Bab 14

370 18 0
                                    

                 

Petang itu, Adli bersiar-siar di Suria KLCC seorang diri. Sengaja dia mengambil peluang untuk mencuci mata. Dia juga berhasrat untuk membeli baju baru di Uniqlo nanti. Pada mulanya, Adli tidak mahu meninggalkan Analiza seorang diri di rumah namun Adli perlu menghilangkan kusut dalam fikirannya. Terapi apa yang lebih baik dari shopping? Tempat pertama yang dituju olehnya adalah kedai buku Kinokuniya. Walaupun dia tahu ada beberapa lagi buku di rumah yang belum dibaca, Adli tetap masuk ke dalam kedai buku itu. Dia yang memang suka membaca jadi tenang menyelak helaian demi helaian muka surat buku-buku yang dicapainya dari rak secara rawak.

            Adli tidak sedar masa berlalu dengan pantas. Dia leka membaca sebuah novel nukilan Ridwan Saidi bertajuk Amerika. Entah kenapa Adli begitu tertarik membaca novel itu. Dia mengambil keputusan untuk membeli novel tersebut selepas tamat membaca bab ke-16. Bertambah lagi koleksi novel bertema noir dalam penyimpanan Adli. Dia yakin ibunya akan membebel melihat dia membawa pulang ke rumah sebuah novel baru. Katanya, rumah mereka sudah tidak cukup tempat lagi. Mereka bukannya menginap dalam perpustakaan. Setakat rumah flat yang ruangnya tidak berapa kondusif. Sebab itu Analiza menitikberatkan tentang ruang kerana dia tahu keadaan rumahnya yang sempit tidak mampu untuk menampung banyak barang yang entahkan berguna entahkan tidak. Tapi Adli tahu bagaimana hendak memujuk orang tuanya itu. Pandai-pandailah dia nanti.

            Usai melakukan traksaksi di kaunter pembayaran, Adli turun ke concourse level untuk masuk ke dalam Uniqlo. Dia tersenyum melihat Raja sedang melipat baju seorang diri di sebuah penjuru. Dia terus mendekati Raja. Raja yang langsung tidak sedar Adli berada di hadapannya membuntangkan mata usai melipat sehelai baju. Kemudian, Raja tersenyum ceria.

            "What's up, man?" tanya Raja sambil bersalaman dengan Adli biarpun pada hakikatnya baru semalam mereka lepak bersama.

            Adli tidak menjawab sebaliknya menyambut baik tangan Raja.

            "Beli apa tu?" tanya Raja apabila Adli tidak menjawab soalan pertamanya.

            "Novel. Aku kan ulat buku," jawab Adli, bangga.

            Raja sekadar menganggukkan saja kepala memandangkan dia tidak mempunyai minat yang sama seperti Adli. Sambil itu, tangannya masih ligat melipat baju dan matanya awas memerhatikan para pelanggan yang mundar-mandir dalam kedai itu.

            "Kau break pukul berapa?" tanya Adli yang berhasrat untuk lepak minum bersama Raja sekejap.

            "Dah habis dah," jawab Raja, mengecewakan Adli.

            "Eh, kakak ada?" Adli mula memanjangkan lehernya, meninjau-ninjau takut Miss Yu Yang ternampak dia dan Raja berbual sewaktu Raja sedang bekerja.

            "Ada," jawab Raja dengan mimik muka benci.

            Adli sekadar mampu tersengih dengan reaksi Raja. Dia faham. Siapa saja dalam kedai itu yang suka dengan Miss Yu Yang? Potong jari tak ada seorang pun yang suka padanya. Disebabkan risau Miss Yu Yang tiba-tiba muncul, Adli pantas mencapai sehelai sweater. Konon-konon seperti mahu mencuba supaya bila Miss Yu Yang datang nanti, dapatlah dia berpura-pura sedang menyuruh Raja membantunya mencari saiz.

            "Kau ni cuti-cuti pun datang Uniqlo ke? Bapak takde life!" Raja sengaja menganjing Adli.

            Adli tertawa. Dia tidak mahu menceritakan kepada Raja tentang masalah yang melanda dirinya. Level friendship mereka belum sampai ke tahap itu. Jadi, Adli menyimpan saja dari pengetahuan Raja. Adli menjawab, "Saja. Bosanlah duduk rumah. Bukan ada apa pun. Aku ingat macam nak beli baju baru."

TerbangWhere stories live. Discover now