Bab 15 - Layla Naik Angin

143 24 58
                                    

PAGI itu Qaira tidak keruan. Kotak e-mel diperiksa beberapa kali. Hampa. Tiada sebarang berita dari pihak penganjur cabaran barista yang disertai. Sepatutnya senarai keputusan barista yang terpilih ke peringkat akhir bakal diumumkan pada hari berkenaan.

Telefon bimbit segera disisipkan ke dalam poket apabila melihat ada pelanggan menghampiri kaunter.

"Selamat datang ke K2! Ada apa .... " Sapaan ceria Qaira tergantung. Susuk lelaki berkulit cerah berkemeja biru laut yang tegak di hadapannya membuatkan dia tergamam. Kaku. 'Tidak mungkin! Bukankah dia ... bukankah dia dah ....'

Ariyyan yang kebetulan berada di belakang kaunter perasan akan hal itu. Dia mencuit bahu Qaira, menyedarkannya yang seakan-akan sedang dihipnotis lalu terus mengambil pesanan pelanggan tersebut.

"Satu Caramel Macchiato." Suara parau sang jejaka memaksa Qaira kembali ke K2.  Lekas-lekas dia bergerak ke mesin kopi sementara Ariyyan menguruskan pembayaran. Sambil tangan membancuh kopi, telinga dipasang tajam mencuri dengar perbualan antara kedua-duanya.

Selepas memuji dekorasi berkonsep santai yang melatari K2, si dia bertanyakan siapakah pemilik K2. Qaira yang sudah siap menyediakan kopi cepat-cepat mendekati mereka.

"Err ... inilah tuan punya kedai." Laju sahaja dia mencelah, memperkenalkan Ariyyan seraya menghulurkan kopi. Biarpun cuba berlagak selamba, ada gugup yang dapat dikesan membauri nada bicaranya.

Lelaki itu menjongket kening. Bagai ada sesuatu yang berlegar di layar fikirnya. "Oh, saya ingat pemiliknya seorang wanita," nyatanya dalam aksen bahasa Inggeris yang ketara.

Qaira menggeleng. "Ini Encik Ariyyan, dialah pemilik K2."

Ariyyan yang tidak faham dengan tindak-tanduk Qaira hanya mengikutkan rentaknya. "Selamat nikmati kopinya. Terima kasih karena sudi berkunjung ke kafe ini. Kapan punya kesempatan datang lagi ya." Walaupun kehairanan dengan sikap aneh Qaira, suasana yang terang-terangan canggung antara mereka cuba dilunakkan.

Mengambil kopi dari atas kaunter, lelaki itu sekadar mengangguk. Sejenak, dia memandang ke arah Qaira.

"You are kind of weird, girl," ucapnya tersenyum sinis, mengenakan sepasang kaca mata hitam lantas berlalu pergi.

Sebaik sahaja kelibat tinggi lampai itu hilang dari K2, Qaira menarik nafas lega. Amira datang merapatinya. "Siapa tu, Q? Kau kenal? Mamat tu goda kau ke?"

"Entah."

"Kamu nggak kenal sama dia?" soal Ariyyan pelik. Tingkah laku Qaira menunjukkan sebaliknya. "Terus mengapa kamu seolah-olah kaget setelah melihatnya?"

"Muka dia familiar. Macam kenal ... tapi, tak tahulah, bang. Pelanduk dua serupa je kot." Qaira enggan mengulas lanjut. Lagipun, dia sendiri tidak pasti identiti sebenar pelanggan tadi.

"Kamu okey, Q?"

Angguk.

"Bukan main lagi mamat tu speaking London. Berasap!" komen Amira. "Lagak dia pun boleh tahan juga. You are kind of weird, girl." Diajuk semula gaya pelanggan misteri mereka. Beberapa biji jeruk buah cermai dimasukkan ke dalam mulut. Jeruk di tangan turut ditawarkan kepada Ariyyan dan Qaira.

"Makasih, Mir. Kamu tahu bukan aku kurang gemar makan asam-asaman sebegini," tutur Ariyyan. Masih cuba memastikan keadaan Qaira, dia menyambung, "Apa yang penting, setiap pelanggan yang mampir ke mari, meski dia judes, jutek atau bawel harus kita coba layan seelok-eloknya."

"Baik, bos!" Semangat Amira mengiakan kata-kata Ariyyan. "Q, jeruk ni nak tak?" Pelawaan dipanjangkan lagi kepada Qaira.

Qaira menolak. Menjauh sedikit dari kaunter, sekali lagi dia meneliti kotak e-mel. Tiada apa-apa berita. Dia mengeluh kecewa. Harapannya semakin memudar.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now