Confession
Gwen tidak mampu menyembunyikan riak wajahnya yang keruh.
Ronan pada mulanya tidak mahu menganggu emosi isterinya itu tapi apabila Gwen mula berkelakuan seperti pelakon filem seram, mahu tidak mahu dia terpaksa bersuara.
"Sayang, lupakan sajalah soal Kayra tu. Anggap saja dia tidak matang dan hanya mahukan perhatian."
"Tapi sayang, dia memfitnah tau tak. Dia cakap macam-macam tentang Roger dan Gia. Manalah saya tidak geram dibuatnya."
"Saya tahu. Saya pun ada baca juga apa yang awak cakap tu. Di facebook kan. Hei.. apa hendak jadi dengan anak tu, saya pun tidak tahu. Agaknya salah kita sebab membiarkan dia bergaul rapat dengan Roger."
"Saya rasa macam nak saman saja diaorang tu. Melampau sangat."
"Tak usahlah. Awak dah beri masa 24 jam untuk Kayra meminta maaf secara umum kepada Gia, kan? Kita tunggu sajalah. Kalau tidak, saya sendiri yang akan uruskan perkara ini dengan Vincent."
"Janji?"
"Iya sayang, saya janji."
Gwen akhirnya mampu bertenang, tapi selepas itu dia bertanya lagi. Tentang sesuatu yang Ronan tidak pernah sangkakan.
"Sayang, selama ini, awak dan Roger hanya fokus tentang ayah Gia. Bagaimana dengan ibu Gia? Sayang kenal tak siapa dia?"
Ronan bagaikan tertelan tulang ikan. Hendak berbohong, Gwen pasti akan lebih marah.
"Susah hendak diceritakan, sayang. Tapi, ya, saya kenal dengan ibubapa kandung Gia. Cuma, saya tidak tahu mereka ada di mana sekarang ini. Brawn tinggalkan Gia ketika Gia berusia 15 tahun. Dan kalau awak nak tahu, ibu kandung Gia meninggalkan Gia di bawah jagaan Brawn sejak Gia masih bayi lagi."
"Malang betul nasib dia. Jadi selepas Brawn tinggalkan dia, Gia tinggal dengan siapa?"
"Roger kata, Gia ada seorang ayah angkat yang bernama Tony. Tony inilah yang membantu Brawn merawat Gia sejak mula lagi."
"Gia dan Roger dah nak kahwin. Saya rasa jauh di dalam sudut hatinya, Gia mahu ibubapanya hadir di hari perkahwinannya nanti, betul tak?"
"Betul juga. Tapi masalahnya sayang, di mana kita hendak cari Brawn dan ibu kandung Gia?"
"Awak tahu siapa nama ibu kandung Gia?"
"Giselle. Giselle Godry. Setakat nama saja yang saya tahu. Rupa dan khabar Giselle sekarang ini saya langsung tidak tahu. Kenapa awak tanya?"
"Saya hendak beritahu awak sesuatu, Ronan."
"Apa dia?"
"Saya ada seorang kakak, namanya Giselle Godry."
Ronan terdiam. Dia cuba memikirkan kata-kata yang sesuai agar tidak memulakan sengketa dengan isterinya itu. Ronan mengurut dagunya sambil merenung Gwen tepat di matanya.
"Kenapa saya tidak pernah nampak dia?"
"Sebab kami tidak membesar bersama-sama. Dia dijaga oleh ibubapa kandung kami, sementara saya diambil sebagai anak angkat oleh mama dan papa sejak bayi lagi."
"Tapi kenapa?"
Gwen mengeluh halus.
"Landon mengesyaki Ginerva mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang pekerja mereka. Bila saya lahir, dia menolak kehadiran saya di dalam keluarga Godry. Dia terlalu marah sehinggakan mengugut akan membunuh saya ketika itu jika Ginerva berdegil hendak membesarkan saya. Mama, merupakan kawan baik Ginerva, dengan senang hati mengambil saya dari keluarga Godry. Berserta syarat, Landon mahupun Ginerva akan didakwa di mahkamah sekiranya mereka berhasrat hendak mendapatkan saya semula."
Ronan terkelu seribu bahasa. Patutlah Gwen sangat menitik beratkan keadilan.
"Walaupun begitu, mama menamakan saya semirip mungkin dengan nama Ginerva sebagai tanda, saya memang anak kandung pasangan itu."
"Kenapa sampai begitu sekali?"
"Itu bukan perkara yang paling teruk, sayang. Landon, walaupun dia sudah tahu tentang kebenaran bahawa saya adalah anak kandungnya, dia malah menuduh mama dan papa mengada-ngadakan cerita dan menyaman mereka. Dia menang dalam tuntutan saman itu. Landon menggunakan segala pengaruhnya untuk memalukan mama dan papa di hadapan umum. Ginerva yang terlalu tertekan meninggal dunia beberapa bulan selepas itu."
Gwen mengesat air matanya. Ronan dipandang sekilas. Dia menghembuskan nafas panjang, kemudian menyambung semula ceritanya.
"Papa akhirnya membawa kami balik ke kampung halamannya. Dengan bantuan Pak Cik Henry, papa memulakan perniagaannya. Ketika saya berusia lima tahun, adik saya lahir dan itulah perkara yang paling menggembirakan di dalam hidup saya."
Ronan memeluk bahu isterinya kemudian mengucup rambutnya.
"Kita mesti membantu Gia, sayang. Kesian dia. Saya tidak kisah apa yang sudah berlaku terhadap Brawn tapi kalau dia cuba menganggu Gia selepas ini, saya akan mendakwa dia di mahkamah."
"Itulah yang Roger sedang lakukan sekarang ini. Dia kata, Gia menerima panggilan dan surat layang sejak sebulan yang lalu. Orang itu mengaku kenal dan tahu keberadaan Brawn sekarang ini."
"Saya rasa saya tahu apa yang hendak dilakukan."
* * *
Roger memerhatikan gelagat Gia sedari tadi. Dia tahu ada sesuatu yang bermain-main di fikiran gadis itu. Dia banyak berdiam diri dan hanyut dalam lamunannya.
Roger mencapai jari jemari Gia dan mengusapnya lembut.
"Cuba ceritakan apa yang sedang awak fikirkan tu?"
Gia mengeluh panjang.
"Saya menerima surat, dari Giselle Godry."
"Giselle Godry? Siapa tu?"
"I.. ibu saya."
Roger kelu seketika.
"Giselle menghantar surat kepada awak, Gia?"
Gia mengangguk. Roger berdehem. Dia berhenti melangkah dan meletakkan tangannya di bahu Gia.
"Itu bermakna dia tahu di mana awak tinggal. Dia ada bagi alamat dia tak?"
"Tak ada. Surat tu tak ada nama saya pun, saya jumpa surat tu bersama-sama dengan surat lain di dalam peti surat saya."
"So, apa awak nak buat? Nak buat repot polis tak?"
"Saya tak tahu. Maksud saya.. dia tak buat jenayah pun, kan?"
"Hmm.. tapi kalau awak rasa terganggu, kita boleh buat repot polis. Saya tidak mahu awak merasa tertekan dengan perkara ini."
"Okay."
Gia mengangguk perlahan. Namun jauh di sudut hatinya, dia mahu membalas surat Giselle dan mengatakan dia baik-baik sahaja.
YOU ARE READING
Dear, Gia
General FictionTidak mahu terluka oleh perasaan, Giorgia Forest rela melupakan ibu dan ayahnya yang dalam diam, dia impikan untuk hidup bersama. Perasaan cinta terhadap Roger Alford disemai dari kejauhan. Dia rela bertepuk sebelah tangan asalkan persahabatan merek...