CAWAN kopi yang hendak disuakan ke mulut diletakkan semula. Dikerling wajah Johari dan Zuraidah yang bagai tidur di atas miang di hadapannya. Kedua-duanya turut terkesan mendengar apa yang baru diceritakan oleh Balkish.
"Teruk sangat ke?" soal Qaleel. Butang suara pada telefon bimbit dilaraskan kepada tahap maksimum. Biar ibu dan ayah dapat mendengar interaksi dengan isteri menerusi panggilan video itu. Panggilan daripada Balkish sememangnya ditunggu-tunggu oleh mereka dari tadi.
Balkish mengangguk. "Teruklah kalau dah macam empangan pecah. Tak berhenti," komen Balkish, mengkhabarkan situasi Qaira.
"Mula-mula tu, Q nampak okey. Walaupun dia mahu tak mahu, kami paksa juga suruh dia berurut. Dapatlah relakskan badan.
Sepanjang kena urut tu dia diam je tak cakap apa-apa. Dina yang perasan Q tiba-tiba menangis. Tak berbunyi langsung, bang. Tapi, air mata dia mengalir laju. Lama dia nangis. Terhinggut-hinggut tahan esak. Tak sampai hati kitorang ni tengok," tokoknya lagi. Riak risau bersulam simpati tidak disembunyikan.
Hari itu, Balkish, Diha dan Dina sengaja meninggalkan rutin masing-masing semata-mata untuk meluangkan masa dengan Qaira.
Kendatipun pada awalnya Qaira kelihatan teragak-agak menerima kehadiran mereka, dalam kesugulannya dia masih sudi melayan teman-teman baik yang datang berkunjung.
Tiada siapa mengungkit soal Mujahid. Tiada siapa menyentuh sebarang isu sensitif yang boleh menjentik perasaan Qaira. Mereka berusaha berlagak senormal mungkin dalam percubaan mengusir laranya.
Puas bergelak tawa menonton rancangan pelawak komediri Jo Koy di Netflix, mereka menyambung tontonan dengan menyaksikan filem komedi pula. Sambil menonton, mulut tidak berhenti mengunyah snek dan makanan ringan yang dibeli. Ada kalanya, mereka turut ketawa geli hati apabila terimbau kenangan lucu sewaktu sama-sama menuntut di kampus.
Melihatkan Qaira yang mampu mengukir senyum dan ketawa girang, mereka kekal dengan rancangan asal. Seorang tukang urut dari spa milik salah seorang kenalan didatangkan untuk mengurut tubuh Qaira. Mudah-mudahan urutan relaksasi menggunakan batu panas dari Sweden dapat meredakan lenguh badan, melegakan otot-otot yang ketat, membujuk tenang selanjutnya membolehkan Qaira berehat. Barulah akan kembali bertenaga.
Tidak disangka sama sekali yang Qaira gagal membendung emosi pada ketika itu. Kondisi Qaira yang menangis tersedu-sedu amat meruntun jiwa sesiapa pun yang melihatnya. Ketiga-tiga mereka panik, tidak tahu hendak berbuat apa. Naluri Balkish ingin bangkit dan menenangkannya namun ditegah oleh Diha.
Diha tidak mahu Qaira berpura-pura kuat lagi. Kadang-kadang, ada perkara yang perlu ditangisi supaya bebannya tidak terus menekan pundak si penderita. Akhirnya, mereka bungkam tidak terkutik. Walau perit menyaksikan momen ledakan hati kawan baik sendiri, mereka sepakat untuk membiarkan Qaira menangis semahunya melempiaskan bebanan yang ditanggung.
"Ini dia mana ni?" Qaleel sudah tidak senang duduk.
"Kat atas. Tidur. Nenyak sangat. Dah kena urut tu sedap sikitlah badan dia."
"Kasi abang tengok, Kish," pinta Qaleel. Dia tidak boleh berlapang hati andai tidak melihat Qaira dengan mata dan kepala sendiri.
Balkish menapak ke tingkat atas. Pintu bilik Qaira ditolak perlahan. Cuba mengawal pergerakan sebaik mungkin, telefon dihalakan ke arah Qaira yang sedang lena.
Qaleel menahan nafas. Sebak melihat keadaan adiknya sebegitu. Dia turut menayangkan paparan skrin kepada Johari dan Zuraidah. Kemudian, dia mengisyaratkan agar Balkish keluar.
"Biarkan dia tidur. Ni Kish dah makan?" soal Qaleel setelah Balkish turun semula ke tingkat bawah.
"Abang jangan bimbang. Makanan banyak di sini. Kalau tak cukup nanti, kami boleh pesan melalui Grab je."
"Hmm. Yalah, Kish tolong tengok-tengokkan Q. Petang karang abang datang."
Berjeda seketika selepas panggilan tamat, Qaleel menggeleng-geleng. Mengangkat muka memandang kedua-dua ibu dan ayahnya, dia berkata, "Abang rasa ... dengan keadaan dia begitu, Q belum bersedia untuk jumpa bak dan ibu."
QAIRA membuka mata. Rasanya bagai sudah lama dia melelapkan mata. Dia menoleh memerhatikan Dina dan Balkish yang tertidur pulas di sebelah. Malam itu, mereka berdua bermalam di situ untuk menemankannya. Cuma Diha yang perlu pulang.
Mata tidak lagi mengantuk. Setelah meregangkan badan, dia bangun lalu berjalan ke tingkap. Kain langsir diselak, limpahan cahaya puteri malam yang mempesona ditatap penuh asyik.
Tingkap dikuak sedikit, mengizinkan udara sejuk di luar menyelinap masuk. Dakapan dingin angin malam yang menjelmakan tenang membuatkan dia tersenyum sendiri.
"Abang mahu petik bintang-bintang di langit hati, Q." Dengan tidak semena-mena, bergema suara Mujahid menceroboh damainya.
Serentak itu, senyuman Qaira sirna. Enggan terus-terusan didera memori, langkah ingatan yang mula berkembara ke fasa indah hubungan mereka dipasung mati.
Meja sisi katil dihampiri. Dia memeriksa telefon bimbit.
Abang Qaleel:
In case you wake up in the middle of the night and need someone to talk to, abang ada di bawah.Nafas dihela dalam-dalam kemudian dihembuskan perlahan. Qaira dihambat rasa bersalah. Disebabkan hendak memantau keadaannya, habis urusan dan rutin harian insan-insan kesayangan terganggu. Hanya kerana ingin memastikan bahawa dia baik-baik sahaja, tidak pasal-pasal Dina, Balkish dan Qaleel terpaksa berkampung di situ.
Qaira ke bilik air. Pantulan ekspresinya di cermin ditatap tanpa makna. Tidak pasti sama ada ingin bersimpati terhadap dirinya ataupun tidak. Mukanya sembab, sepasang matanya bengkak lantaran kerap menangis. Rambut ikal paras bahu kusut tidak terurus.
Muka dibasahkan dengan percikan air deras dari pili. Rambut disikat biar tampak lebih rapi. Keluar dari bilik air, Qaira mencapai sehelai baju sejuk lalu dikenakan ke tubuh. Setelah membetulkan kain gebar yang menyelimuti Balkish dan Dina, dia berjengket meninggalkan bilik tidur agar tidak mengejutkan mereka berdua.
Di tingkat bawah, Qaleel sedang ralit menonton televisyen di ruang tamu. Lelaki itu sekadar mengerling sekilas apabila menyedari kehadiran Qaira. Bahagian sofa di sebelahnya ditepuk-tepuk, mengajak Qaira duduk di situ.
"Kenapa tak tidur lagi?"
"Tak ngantuk," balas Qaleel.
"Tak ngantuk? Abang mana pandai berjaga malam? Esok tak kerja ke?" pertikai Qaira.
"Macam mana abang nak lena tidur kalau asyik fikirkan Q."
"Q tak ada apa-apa. Jangan risaulah." Disandarkan kepala ke bahu abangnya.
"Tipu."
"Betullah. Q okey. Tengok drama apa ni?" Qaira mengubah topik perbualan.
"Q macam ni dan Q expect abang percaya Q okey?" Agak keras lantunan nada suara Qaleel. "Abang cuba pejam mata, abang cuba buat tak tahu. Tapi, Q ni adik abang tau ...."
Qaira diam tidak membalas. Pandangan dihala kosong ke arah skrin televisyen.
"Memang mama pesan yang kita kena kuat ..." Tangan adik digenggam lembut. Berkeras dengan Qaira bukan satu tindakan yang bijak. Dia perlu lebih memahami kelukaan yang dideritai adik kembarnya. "... tapi tak salah kongsi masalah dan kesakitan kita kalau bebannya terlalu berat."
"Tak salah nak nangis kalau kita rasa penat," tambah Qaleel sebelum mengunci mulut. Berharap agar apa yang diucapkannya akan meresap ke neraca pertimbangan si adik.
Tiba-tiba, Qaleel merasakan bahagian bahu kiri kemeja T yang dipakainya basah. Qaira menangis.
"Q tak pernah beri hati Q pada sesiapa ... cuma pada dia ...." luah Qaira dalam esak tangis. Perlahan-lahan, diceritakan satu demi satu apa yang telah berlaku.
![](https://img.wattpad.com/cover/203353025-288-k772032.jpg)
YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomancePertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...