Afiq dan Adli tidur awal malam itu. Usai menikmati makan malam di Dewan Laksamana, mereka pulang ke bilik dan bersiap-siap untuk merehatkan mata sebelum meneruskan cuti hujung minggu esok. Adli diam saja sepanjang persiapan sebelum tidur. Takut masih menyelubungi diri. Cerita Afiq ternyata memberi kesan yang agak mendalam. Entah kenapa malam itu Adli berasa lain macam sikit. Sunyi di kolej cukup melampau. Tak ada bunyi lain selain dari nyanyian cengkerik.
"Good night, Adli." Afiq terus tertidur selepas mengucapkan selamat malam. Senang betul dia tidur. Siap berdengkur pulak tu! Adli merengus kasar. Dah takutkan orang, lepas tu boleh bantai terus tidur. Sial betul!
Adli ke kiri dan ke kanan cuba mencari posisi paling selesa sebelum menutupkan mata. Entah kenapa susah benar untuk dia terlelap. Macam-macam yang bermain dalam fikirannya. Semua kerana cerita seram Afiq petang tadi. Lama-kelamaan, Adli terlelap sendiri. Namun, dia tersedar apabila terasa seperti hendak terkencing. Waktu malam di Lendu memang sejuk. Menggigil-gigil Adli kalau tidur tidak berselimut. Dalam keadaan mamai, dia berjalan lemah menuju ke tandas yang terletak di hujung tingkat.
Adli melepaskan hajatnya dalam kubikel yang tidak berpintu. Agak banyak kencingnya malam itu. Mungkin kerana sejuk sangat. Selepas mencuci bersih-bersih, dia berjalan menuju ke arah sinki di mana dia terserempak dengan Afiq yang sedang memberus gigi.
"Eh, kau buat apa gosok gigi malam-malam?" tanya Adli yang terus mencuci tangannya yang kotor.
Afiq tidak menjawab sebaliknya hanya tersengih-sengih sebelum terus memberus giginya. Adli yang masih berasa mengantuk terus berjalan pulang ke dalam bilik. "Mesti dia sengaja nak takutkan aku..." bisik hati Adli, menyedapkan rasa.
Tiba saja di dalam bilik, Adli terkejut melihat Afiq sedang sedap tidur di atas lantai. "Eh, bila masa pulak dia balik bilik?" tanya Adli yang mula rasa seram. Dia memerhatikan saja tubuh Afiq yang sedang enak tidur ditemani kedinginan malam yang mencucuk. Kemudian, dia menoleh ke arah tandas yang terletak di hujung. "Habis, siapa tadi tu?" tanya Adli, yang mula ketar lutut memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Dek kerana perasaan takut yang terlampau, Adli terus masuk ke dalam bilik dan menutup pintu. Dia berselubungkan selimut dalam keadaan menggeletar. Entah apa yang dia jumpa tadi dalam tandas. Makhluk itu menyerupai Afiq. Sebijik! Dan Adli telah menegurnya tadi!
"Ya Allah Ya Tuhanku, kau jauhkanlah aku dari gangguan syaitan," pinta Adli sebelum tertidur sendiri kerana takut sangat.
BAM! BAM! BAM! BAM!
Adli tersedar apabila almari biliknya seperti diketuk-ketuk. Dia jadi pelik. Apa yang bising sangat dalam bilik ni? Perlahan-lahan dia menarik turun selimut yang menutup mukanya. Dia yang baring menghadap dinding jadi semakin tidak keruan kerana almari biliknya bergoncang dengan kuat. Sedikit demi sedikit dia menjeling ke arah sebelah sana.
"F**K!" Adli kembali menghadap dinding apabila dia ternampak kelibat hantu pocong di pintu bilik.
Pocong itu mengeluarkan bunyi yang menakutkan seperti orang tua yang kehausan dan tidak berdaya untuk mengeluarkan sebarang suara selain dari menderam. Badan Adli menggigil. Ini salah Afiq! Dia pergi cerita benda bukan-bukan dekat tasik tadi. Sekarang hantu tu datang ganggu bilik mereka. Adli sempat menjeling ke arah Afiq yang masih terbaring di atas lantai. Memang tidur mati. Langsung tak sedar ada hantu dalam bilik tu!
Adli mula membaca ayat Kursi apabila pocong itu mula mendekati katilnya. Dia jadi semakin takut sekiranya diapa-apakan pocong itu. Pocong itu mula menyentuh bahu Adli. Adli jadi ngilu kerana dia tidak pernah berdepan dengan perkara yang menakutkan sebegitu.
Tiba-tiba, dia terdengar gelak ketawa beberapa orang. Pocong tadi mula beralih arah kepada Afiq. Adli jadi semakin tidak faham. Dia menjeling lagi ke sebelah sana. Kelihatan beberapa orang pelajar senior sedang bersembunyi di sebalik almari. Itulah kot punca kenapa almari boleh bergegar. Sialan! Ini semua prank!
Pocong itu mengganggu Afiq pula yang tidur mati. Kerana tidak tahan, seorang senior membaling botol kosong tepat terkena kepala Afiq. Afiq terus sedar. Dia terkejut melihat pocong di hadapan matanya. "Allahuakbar!" itu reaksi pertamanya. Kedengaran senior-senior itu tertawa di belakang almari.
Afiq cuba untuk bangun dan keluar dari bilik namun pocong itu menghalang. Pocong yang mungkin salah seorang dari senior juga. Sialan!
"Jangan main-mainlah!" marah Adli, membuatkan semua orang tertawa.
Lampu bilik akhirnya dibuka. Kelihatan wajah-wajah senior yang bersembunyi di belakang almari tadi. Pocong tadi turut membuka ikatan kain di sekeliling tubuhnya. Dia turut sama tertawa melihat Afiq dan Adli yang tercungap-cungap menahan rasa takut tadi.
"Anda semua dah terkena Bang Bang Boom!" mereka beramai-ramai mentertawakan Afiq dan Adli.
Adli yang tidak rasa perkara itu kelakar hanya mendiamkan diri. Afiq pula turut sama tertawa kerana teringat tentang reaksinya tadi. Reaksi ketika dia berkata, "Allahuakbar!"
"Aku tak tahan gila dengar kau cakap Allahuakbar," kata senior yang menjadi pocong tadi.
Selepas selesai berketawa dalam bilik itu, mereka merancang untuk menakutkan orang lain pula. Cepat-cepat mereka keluar dan beredar ke tingkat lain.
Sebaik saja mereka hilang dari pandangan mata, Afiq tertawa lagi. Adli yang masih diam, menjeling ke arah teman sebiliknya itu. "Apa yang kelakar?" tanya Adli, geram.
"Kelakarlah. Aku mati-mati ingat pocong betul tadi," kata Afiq sebelum menyambung tawa.
Adli merengus kasar. Dia tidak mahu menceritakan kepada Afiq tentang insiden di mana dia terserempak dengan temannya itu dalam tandas. Dia yakin Afiq akan memperlekehkannya. Afiq akan menakut-nakutkannya lagi. Sebab itu dia mendiamkan diri saja. Lagipun Adli takut kalau dia cerita pada Afiq nanti, benda yang mengganggunya tadi akan datang kacau balik. Tak sanggup rasanya. Nampak pocong tadi pun bulu romanya sudah tegak berdiri.
"Good night, Adli." Afiq mengucapkan selamat malam lagi sekali sebelum terus tertidur.
Adli tidak menjawab. Dia tahu dia akan berhadapan dengan masalah susah tidur sekejap lagi. Jadi dia merancang untuk menyambung novelnya yang tergendala petang tadi. Dalam keadaan gelap gelita, dia sambung menulis. Sesekali dia menoleh ke arah Afiq yang tidur berdengkur. Adakalanya Afiq mengigau dan meracau-racau, menambahkan lagi rasa seram pada diri Adli.
"Aku memang takkan lupakan apa yang terjadi malam ni..." kata Adli sebelum terus menyambung ceritanya.
Dia terdengar suara gelak-ketawa senior-senior di tingkat atas. Mereka dah jumpa mangsa seterusnya la tu...
YOU ARE READING
Terbang
AdventureAdli menyangka selepas dia memiliki segulung ijazah, dia mampu menyara keluarganya dengan gaji yang lumayan. Namun, dia terkandas kerana telah tersilap langkah dalam membuat percaturan. Pertemuan semula dengan sahabat lama telah membuka ruang kepada...