TIBA di terminal bas Butterworth, Hafidz terus menaiki teksi menuju ke KMPP. Perjalanan dari terminal ke destinasi mengambil masa selama 25 minit. Sebaik teksi berhenti dihadapan pagar KMPP, Hafidz menapak masuk ke dalam kolej.
Saat Hafidz menoleh ke kiri, dia terpandang satu kelompok manusia yang berhimpun di kawasan tasik KMPP. Dia mengecilkan matanya sambil mengerutkan dahi. Timbul persoalan yang bermain dimindanya. Kenapa ramai sangat orang berkumpul disitu? Ada sambutan hari jadi ke?
Kebiasaannya, jika ramai pelajar yang berkumpul di tepi tasik tersebut, pasti ada sambutan hari jadi yang dirancang oleh kawan-kawan sekelas tidak pun rakan sebilik. Sudah menjadi satu tradisi bagi pelajar KMPP menyambut hari jadi disitu. Hafidz semakin teruja ingin tahu. Dia matikan niat untuk pulang ke bilik buat masa ini dan bertukar arah berjalan ke tasik KMPP. Walaupun badannya penat, tapi hati seakan-akan tertarik untuk mengetahui apa yang berlaku disana.
Bag pakaian itu dijinjing bersama walaupun hanya berat dengan makanan berbanding pakaian Hafidz sendiri. Yelah, macam-macam Umi letak. Semuanya Umi isikan dengan makanan seperti maggi, biskut, milo tiga dalam satu dan banyak lagilah. Biasalah Umi, semua benda nak letak walaupun tak perlu sebenarnya. Bagi Umi, apa salahnya. Boleh buat lapik perut bila lapar tengah malam.
Hafidz berhenti melangkah sejurus keadaan menjadi begitu sesak. Dalam keramaian manusia yang berada disitu, semua kelihatan risau dan gusar. Riuh rendah suara mereka membincangkan sesuatu. Apa yang dibualkan, Hafidz sendiri tak berapa nak pasti. Hafidz perhatikan perlakuan pelajar lelaki dihadapannya itu. Gigih benar dia menjengket-jengketkan kaki sambil merakam sesuatu. Hafidz tak boleh bersabar lagi lantas menepuk perlahan bahu lelaki itu untuk bertanya.
Lambat-lambat dia menoleh ke belakang dengan riak tak puas hati. "Lah.. Afiq ke? Ingatkan siapa tadi" tegur Hafidz, mesra.
"Eh Abang Hafidz! Bila sampai sini?" kelam kabut Afiq menyimpan telefon di dalam poket seluarnya lalu dia hulurkan salam kanan untuk berjabat tangan.
Hafidz sambut bersama senyuman ceria. "Baru je sampai. Bag pun abang masih pegang ni ha" Afiq angguk tatkala mata jatuh ke bag yang dibimbit oleh Hafidz.
"Apa jadi, Fiq? Macam kecoh je,"
"Ada orang lemas, bang.. Tak tahu hidup ke tak tu" Afiq kemudian berdiri sebaris dengan Hafidz dek tempatnya diambil ketika dia ralit berbual dengan Hafidz tadi. Kepalanya didongak sedikit dek ketinggian Hafidz melepasi paras kepalanya
"Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Macam mana boleh lemas?"
"Entahlah bang. Ada orang kata dia kena tolak, tapi ada pula orang kata dia yang jatuh sendiri. Tak tahulah mana satu yang betul.."
"Lelaki ke perempuan yang lemas tu?"
"Perempuan, bang. Tak silap saya, nama dia Syuhadah"
Hafidz terdiam seketika.
"Syuhadah? Syuhadah mana? Syuhadah anak Ahmed Saiful ke?"
Anak mata Hafidz merenung tepat wajah Afiq meminta kenyataan jelas. Di dalam hati, dia turut berdoa agar bukan Syuhadah yang dikenali itu.
Afiq tergelak kecil. "Manalah saya tahu.. Kan ramai yang bernama Syuhadah kat sini. Apalah abang Hafidz ni," Gelak ketawa Afiq masih lagi bersisa.
Hafidz sekadar sengih. Benar juga kata Afiq. Ingat Syuhadah pujaan hatinya itu satu-satunya gadis bernama Syuhadah di KMPP ini? Mintak-mintaklah bukan Nurul Syuhadah binti Haji Ahmed Saiful. Boleh gugur jantungnya bila tahu Syuhadah lemas. Semoga Allah melindunginya. Aamiin.
"Mana dia sekarang? Dia okey tak? Dah hantar ke hospital ke belum?" Gundah gulana hati Hafidz dibuatnya. Selagi dia tidak melihat siapakah orangnya, selagi itu hati Hafidz tidak akan tenang.
YOU ARE READING
TEKOMA [ C ]
EspiritualPesanan: Cerita ini tidak memburukkan sesiapa. Manusia tak sempurna. Pastinya ada silap dan kecuaian yang kita buat tanpa sedar dan ini adalah realiti. Manusia ada sifat marah, dengki, iri hati dan sebagainya tapi mereka yang bijak tahu kendalikanny...