HAZEL tersedar apabila terasa wajahnya basah dengan air. Siling hospital ni bocor ke apa? Hujankah? Dia terus celikkan mata dan memandang ke arah orang yang sesuka-suki membasahkan wajahnya saat dia sedang lena diulit mimpi.
Harraz berhenti memercikkan air ke wajah Hazel selepas gadis itu sedarkan diri. Dia bersandar selamba ke kepala katil. Tangannya pula masih menggenggam erat cawan plastik yang masih ada baki air separuh cawan itu.
Hazel ketap gigi sambil memandang Harraz bersama muka yang marah. Memang dia sedang marah. Harraz sudah mengganggu tidurnya.
"Kau ni kenapa?!" Tinggi suara Hazel memarahi lelaki itu sambil mengelap wajahnya yang basah. Harraz cuma tayang muka tak ada riak dia tu.
"Nak tanya sikit. Kau memang tidur mati eh? Aku panggil kau banyak kali pun kau tak sedarkan diri. Nasib baik hidup lagi. Ingatkan, malaikat dah cabut nyawa tadi. Aku bukan tak nak pergi gerakkan kau, cuma kau faham-faham ajelah, nak kejut tak sampai. So, aku renjislah air. Tak sangka sampai kat tempat kau duduk tu..." kata Harraz. Bernada sindiran.
Padahal memang sengaja nak cari pasal.
"Kau ni Harraz, tak padan dengan demam, kau tahu tak? Tak habis-habis nak sakitkan hati aku! Tak boleh ke kau kasi aku rehat untuk sekejap?"
Penat dia dengan perangai Harraz ni. Kang aku lunyaikan motor besar kau, ha baru kau merasa! Demamlah panas mana pun. Biar kau rasa sakit buat kali kedua.
"Eh, boleh! Rehatlah..." kata lelaki itu.
Hazel ingat Harraz betul-betul maksudkannya, tapi lelaki itu kembali merenjis air ke arahnya. Tanpa amaran, baki air yang tinggal di dalam cawan disimbah terus ke tubuh Hazel. Tak sempat Hazel nak mengelak, pakaiannya sudah basah lencun. Mendongkol hatinya dengan perangai kebudak-budakan Harraz.
"Stop it! Aku tak ada baju gantilah! Kau nak apa?!" marah Hazel. Geram!
"Balasan untuk anak dara pemalas macam kau! Matahari dah atas kepala pun masih tidur. Air liur basi meleleh mengalahkan air terjun. Geli aku tengok!" ujar Harraz tayang muka jelik.
Cepat-cepat Hazel sapu tepi bibirnya dengan belakang tangannya. Kemudian, dia pandang tingkap bilik itu. Dah pagi ke? Digosok-gosok matanya. Memang dah pagilah!
"Dah, sekarang kau kemas barang-barang aku. Hari ni aku discaj. Mom dah call aku. Dia on the way ke sini. Buat apa yang aku suruh. Kemas barang-barang aku. Aku nak pergi tandas." Harraz mengarah seraya turun dari katil. Kantung air yang bersambung dengan jarum di tangannya dibawa sekali.
"Kurang ajar betul! Dia ingat aku ni apa? Hamba dia?" rungut Hazel sambil menjeling Harraz.
Tangan Hazel membersihkan baju yang sudah bercorak kesan renjisan air tadi. Mahu saja dia hulur kakinya ke depan sikit waktu Harraz lalu depan dia tadi. Biar tersungkur mamat sewel tu!
"Tak payah nak merungut sangat. Bangun, belikan aku makanan kat bawah. Aku lapar." Harraz berjalan masuk ke dalam tandas sebelum dia menghempas pintu bilik air dengan kuat.
"Banyak cekadak kau ni! Aku bukan hamba kaulah! Ieyy... geramnya aku!" jerit Hazel sebelum mendengus banyak kali. Geram.
SELESAI mandi dan bersihkan diri, Harraz keluar dari kamar mandi. Dia mengemaskan tuala yang diikat paras pinggang. Lega sikit selepas basahkan badan. Tali air yang berselirat di tangannya sejak semalam juga sudah dicabut oleh jururawat memandangkan dia sudah boleh pulang sekejap lagi.
Hazel yang sedang duduk di sofa sambil tersenyum-senyum, dipandang lama. Dah kenapa agaknya perempuan ni tersenyum seorang diri macam kena sampuk.
"Ehem!" Sengaja dia berdehem memecahkan suasana bilik itu yang sememangnya sunyi.
Hazel menoleh memandang Harraz, kemudian cepat-cepat dia memandang gambar polaroid di tangannya semula. Dia sedang tatap wajah Raziq buat ke sekian kalinya. Hampir setiap masa bila rindu, dia akan tatap polaroid itu. Gambar dia dengan Raziq yang menjadi kenangan.
Sedar diri masih diperhati, Hazel kembali menoleh memandang Harraz yang berdiri di hadapan tandas sambil memerhatikannya.
"Kau tak malu ke hah?" Hazel menempelak. Lelaki itu cuma bertuala di dalam bilik ini. Dan perkara itu buat Hazel sedikit tidak selesa ingin memandangnya.
"Siapa suruh kau duduk dalam bilik ni?" Harraz menyoal kembali.
"Sebab mom aje aku dekat sini. Kalau tak, tak ada maknanya aku sakitkan mata aku sendiri untuk pandang kau!" balas Hazel. Bercakap tentang ibu mentuanya, bilalah mereka ingin sampai? Dia dah tak tahan menjaga si Harraz.
Huru-hara!
Harraz mendengus sambil menjeling gadis itu. Dia berlalu ke arah katil untuk memakai pakaiannya yang sudah tersedia. Sebelum dia mandi tadi, dia sudah arahkan Hazel untuk menyediakannya pakaian baru. Kaw-kaw dia buli Hazel!
Selepas memakai baju t-shirt hitam bersama seluar panjang, Harraz berjalan ke arah sofa. Dia duduk di sebelah Hazel yang masih lagi dengan polaroid di tangan. Teringin rasanya nak lihat isi gambar tersebut yang membuatkan Hazel tersenyum-senyum sejak tadi.
Tanpa izin, Harraz merampas polaroid dari tangan Hazel. Gadis itu tersentap. Bila masa Harraz berada di sebelahnya pun dia tidak perasan.
"Eee... apa kau ni?! Bagilah balik!" Hazel cuba merampas polaroid itu dari tangan Harraz, tetapi lelaki itu menepis dengan banyak halangan.
"Shhh, diamlah!" kata Harraz dengan kasar.
Harraz melihat gambar tersebut. Jelas di dalam gambar itu ada figura Hazel bersama seorang lelaki yang berdiri di sebelahnya.
"Siapa ni?" soal Harraz tersengih nakal. Tak sangka Hazel ada teman lelaki dalam diam.
"Sibuk apa? Bagilah balik!" Hazel cuba merampas semula polaroid di tangan Harraz tapi saat dia bergelut dengan Harraz, dia pula terjatuh ke atas badan lelaki itu.
Harraz sengih sinis. Wajah Hazel diamati dari jarak dekat.
"Aku tanya ni siapa?" Dia tunjuk polaroid itu di hadapan wajah Hazel yang berada di atasnya.
"Boyfriend aku, kenapa?" Hazel bangkit dari badan Harraz. Kalau tiba-tiba jururawat masuk dan nampak mereka dalam keadaan begitu, buat malu saja!
Sudahlah semalam dia sudah memalukan diri sendiri.
"Tak sangka perempuan macam kau ada boyfriend." Harraz menyinis.
Hazel terus merampas polaroid dari tangan Harraz. Gadis itu menjeling Harraz.
"Apa hal? Muka aku ni tak layak ada boyfriend ke?" Hazel meniup habuk kotor dari tangan Harraz yang telah memegang polaroidnya tadi. Habis rosak kenangannya bersama Raziq!
"Ikutkan pada gaya dan muka kau yang tak berapa nak siap tu, memang tak layak pun," cemuh Harraz bersama senyuman jahat.
"Pergi cermin diri kau tu dulu! Muka kau pun tak kurang macam banglo terbiar," balas Hazel sebelum mendengus kasar.
Pintu bilik itu tiba-tiba terkuak dari luar dan wajah Puan Sri Fazura tersembul bersama suaminya yang berdiri di belakangnya. Puan Sri Fazura geleng kepala melihat ketegangan antara Harraz dan Hazel. Ingatkan duduk semalaman boleh berbaik. Tak jadi juga!
Dalam hati, Puan Sri Fazura mengeluh berat. Gagal lagi rancangannya.
YOU ARE READING
Cinta Yang Kau Benci (EDITED VER)
Romance[WARNING! CLICHE & CRINGE STORYLINE] Pernah pecah rekod sebab asyik keluar masuk bilik disiplin? Harraz dan Hazel pernah. Bagi mereka, bilik disiplin sekolah ibarat rumah kedua. Satu dunia tahu Harraz dan Hazel seperti anjing dengan kucing. Kalau...