How should I know
Ronan meleretkan senyuman apabila membaca penanda jalan masuk ke kawasan ladang Tony.
Siapa sangka, Tony ada caranya yang tersendiri untuk mencari wang. Lori yang keluar masuk dari kawasan ladang itu lebih dari cukup untuk menjelaskan betapa larisnya perniagaan Tony.
Ronan meletakkan keretanya bersebelahan dengan sebuah jip. Dia pasti jip itu kepunyaan Tony.
"Hello, di mana saya boleh berjumpa dengan pengurus ladang?"
"Encik ini siapa?" gadia muda itu membalas soalannya.
"Saya kawan lama kepada boss awak."
"Ta..."
"Dora, buatkan dua cawan kopi o. Apa khabar 'kawan lama'?"
"Baik boss."
Ronan tersengih melihat Tony, seakan tidak percaya dengan pandangan matanya sendiri.
"Kau, Tony? Antonio Valdes?"
"Dan kau Ronan Alford."
Ronan tertawa seraya mendakap mesra kawan lamanya itu.
"Tak sangka pula, kau cari aku sampai di sini Ronan. Apa hajat kau datang ke mari?"
"Takkan nak jumpa kawan lama pun tak boleh?"
"Boleh, tiada hal pun. Masuklah, ini pejabat aku. Tiada penghawa dingin pun."
"Kau kedekut sangat."
Tony ketawa seadanya.
"Duduklah. Kau datang seorang?"
"Seoranglah. Anak-anak aku dan isteri aku, tak tahu pun aku ke sini."
"Sejak bila kau berahsia dengan isteri baru kau tu?"
Ronan menelan liur. Dia tahu Tony sedang menyindirnya. Perkahwinannya dengan Gwen mendapat liputan meluas oleh pihak media, namun Tony tidak mendapat undangan ke majlis itu.
"Tony, aku datang bukan hendak bersembang pasal Gwen. Aku datang pasal benda yang lebih penting dari itu."
"Pasal apa?"
"Gia, Gwen dan Giselle."
"Apa kena mengena anak aku dengan kedua-dua nama yang kau sebutkan tu?"
"Tony, aku tahu kau faham apa maksud aku yang sebenarnya. Cuma kenapa kau tak beritahu aku sejak dari dulu lagi?"
"Pasal apa? Cuba kau jangan terbawa-bawa bahasa bunga-bunga kau tu di sini. Kau pakai bahasa yang senang aku nak faham. Cuba."
Ronan menelan liur dan menghembuskan nafas panjang.
"Kau tahu Gwen dan Giselle tu adik beradik, kan?"
"Benda apa kau cakap ni? Sejak bila pula Gwenevere Denilsen itu adik beradik dengan Giselle Godry? Kau bermimpi apa ni?"
Ronan mengeluh halus.
"Takkan kau tak tahu? Habis tu, pasal Brawn ada anak dengan Giselle kau tahu pula."
"Aku tahu pun sebab Brawn datang ke rumah aku dengan Gia. Kalau tak, haram aku nak tahu. Tak, kau ni kenapa sebenarnya? Kau marah sebab isteri kau ada adik-beradik lain yang kau tidak pernah tahu? Atau kau marah sebab Brawn ada anak dengan Giselle? Atau sebab Gwenevere adik beradik dengan Giselle? Mana satu kau ni?"
"Bukan macam tu. Aku tak kisahlah Gwen adik beradik dengan Giselle atau apa sekalipun. Yang jadi masalah sekarang ni, betul ke Gia tu anak kandung Giselle dengan Brawn?"
"Setahu aku, memanglah. Kenapa?"
"Kau.. tak, Brawn pernah buat ujian DNA?"
"Sampai macam tu sekali ke? Kau tak kesiankan Gia, kan dia berkawan baik dengan anak kau."
"Pasal itulah aku kisah sangat. Kau tahu kan, ada orang misteri sedang menganggu Gia pasal Brawn? Aku tidak mahu bakal menantu aku terancam keselamatannya, Tony. Jadi, tolonglah. Beritahu aku semua yang kau tahu pasal Brawn. Pasal Giselle atau pasal apa saja. Demi Gia. Tolonglah."
"Kau? Kau kata Gia tu bakal menantu kau? Kau pasti ke? Gia tu masih muda, Ronan. Seawal itu kau nak mereka berkahwin? Perjalanan hidup diaorang tu masih jauh lagi."
"Alahai... Tony. Tony. Dengar sini. Kita mahu bantu Gia menyelesaikan masalah dia. Kahwin muda, apa salahnya? Kau tu, tak kahwin lagi pasal apa?"
"Kau jangan libatkan aku, boleh tak? Nak tolong Gia, sembang pasal Gia sajalah."
Ronan tertawa, meleraikan situasi tegang itu. Tony memandang Ronan kemudian mengangguk perlahan.
"Orang itu bertanya pada Gia tentang sejumlah wang yang aku sendiri tidak tahu wang apa. Masa Brawn lari dulu, dia cuma tinggalkan sekeping kad atm kepada Gia. Wang dalam akaun itu pun bukannya banyak."
"Macam mana kau tahu?"
"Aku minta tolong dengan pihak polis siasat pasal kad itulah."
"Oh. Jadi polis pun dah tahu pasal ni?"
"Keselamatan Gia adalah segala-galanya buat aku, Ronan. Brawn mungkin boleh lepas tangan tentang tanggungjawabnya terhadap Gia, tapi aku tidak. Aku dah jaga Gia sejak bayi lagi, aku sayangkan dia lebih dari segala-galanya."
"Hmm.. pasal Brawn, kau tahu mana dia sekarang ini?"
"Hai.. bukan kau selalu berjumpa dengan dia ke?"
"Sejak aku berkahwin dengan Gwen, banyak benda yang aku dah tinggalkan termasuk ke party yang dihadiri oleh artis dan selebriti. Jadi, aku pun tidak tahu di mana Brawn berada sekarang ini."
"Susahlah macam ni. Orang tu makin lama makin berani menganggu Gia. Entah wang apa yang dimahukannya, buatlah sesuatu Ronan. Cari Brawn, tanya dia pasal wang tu. Kesian dengan Gia."
Ronan mengurut dagunya perlahan-lahan.
"Ada dia cakap berapa jumlah wang tu?"
"Tak ada pula. Kenapa?"
"Kalau macam tu, aku ada rancangan."
"Kau ni biar betul. Jangan libatkan Gia dalam hal ni, boleh tak?"
"Memanglah kita kena libatkan Gia. Sebab hanya dengan peranan Gia rancangan ini akan berjaya. Kita minta bantuan polis sekali, kalau itu yang kau risaukan."
Tony terangguk-angguk mendengar penjelasan Ronan.
"Jadi, sebagai langkah permulaan, apa yang kita kena lakukan?"
"Gia kena bercakap dengan pemanggil mata duitan tu."
Tony tidak punya pilihan lain. Dia harus bersetuju demi keselamatan Gia dan keluarganya pada masa akan datang.
YOU ARE READING
Dear, Gia
General FictionTidak mahu terluka oleh perasaan, Giorgia Forest rela melupakan ibu dan ayahnya yang dalam diam, dia impikan untuk hidup bersama. Perasaan cinta terhadap Roger Alford disemai dari kejauhan. Dia rela bertepuk sebelah tangan asalkan persahabatan merek...