Lut tak tahu dah pukul berapa, tapi apa yang dia pasti langit diluar sudah lama gelap dan dia tenung siling menunggu tidur datang selepas solat isyak atas lantai beku wad. Dia bergolek-golek atas katil, cuba cari posisi yang paling selesa tapi ada saja benda yang tak kena. Ada saja benda yang menghilangkan keselesaannya. Gatal kepalalah, kejap nak garu siku, kejap nak garu belakang badan.
Lut lantas putus asa dan melompat turun dari katil. Kaki disarung selipar tidur. Kebosanan tahap dewa. Selepas Aiman pergi siang tadi, otaknya kosong. Jiwanya kosong. Segala perasaan tumpah keluar. Jujur dia sebenarnya sakit kepala dan muka memang sembab. Harapnya dah surut lepas mandi tadi. Lut tak tahu nak buat apa. Dia rasa demamnya dah pun surut, tapi doktor kata dia kena tahan untuk beberapa hari lagi.
Rasanya dia dah sihat dah.
Tapi ada baiknya dia tak keluar wad lagi. Fasal pesakit Arqs diletakkan dalam sebuah bangunan khas yang jauh daripada kawasan hospital yang biasa. Wad pesakit kebanyakannya berada didalam bangunan atas darat. Manakala makmal dan segala bilik doktor diletakkan bawah tanah. Untuk keselamatan. Dan apa yang Lut maklum, apa-apa yang melibatkan Aria atau Zerith justeru berkait dengan penyakit Arqs, data-data yang berkenaan adalah sulit. Hanya doktor dan jururawat yang diiktiraf dan berlesen sahaja dibenarkan kerja dalam bangunan yang satu ini.
Lut membuka pintu dan menyelinap keluar daripada wadnya. Bukannya ada ramai manusia pun dalam hospital ini. Apatah lagi pada masa ini, yang ada pun sedang lena. Lut ambil keputusan untuk meronda malam-malam buta ini, sekadar mengisi masa dan juga merawat kebosanan yang melanda jiwa.
Dia berjalan melintasi koridor, tidak langsung mempedulikan CCTV yang memerhati. Dihujung koridor, terdapat satu pintu kecemasan dan juga bilik air. Lut menarik buka pintu kecemasan tersebut dan menaiki tangga ketingkat atas.
Re:g 001 - 013 | AB | Re:g 014 - 026
Dahi Lut berkerut melihat tanda tersebut yang dicat kemas didinding putih dalam warna biru gelap. Kiri kanan dia menoleh, nak ingat kembali nombor bilik Erik. Terdapat dua pintu, untuk bangunan sebelah kiri dan kanan bangunan.
Lut mengeluh sendiri. Dia buat bijak naik lagi ketingkat lagi satu.
Re:g 027 - 039 | CD | Re:g 040 - 052
Lut buat muka bosan. Dia cuba kerah otak untuk mengingati tahap Aria Erik.
Matanya warna hijau cerah hampir kebiruan, bermaksud...
Lut ternganga sendiri. Dia menala pandangan kesiling, meneka tingkat yang kemungkinan Erik diletakkan.
Kenapa Aria Erik tinggi sangat?????
Lut kena naik lagi beberapa tingkat untuk sampai ketingkat yang meletakkan Erik.
... Oh tidak.
Bangunan tersebut mempunyai 10 tingkat sahaja. Selebihnya bawah tanah. Yang juga mempunyai banyak simpang siur, belok sana belok sini.
Memang Lut boleh sesat.
Lut buat muka lagi, tidak berapa gemar dengan hakikat tersebut. Hospital memang kena ada peta. Lut keluh lagi. Dia berlari turun tangga untuk kebiliknya.
"Lut?"
Lut tersentak. Dia tersepak kakinya sendiri lantas tersungkur atas lantai yang sejuk beku tersebut. Mujur tangan sempat menahan muka daripada mencium lantai. Dia mengaduh dalam senyap sambil menolak badan untuk bangkit.
Dia angkat kepala untuk melihat gerangan yang menyapa tanpa salam tersebut sebelum bangun.
"Lut okey? Maaf, Adam buat Lut terkejut."
YOU ARE READING
Nuh. (discontinued)
Teen FictionApa perasaan bila kau tersedar daripada tidur tanpa mimpi dengan kecederaan yang kau langsung tak ingat kau ada, dalam bilik atau tempat yang kau tak pernah tahu wujud? #