Selepas seharian menghabiskan masa bekerja di kedai posyen, Cora dan Edith kemudian beransur pulang ke rumah sewa mereka yang terletak di Inn Butterforth, sebuah bangunan empat tingkat yang mempunyai 10 buah rumah sewa di dalamnya. Tidak terlalu mewah, tidak terlalu daif, tapi lumayan untuk mereka berdua tinggal selama enam tahun di situ.
Sementara Cora mandi, Edith bertukar giliran dengan rakannya untuk menyediakan makan malam mereka. Jam di dinding menunjukkan waktu sudah masuk jam lapan malam ketika Edith sedang sibuk memotong sayur di papan pemotong. Sendirian di dalam dapur, dia ditemani dengan bunyi periuk yang sedang menggelegak merebus ubi kentang.
Saat Edith hendak tunduk mengeluarkan kuali dari kabinet bawah dapurnya, bunyi suara orang bercakap kedengaran dari luar pintu rumah, diikuti dengan tapak kaki berat melangkah pada permukaan lantai kayu. Keadaan dinding di situ tidak kalis bunyi, sehingga apa saja bunyi yang dihasilkan dengan mudah dapat didengari oleh para penghuni di situ.
"Tempat ni tak besar mana. Tapi boleh la tahan kalau nak buat berteduh hujan panas kan. Jadi jangan risau. Semua jiran di sini baik-baik belaka, terutama jiran sebelah kamu ni..." suara tuan rumah berbicara, menyapa telinga Edith.
Sambil mengeluarkan kuali, Edith memasang telinga untuk mendengar lebih lanjut akan perbualan itu. Dengan siapa pulak tuan rumahnya bercakap sampai boleh mesra macam tu? Seingat dia, wanita tua menakutkan alias tuan rumah sewanya ini adalah seseorang yang grumpy dan kalau bercakap pun seperti nak maki orang sepanjang masa. Siapa orang yang beruntung mendapat layanan mesra dari wanita ini?
"Tempat ni dah dibina sejak 20 tahun yang lalu, masa saya masih muda. Sekarang umur dah masuk 50 tahun. Walaupun begitu, ia sangat kukuh dan selamat untuk dihuni. Malah, saya ada penghuni yang sudah berada di sini sejak tahun pertama ia dibina..." cerita tuan rumah lagi.
Edith melirik ke dinding rumah dengan kening berkerut tidak percaya. Dasyat sungguh suara wanita ini. Begitu lantang dan kuat seolah-olah ingin menunjukkan. Memangnya ada yang pekak apa di sini? Asyik sangat memasang telinga, Edith yang tidak sadar telah melepaskan pegangan kuali tersebut. Dia mengira dia telah meletakkannya di atas dapur, ternyata tidak. Kuali itu jatuh dan meluncur ke bawah menuju kaki berselipar Edith.
KELENTANG!
"AUWW!" jerit Edith, jari kakinya terhempas kuat oleh kuali leper berbuntut tebal itu. "Auw...auw!" lompatnya sebelum tunduk menggosok jari kakinya. Sakit! Sakit! Adoi! Jari aku!
Jeritan itu membuat Cora yang berada dalam bilik air bergegas keluar dalam keadaan berkemban dan rambut bersyampu tidak sempat dibilas. "Ada apa? Kenapa?" soal dia cemas sambil pandang kanan dan kiri ruang itu, bersedia hendak menyerang sesiapa saja yang cuba mengapa-apakan Edith.
Sambil berkerut kening menahan sakit, Edith berdiri tegak memandang Cora sambil gigit bibirnya. Sakitnya sampai sebak dada dibuatnya pun ada. "Kuali jatuh dekat kaki aku..." rengeknya dengan air mata di tepi mata.
"Apa ni! Terkejut aku. Ingatkan ada perompak tadi... hati-hati la sikit." bebel Cora sebelum masuk ke dalam bilik air semula.
Berasa geram dengan kuali, Edith sepak kuali tidak bersalah itu dengan geram.
"Banyak-banyak tempat, kaki aku jugak yang kau nak landing!" bebelnya sendiri sebelum tunduk mencapai kuali itu, lalu diletakkannya kembali di atas dapur api.
Hilang terus mood nak memasaknya! Memangnya hari dia tak boleh malang dari ni agaknya??
Pemetik api diambil dari rak atas kepala sebelum diturunkan ke atas dapur apinya. Selesai dia nyalakan api, baru la minyak diambil, dan sesi memasaknya dimulai.
Dekat 20 minit kemudian, meja makan mereka tersedia dengan masakan makan malam untuk hari itu. Cora, yang selesai mandi 10 minit sebelumnya, membantu menyediakan meja makan dan menyajikan makanan sementara Edith mengambil giliran untuk mandi.
Selesai mandi, bersama-sama dengan Cora, mereka mulai makan. Walaupun hidangan ringkas, asalkan dapat mengenyangkan perut dan bertahan untuk esok siang, sudah cukup buat mereka.
"Eh... kau tahu..." borak Edith sambil menyodok makanan dalam mulutnya.
"Tak," jawab Cora dengan bersahaja.
"Tadi... aku dengar Nenek Sihir Grumpy bercakap mesra dengan seseorang..." beritahu Edith sambil mengunyah makanan.
Kening Cora berkerut. "Serius la? Nenek Sihir tu cakap dengan mesra?" Tak mungkin la nenek grumpy tu bermesra dengan orang. "Dengan siapa?"
Edith mengangkat bahu. "Entah. Aku cuma dengar suara dia cakap macam nak satu dunia tahu tempat bersejarah milik dia ni. Mungkin penyewa baru?"
Cora mengambil piala minumannya lalu membawanya dekat ke mulut dan meneguk air darinya. Selesai minum, dia berkata kembali. "Penyewa baru? Maksud kau rumah sebelah kita ni?" Rumah sebelah mereka ini tidak dihuni sejak atuk Reed meninggal dunia empat tahun lalu.
"Agaknya. Kalau bukan rumah sebelah. Mana lagi. Sini bukannya ada bilik kosong yang banyak." balas Edith yang kemudian mengambil ikan masin yang digorengnya tadi dari pinggan lauk dan meletakkannya ke dalam pinggan makannya.
"Harap-harap jiran baru kita ni tak la seteruk Nenek sihir tu..." seloroh Cora.
Edith hanya tersengih. Harapnya begitu la. Dia sendiri pun sudah cukup menghadapi kepala angin tuan rumahnya ini.
"Oh ya.. lupa aku nak beritahu kau. Akar mugworm dengan lemongrass dah habis. Boleh tak kau cari lagi dekat hutan?" pesan Cora sambil tunduk menghadap makannya hendak makan.
"Okay. Esok aku carikan." angguk Edith sambil gigit ikan masinnya dengan rakus. Lantak la situ macam mana muka dia. Kelaparan sangat ni sebab satu hari cuma makan sekali. Gara-gara terlalu sibuk!
YOU ARE READING
24. The Grimm Reaper
FantasyAwalnya Serigala dan Rusa berfikir hanya mereka sahaja yang mempunyai kutukan ini. Mereka fikir selama ini tiada siapa selain mereka yang dapat melihat wajah mereka tanpa meragut nyawa seseorang itu. Siapa sangka pertemuan Beruang, Kucing dan Musan...