Petang itu, Adli meminta kebenaran kawan-kawannya untuk mengambil angin seorang diri. Awalnya, dia mahu bersiar-siar di sekitar Pantai Balok seperti semalam. Namun, entah kenapa dia boleh tersasar jauh dari rancangannya. Dia memandu keretanya hingga ke daerah Cukai di Terengganu.
Sepanjang perjalanan ke sana, Adli menyedari ada kereta yang mengekorinya dari belakang. Dia tahu itu adalah Rania Sufiyya. Adli membiarkan Rania Sufiyya mengekorinya. Dia memang mahu bersemuka dengan perempuan itu. Eloklah mereka berada jauh dari Cherating. Setidak-tidaknya Afiq tidak akan mengesyaki apa-apa.
Sebaik saja Adli berada di kawasan pantai, dia memberhentikan kereta. Rania Sufiyya turut melakukan perkara yang sama. Dia memarkir kereta bersebelahan dengan kereta Adli. Seperti di Balok, angin di kawasan pantai itu cukup kuat. Ombaknya bergulung besar. Bagi mereka yang tak biasa dengan pemandangan sebegitu pasti akan berasa takut melihat.
Adli membiarkan Rania Sufiyya datang mendekati. Dia langsung tidak mahu memandang wajah perempuan itu. Takut nanti amarahnya semakin membuak-buak. Tak pasal-pasal ada yang kena penangan sekejap lagi. Adli tidak mahu perkara itu terjadi. Dia mahu bersikap rasional dan matang. Apa pun yang berlaku, dia akan cuba bertenang.
Rania Sufiyya berdiri di hadapan Adli. Kedua-dua mereka memakai cermin mata hitam, menyembunyikan emosi masing-masing dan menaikkan ego. Adli masih berlagak tenang. Sebagai seorang lelaki, Adli rasa lebih molek kalau Rania Sufiyya yang mulakan bicara dulu.
"I have to say, I never thought this day would come. I know you know me." Rania Sufiyya berkata-kata.
Eleh, speaking konon. Phuih! Adli sengaja mengapi-apikan diri sendiri namun dia biarkan saja apa yang terbuku di hati. Enggan memprovok Rania Sufiyya. Takut nanti tersambar pula api yang sedang membara itu.
"You're Zaidi's son," kata Rania Sufiyya.
"Obviously," jawab Adli.
"No, it's not obvious. You see, when Adda first told me that you asked her about me, I was wondering who the hell is this boy. And then I did some research and I found out something. You're the son of my long lost friend—Zaidi. It makes sense, now." Panjang lebar Rania Sufiyya bercerita.
Adli tersenyum mengejek. "Long lost friend?"
Rania Sufiyya mengangkat keningnya. Tidak faham apa yang Adli tidak faham dengan maksud 'long lost friend' tadi.
"Kau jangan nak acah-acah sucilah. Aku tau kau perempuan simpanan bapak aku dulu." Adli bercakap kasar kerana sudah tidak tertahan lagi menahan emosinya.
"Excuse me?" Rania Sufiyya defensif.
"Stop boleh tak!? Aku tau kau siapa. Kau dah rosakkan rumah tangga mak bapak aku. Sampai bapak aku sakit jantung. Meninggal dunia. Tinggalkan keluarga dia terkontang-kanting..."
"STOP!" Rania Sufiyya menghentikan bebelan Adli.
Adli terus terdiam.
"Apa kau merepek ni?" tanya Rania Sufiyya, benar-benar tidak faham apa yang Adli katakan. Tuduhan Adli itu melulu. Rania Sufiyya langsung tidak tahu apa yang Adli cakapkan. Perempuan simpanan Zaidi? What even?
Adli masih lagi terpana apabila disuruh diam tadi.
"Kalau tak tau apa-apa, jangan nak tuduh melulu. Aku bukan perempuan simpanan bapak kau." Rania Sufiyya memandang tajam wajah Adli.
Kelihatan Adli seperti sedang menikuskan diri kerana Rania Sufiyya benar-benar sedang berangin waktu itu. Takut rasanya untuk menyergah seperti tadi. Namun, dia tidak mahu mengalah. Dia perlukan penjelasan.
"I'm a private investigator."
Adli mengerutkan dahi. Tidak faham dengan apa yang Rania Sufiyya cakapkan. Private investigator? That job is real? Really?
"Aku tau. Mesti kau terkejut, kan? Percayalah. Aku kenal bapak kau pun sebab dia upah aku untuk siasat pasal mak kau." Rania Sufiyya memberi pencerahan.
Adli bertambah terkejut apabila Rania Sufiyya menyebut tentang ibunya. Apa kena-mengena Analiza dalam hal ni? Kenapa dia yang disiasat?
Rania Sufiyya tahu sukar untuk Adli mempercayai kata-katanya. Tulah. Lain kali siasat dulu sebelum nak serang orang. Kan sekarang dah malu.
"Ya. Aku siasat pasal mak kau. Sebab bapak kau syak dia curang dengan pengerusi jawatankuasa persatuan penduduk rumah kau."
Adli menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak mahu mempercayai satu pun kata-kata Rania Sufiyya. Mustahil. Mustahil ibunya yang berlaku curang! "Tidak. Tidak! Mak aku tak curang. Bapak aku yang curang dengan kau!"
"Dengar dulu, Adli!" marah Rania Sufiyya. "Aku tau kau susah nak terima kenyataan ni. Tapi percayalah. Bapak kau guna semua duit simpanan dia untuk upah aku cari siapa lelaki yang mak kau curang tu. Bapak kau dah ambik keputusan untuk tinggalkan mak kau kalau betul mak kau curang. Aku cuma jalankan tugas aku. Memang betul mak kau curang."
"Tak! Kau penipu. Kau penipu!" Adli tidak sedar air matanya sedang berkaca. "Kalau betul mak aku curang, kenapa dia tak pernah teruskan hubungan dia dengan lelaki tu? Kenapa aku tak tau pun pasal kewujudan lelaki tu?"
Rania Sufiyya terdiam. Dia tahu dia tidak mungkin dapat menjawab persoalan Adli itu. "Cuma mak kau yang ada jawapan tu, Adli. Bukan aku."
Akhirnya tumpah juga air mata Adli. Dia pantas menyeka air matanya itu kerana tidak mahu tampak lemah di hadapan perempuan yang pernah dibencinya satu ketika dulu kerana telah merosakkan hubungan ibu dan ayahnya. Rupa-rupanya apa yang difikir selama ini salah. Atau mungkin perempuan ini cuma mahu memutar-belitkan keadaan? Arghhh! Adli tak tahu apa yang betul.
"Mungkin Analiza rasa bersalah sangat. Sebab tu dia tinggalkan kekasih gelap dia tu. Sebab lepas je Zaidi tinggalkan rumah, dia meninggal dunia. Perempuan mana yang takkan rasa bersalah?" tanya Rania Sufiyya, cuba merasionalkan fikiran Adli.
Serta-merta bayangan ketika insiden di mana ayahnya meninggalkan rumah bermain di fikiran. Adli teringat ibunya merayu-rayu supaya Zaidi tidak meninggalkan mereka. Tidak pernah Adli bertanya kepada ibunya apa sebab Zaidi bertindak sedemikian. Amira sudah terlebih dahulu mengapi-apikan Adli dengan menuduh Rania Sufiyya sebagai perempuan simpanan arwah ayah mereka.
Adli membuka cermin mata hitamnya menyeka lagi air mata. Dia benar-benar kecewa. Selama ini, dia memang tidak pernah mempunyai bukti bahawa Rania Sufiyya adalah perempuan simpanan arwah ayahnya. Bukti yang dia ada hanyalah akaun Facebook Rania Sufiyya yang salah seorang dari mutual friends mereka adalah Zaidi. Itu sebenarnya tidak membuktikan apa-apa.
"Mesti adik kau yang bagitau kau pasal aku kan?" Rania Sufiyya meneka dengan tepat.
Adli diam saja.
"Dia pernah ternampak aku dengan ayah kau. Masa tu ayah kau nak settle-kan payment sebelum aku mulakan siasatan."
Adli akhirnya mengerti. Ini semua hanyalah salah faham. Salah faham yang tidak disengajakan. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya kerana terlalu bodoh dan buta selama ini. Dia terduduk dan menitiskan air mata. Segala-galanya terjawab kini. Rania Sufiyya bukan perempuan simpanan arwah ayahnya. Adli rasa berdosa kerana telah menuduh Rania Sufiyya yang bukan-bukan. Dia benar-benar kesal dengan perbuatannya.
Dan yang lebih Adli kesalkan sekarang adalah penipuan ibunya. Sampai hati ibu tipu dirinya selama ini. Kenapa ibu diamkan diri? Ibu takut kami akan benci ibu ke? Adli berteka-teki sendiri. Dia tahu dia tidak mungkin akan memperoleh jawapan. Dia harus bertanya sendiri empunya badan. Ibunya, Analiza.
YOU ARE READING
Terbang
AdventureAdli menyangka selepas dia memiliki segulung ijazah, dia mampu menyara keluarganya dengan gaji yang lumayan. Namun, dia terkandas kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan. Pertemuan semula dengan sahabat lama telah membuka ruang kepada...