Mendengar alunan suara alam menyanyikan lagu secara harmoni. Ahhhhh, satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

Telefon sengaja ditinggalkan di dalam kereta. Adli tahu akan ada yang mencarinya. Namun, dia enggan mempedulikan mereka. Dia mahukan masa untuk dirinya. Masa untuk dirinya dengan alam.

Bila manusia dah mula jauhi kita, cuba dekatkan diri dengan alam.

Adli teringat caption gambar yang pernah Nura upload di Instagram. Dia tertarik ketika membaca caption itu. Betul kata Nura. Manusia perlu dekatkan diri dengan alam bila mereka rasa bagai dipinggirkan. Dan itulah yang sedang dilakukan oleh Adli. Mendekatkan diri dengan alam. Menikmati warna hijau dan biru yang pelbagai rona. Cukup mendamaikan. Caption Nura itu juga membuatkan Adli berkobar-kobar untuk tiba ke puncak. Perkara pertama yang dilakukannya ketika berada di puncak adalah mencampak beg yang digalas ke atas tanah. Tangan didepakan. Mata dikatup rapat. Dalam keadaan berkeringat, Adli membiarkan dirinya terbang seketika.

            Do you know why men turn to nature in time of distress? Because everything in nature is in constant prayer. Every tree, branch, leaf and stone. And that calms the troubled soul.

Adli teringat kata-kata Redha Rosli satu ketika dulu. Redha Rosli adalah rakan sekampusnya yang kini sudah berjaya dalam hidup. Mungkin dulu Adli tidak mengendahkan apa yang Redha Rosli cakap. Tapi setelah mengamati keindahan alam yang ternyata menenangkan, dia percaya. Benar. Alam ini sedang memuja nama Tuhan Yang Esa. Berada di puncak di mana sekelilingnya alam sekitar yang sedang berdoa benar-benar mendamaikan.

"Ya Allah, betapa indahnya ciptaan-Mu."

Lama Adli berada di puncak Bukit Tabur. Makanan yang dibawa bersama dihabiskan. Sampah-sarap dimasukkan semula ke dalam beg galas. Matahari semakin mencanak. Dari tadi wajah Adli basah dengan keringat. Sengaja dia membiarkan dirinya kepanasan. Hatinya lebih panas waktu itu. Biarpun sudah puas memuji keindahan alam ciptaan Tuhan, dirinya masih dihimpit rasa tidak senang. Patutkah dia berhenti kerja? Atau teruskan saja? Dan tunggu lagi tiga bulan sebelum dinaikkan pangkat? Adakah dia mampu untuk menambat hati Miss Yu Yang? Mahukah Miss Yu Yang menaikkan pangkatnya nanti?

Pelbagai persoalan bermain di fikiran Adli. Dia memicit pelipisnya kerana sudah tidak sanggup lagi menanggung kesakitan. Dia bangun dan bersedia untuk turun semula. Buat kali terakhir, dia menatap pemandangan dari puncak Bukit Tabur. Di sebelah sini, dia dapat melihat kehijauan hutan. Di sebelah sana pula, dia dapat melihat bangunan-bangunan pencakar langit serta projek pembangunan yang menjengkelkan. Ironinya berada di tengah-tengah arus pemodenan dan alam sekitar yang belum tersentuh lagi. Adli berharap agar keindahan takungan air dari empangan itu akan kekal. Janganlah ada yang mahu merosakkan. Terutama sekali pemikir-pemikir kapitalis yang hanya mahukan keuntungan semata-mata. Apa gunanya untung di atas kehancuran dunia? Kadang-kadang Adli pelik. Kenapa masih ada manusia yang begitu tamak sehingga sanggup meracuni diri sendiri dan alam sekitar? Tidakkah mereka tahu bahawa tanpa alam, kita tidak mungkin akan dapat bertahan di muka bumi ini? Mungkin mereka tidak tahu. Atau mungkin mereka tahu tapi hati mereka sudah terlalu gelap untuk berfikir secara rasional.

"Selamat tinggal, Bukit Tabur. Ada jodoh, kita jumpa lagi," ungkap Adli sebelum turun dari puncak Bukit Tabur itu.

Tidak sampai setengah jam, dia tiba di kaki bukit. Habis basah bajunya terserap peluh. Adli merenggang-renggangkan tubuhnya sebelum berjalan menuju ke arah keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ. Perkara pertama yang dilakukan ketika berada di dalam kereta adalah memeriksa telefon bimbitnya. Ada beberapa missed calls. Tidak lain tidak bukan dari Uniqlo. Adli membiarkan saja. Dia menghidupkan enjin kereta, penghawa dingin dan radio. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirahim, Adli memandu kereta uzurnya pulang ke rumah.

Pinnnnnnnnnnn!!!!!!!!

Sebuah motorsikal bertembung dengan kereta Adli. Penunggangnya terpelanting ke atas jalan. Adli menekan brek sekuat hati sehingga berbunyi tayar keretanya. Bau hangit memenuhi segenap ruang. Adli panik. Dia terlanggar orang! Macam manalah dia boleh tak nampak ada motor nak masuk simpang tadi? Ya Allah, apa aku nak buat ni? Adli jadi semakin tidak keruan. Melihat penunggang motorsikal itu langsung tidak bergerak, tubuhnya menggeletar. Mati dah ke? Adli bernafas dengan kencang. Dia membuka pintu kereta dan berjalan keluar dalam keadaan takut.

"Woi! Buta ke?" marah salah seorang dari saksi kejadian yang sedang memeriksa keadaan penunggang motorsikal tadi.

Adli membatukan diri. Masih tersentak dengan apa yang telah terjadi. Dia memerhatikan saja saksi tadi memeriksa nadi mangsa. Orang ramai mula berkerumun.

"Kau tak nampak ke dia tadi?" seorang lagi saksi bertanya, lebih lembut dari saksi pertama.

Adli sekadar mampu menggelengkan kepala. Dah memang dia tak nampak. Motor tadi pun laju sangat. Adli datang mendekati. Sempat dia menjeling ke arah sisi keretanya. Kemek dan calar sedikit. Adi menelan air liur dalam-dalam. Duit...

"Hidup lagi?" tanya saksi kedua.

Saksi pertama menganggukkan kepala. Alhamdulillah. Adli menarik nafas panjang. Dia semakin berani mendekati penunggang motorsikal itu. Masih bernafas. Cuma kelihatan lemah. Ada luka pada kaki dan tangannya. Kepala tidak cedera. Mungkin hentakan tadi membuatkan dia tidak sedarkan diri.

Orang ramai menyuruh saksi pertama tadi membuka helmet si mangsa. Saksi itu akur. Helmet ditanggal. Adli mengerutkan keningnya melihat wajah penunggang yang masih tidak sedarkan diri itu.

"Hamnet?"

TerbangWhere stories live. Discover now