SUASANA makan malam tidak semeriah biasa. Tiada keceriaan Qaira yang berceloteh itu ini. Tiada keterujaannya yang menikmati hidangan dengan berselera. Cerita-cerita Johari cuma mampu mengundang sebaris senyum yang dipaksa-paksa. Lawak dan usikan nakal Qaleel hambar tidak bersambut. Lauk-pauk kegemaran yang dimasak oleh Zuraidah juga sekadar dijamah sedikit. Johari, Zuraidah, Qaleel dan Balkish saling bertukar pandang.
Malam itu lebih istimewa berbanding selalu kerana seluruh keluarga berkumpul bagi meraikan kemenangan Qaira bergelar juara dalam cabaran barista yang disertai. Namun, tingkah Qaira bukan seperti seorang yang diraikan. Adakalanya terlalu nyata hanya jasadnya di situ, fikiran entah ke mana dibawa berkembara.
Mereka tahu, meskipun sedaya upaya berlagak biasa, Qaira menyembunyikan sesuatu. Di sebalik raut manis yang dipamer, minda dan dalaman Qaira terganggu. Hebat berlawan dengan rindu. Sebuah rasa yang sudah pandai mengocak tenang gadis tersebut.
Di ruang tamu, Zuraidah merapati Johari lantas mencuil lengannya. "Buatlah apa yang patut. Susah hati saya tengok Q begitu," usulnya kepada suami.
Qaleel dan Balkish mengangguk serentak, mengiakan cadangan Zuraidah. "Dia mana, bu?" soal Qaleel prihatin.
"Ada tu dekat bar kopi. Jauh menerawang sampai ibu melintas di depan pun dia tak sedar. Pergilah, bang. Kita dah nak balik. Nanti tak senang hati saya fikirkan anak kita tu."
"Yalah," putus Johari. "Awak, Qaleel dan Kish, masuk berehat di bilik. Karang dia nampak semua berhimpun di sini, segan pula dia."
Ketiga-tiganya bersetuju. Tanpa membuang masa, mereka bangkit meninggalkan Johari.
Johari mengatur langkah ke dapur. "Qaira." Dia memanggil anak daranya yang sedang ralit melayan menung.
Qaira tersentak.
"Jom teman bak. Kita keluar ke 7e. Ambil angin. Bak teringin nak makan Cornetto," ajak Johari.
"Sekejap, Q siap."
Mereka berjalan bergandingan menuju ke kedai serbaneka dua puluh empat jam yang terletak di deretan lot kedai di kawasan berhampiran. Johari membeli Cornetto perasa coklat dan sebungkus kacang gajus masin manakala Qaira memilih mi segera Maggi Hot Cup dan sepaket kerepek kentang.
"Nak coklat?" tanya Johari. Tidak menunggu jawaban Qaira, beberapa bar coklat yang bersusun di hadapan kaunter turut dicapainya.
Selesai membuat pembayaran, dua beranak itu duduk di tepi jalan sambil menjamah makanan yang dibeli.
"Lama dah kita tak berkelah begini, bak." Qaira bersuara, membuka penutup mangkuk mi magginya yang sudah direndam air panas. Sebatang garpu plastik digunakan untuk mengacau kuah agar bergaul dengan mi sehingga sebati. Kemudian, juntaian mi diangkat-angkat ke udara, membebaskan asap nipis. Setelah merasakan yang minya sejuk sedikit, barulah suapan dihala ke mulut.
"Yelah. Bak dah dekat kampung, Q dan abang sibuk dengan komitmen masing-masing. Mana sempat kita nak berkelah selalu."
Dahulu, sebelum Johari dan Zuraidah memutuskan untuk menetap di Johor, dia dan dua anaknya kerap melakukan perkara yang serupa. Beli makanan ringan di 7-Eleven, duduk berbual kosong di bahu jalan sambil menghayati keindahan langit malam.
Qaira tersengih. Berkelah di bahu jalan. Itulah istilah digunakan untuk sesi makan dan tengok bintang mereka.
"Tu, kelompok yang sana tu cantik." Johari menunjukkan gugusan bintang bersinar menakluki pekat langit malam. Kedua-duanya melontarkan pandangan ke arah yang sama. Tiada bicara buat seketika. Didakap dingin angin malam, mereka leka memerhatikan taburan objek indah bergemerlapan.
ANDA SEDANG MEMBACA
Bukan Sindrom Nightingale
RomancePertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...
