Bab 7 - Sindrom Nightingale

42 8 9
                                    

MINDA tidak dapat mencerna sebaris ayat yang baru dituturkan oleh Qaira. Dia tergamam. Benarkah gadis itu menyuruhnya pulang?

"Apa?" Mujahid benar-benar berharap yang dia tersalah dengar.

"Saya rasa eloklah Encik Mo balik dahulu," ulang Qaira.

Mujahid tahan nafas. Nyata dia tidak salah dengar. Dalam lembut nada melontar kata, jelas Qaira masih tetap dengan pendiriannya.

Mati akal. Buntu. Entah bagaimana lagi dia mahu meyakinkan si empunya diri.

"Saya bukan nak main-main, Qaira. Saya serius." Wajah tenang Qaira yang berdiri di tepi meja ditatap. Mengharapkan pengertian.

"Saya tak cakap pun yang Encik Mo main-main."

Mujahid mengeluh. "Habis tu? Kenapa Qaira halau saya balik?"

"Saya tak halau. Encik Mo tetamu bos saya. Takkanlah saya nak halau," nafi Qaira seraya mengerling ke arah Ariyyan yang sedari tadi berpeluk tubuh mendiamkan diri. Jadi saksi bisu komunikasi antara mereka. Tidak betah mendepani Mujahid sendirian, tidak pasal-pasal Ariyyan terpaksa diheret jadi tukang teman. 'Sorry, bang!'

"Tak bolehkah beri peluang pada saya, Qaira? Pada perasaan saya. Jujur saya bukan nak buat benda jahat."

"Begini ya, Encik Mo. Saya hormat perasaan Encik Mo pada saya. Terima kasih. Tetapi, apa yang  Encik Mo rasa ini didorong oleh faktor luar. Encik Mo tiada perasaan pun pada saya sebenarnya."

Wajah Qaira ditenung. 'Oh, tuhan. Terlalu parahkah pembawaan perasaan ini hingga aku gagal faham satu apapun yang dituturkannya?' fikir Mujahid.

"Maksud Qaira?" Antara yakin dengan tidak dia bertanya.

"Apa yang Encik Mo alami sekarang ini dipanggil Sindrom Nightingale."

"Sindrom Nightingale?" Mujahid keliru. Mata sempat menangkap gerak-geri pantas Ariyyan yang mengeluarkan telefon lalu menaip sesuatu di atas skrin.

"Sindrom Nightingale ini satu keadaan bilamana seseorang yang diselamatkan menaruh perasaan istimewa pada orang yang menyelamatkannya. Situasi ini biasa berlaku antara doktor atau jururawat dengan pesakit yang dirawat.

Emosi Encik Mo sedang rapuh ketika kita bertemu. Kebetulan, saya yang ada dengan Encik Mo masa tu. Saya orang asing, a complete stranger yang bantu Encik Mo. Jadi, bertanggapan yang saya ini penyelamat, Encik Mo salah tafsir emosi itu sebagai sesuatu yang istimewa," jelas Qaira.

"Memang Qaira yang selamatkan saya. Saya jatuh hati pada Qaira sejak hari itu." Mujahid tidak berputus asa mencuba. 

"Itulah yang saya maksudkan. Selagi ingatan Encik Mo terhadap insiden itu masih kuat, selagi itulah Encik Mo akan berperasaan sebegini. Nanti, lama-lama perasaan tu akan hilang," terang Qaira.

"Tapi Q ...." Tidak semena-mena Ariyyan menyampuk. Ditunjukkan skrin telefon bimbitnya kepada Qaira.

Menerusi pembacaan hasil cariannya di internet, sindrom berkenaan mendapat nama dari seorang jururawat bernama Florence Nightingale yang mempunyai hubungan emosi yang kuat dengan pesakitnya. Perasaan si penjaga terhadap orang yang dijaga boleh disalah anggap kerana kadangkala tampak seakan hubungan romantik atau cinta. Walau bagaimanapun, perasaan tersebut akan memudar apabila yang dirawat sembuh dan tidak lagi bergantung kepada si perawat.

"Menurut pemahamanku, Sindrom Nightingale itu kalau kamu yang berperasaan aneh-aneh terhadap Mujahid," pertikai Ariyyan. "Sekarang ini sebaliknya."

"Sama je, bang! Sindrom tu boleh guna untuk dua-dua keadaan. Yang merawat, yang dirawat. Yang menyelamatkan, yang diselamatkan." Sudah seperti bersajak tutur Qaira. 'Aish, Abang Ariyyan pun waktu macam ni lah dia nak periksa kesahihan fakta!'

Mujahid diam. Kata-kata Qaira cuba dihadam sebaiknya. 'Sindrom Nightingale? Tak mungkin. Tak mungkin ini Sindrom Nightingale.'

"Apa yang pasti, perasaan itu hanya bersifat sementara. Dikaburi emosi kita yang sedang rapuh dan rasa kebergantungan," tambah Qaira.

Mujahid masih diam. Berdialog sendiri dengan mindanya. Dia kuat mengatakan apa yang didakwa oleh Qaira itu tidak benar. Rasa yang membusung kian menyesakkan dadanya itu memang cinta. Bukan satu sindrom teori psikologi yang entah apa-apa!

"Encik Mo nak minum apa? Saya buatkan air ya?" Qaira cuba melunakkan suasana. Soalan yang sama ditujukan kepada Ariyyan.

"Bikin sesuatu sesuai dengan keadaannya, Q." Ariyyan membuat keputusan bagi pihak Mujahid yang dalam kerancuan.

Qaira beredar ke bar kopi. Teman-teman yang ralit menjadi penonton drama sebabaknya kelam-kabut mengengsot ke tepi. Memberi ruang Qaira menggunakan mesin kopi untuk menyediakan minuman.

Beberapa minit kemudian, Qaira kembali dengan menatang dulang di tangan. Secawan sweet americano diletakkan di hadapan Mujahid. Moga kombinasi kopi dan krim yang dilatari kemanisan sirap coklat, sos karamel dan vanila dapat menjinakkan resah lelaki itu. Setidak-tidaknya, aroma kopi yang dibancuh akan dapat menenangkannya.

 Setidak-tidaknya, aroma kopi yang dibancuh akan dapat menenangkannya

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

"Encik Mo minum kopi ni dulu. Saya belanja. Selepas ini, Encik Mo balik. Tenangkan diri. Jalani hidup macam biasa."

"Tapi..." Tidak sempat memanjangkan bicara, tuturnya dipasung.

"Percayalah, dalam seminggu dua perasaan Encik Mo terhadap saya akan hilang," ucap Qaira sambil mengukir senyum manis.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now