TELEFON bimbit dijarakkan sedikit dari telinga. Mujahid membiarkan Layla membebel di hujung talian. Memberi peluang kepada gadis itu meluahkan apa yang terbuku di hati.
"Jadi sekarang apa masalahnya, Cik Layla?" celah Mujahid apabila Layla berhenti sejenak mencuri nafas.
"You bising I tiada di pejabat, ada ke sebarang projek kita terbengkalai? Atau ada masalah dengan mana-mana acara? Mana-mana klien?" Meskipun kini separuh harinya dihabiskan di K2, dia tetap memantau perkembangan operasi syarikat. Semua berjalan lancar. Tiada apa yang harus dikhuatirkan.
Telinga kembali ditadah mendengar uring-uringan Layla yang merungut kerana sukar bertemu Mujahid. Jauh sekali untuk keluar makan berdua seperti dahulu.
Layla, Layla! Satu minit dia boleh jadi seorang gadis berkerjaya yang cekap menyempurnakan tanggungjawab. Satu minit lagi, dia bisa bertukar jadi gadis manja serba tidak kena yang enggan mandiri. Perlukan Mujahid di sisi.
"Alah, nanti bila ada peluang kita makan sama-sama dengan Budi, Brian, Emma dan Zaid. You pilih tempat kat mana. My treat. Right now you nak pergi shopping dengan Farina, kan? Go and enjoy yourself! Marah-marah macam ni, makin bertambah kedut di muka you nanti." Sengaja ditekankan suara tatkala menyebut 'kedut'. Dia tahu Layla paling pantang jika sesiapa mencela penampilannya.
Setelah menamatkan panggilan, Mujahid memerhati keadaan sekeliling. K2 dipisahkan kepada dua bahagian. Kafe dan kedai peralatan kraf. Dekorasi ringkas dan santai membangkitkan keselesaan persis di rumah sendiri. Apatah lagi deria bau dipupuk wangi aroma kopi yang dibru serta biskut atau pastri yang dibakar.
Terdapat banyak ruangan tempat duduk. Dari sofa empuk, meja biasa hinggalah ke kaunter di bar kopi, pilih sahaja yang mana berkenan di hati. Di ruangan sebelah dan tingkat atas, tersedia ruangan menjual peralatan kraf. Bahagian ini dianggap lubuk emas bagi penggemar kraf kertas. Tadi sewaktu dia baru tiba, ada sekumpulan kecil pelanggan sedang menunggu untuk menghadiri kelas kraf yang dikelolakan oleh Diha, isteri Ariyyan.
Secara peribadi, dia suka suasana di K2. Tenang. Tersendiri. Tambahan pula ada gadis penyeri si pembuat kopi. 'Mungkin aku boleh pertimbangkan untuk jumpa dengan klien di sini.' Dia berkira-kira sambil menghirup kopi.
Selang beberapa minit, kelihatan Ariyyan di pintu kafe. Dia menuntun seorang anak kecil yang berusia lebih kurang tiga tahun. Sebaik menyedari kelibat temannya, Ariyyan melempar senyum. Dia mendekati Mujahid.
"Muja ...." sapanya mesra. "Tumben, kita nggak punya sebarang janji temu, bukan?" tutur Ariyyan hairan. Telefon bimbit segera dikeluarkan. Dia meneliti jadual dan peringatan-peringatan yang tertera. Mana tahu ada yang terlepas pandang.
Mujahid menggeleng. Ariyyan memang seorang yang komited dalam hal-hal kerja. Kalau bicara berkaitan kerja, soal lain jatuh nombor dua.
"Siapa ini?" tanya Mujahid.
"Ponakan gue," balas Ariyyan. "Hakeem, ini Om Muja. Salami Om Muja."
Anak kecil berpipi gebu itu taat menurut.
Mujahid mencubit pipi mungil Hakeem. Buat seketika dia bermain dengan si cilik sebelum Diha datang mendapatkan Hakeem lalu dipimpin masuk ke dapur.
"Terus, ngapain loe di sini?" Ariyyan mengambil tempat bertentangan Mujahid.
Mujahid menjuih bibir ke arah Qaira. "Tu ...."
Ariyyan tersengih. Faham duduk perkara sebenar. Dia turut nampak jambangan bunga besar dihiasi aneka coklat di kaunter di belakang Qaira yang sedang sibuk bekerja. Pasti pemberian jejaka pemburu cinta di hadapannya. Kelmarin diberi bunga dan bakul hadiah, hari ini bunga lagi! Betul-betul berusaha Mujahid ingin memenangi hati Qaira.
YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomancePertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...