Qaira Esabel Johari Juara Cabaran Barista Kuala Lumpur 2020.
"Kopi Kasih dan Cinta berjaya tambat hati semua juri." Mujahid tersenyum sambil membaca kuat beberapa baris ayat artikel yang melaporkan kemenangan Qaira. Terpapar jelas wajah Qaira tersenyum girang dengan trofi dan cek cura yang dimenangi.
Menurut artikel berkenaan, percaturan bijak Qaira berjaya membuatkan dirinya menyerlah dan mengumpul markah terbanyak. Tidak seperti peserta-peserta lain, gadis itu tidak menampilkan kesenian seni latte pada kopi yang dinilai. Sebaliknya Qaira bergantung sepenuhnya pada rasa dan konsep kisah kopi yang diketengahkan - Kopi Kasih dan Cinta.
Jari pantas meluncur laju di atas skrin. Kali ini dia melawat profil Facebook dan Instagram milik Qaira. Foto-foto kemenangan tempoh hari turut dimuat naik di situ. Ada gambarnya di atas pentas bersama para peserta cabaran barista; ada bersama Qaleel, abang kembarnya dan kedua-dua ibu bapa; ada juga bersama Ariyyan, Diha serta teman-teman sekerja di K2. Ruangan komen dibanjiri dengan ucapan tahniah dan doa agar Qaira terus berjaya.
Mujahid tumpang gembira. Bahagia mengulit tangkai kalbu. Gadisnya berhasil memperoleh kemenangan yang sangat didamba. Setiap senyuman ceria dan tawa riang yang terzahir di tampang muka gadis pujaannya ditatap lama. Biar malar segar, terpahat kukuh dalam memori. Untung-untung boleh diusung hingga ke alam mimpi.
Sejenak, terimbas di minda Mujahid bagaimana semasa hari pertandingan, dia terpaksa menukar penampilan semata-mata untuk menyaksikan Qaira beraksi. Semua itu dilakukan atas pakatan bersama Riduan dan Edrus. Meskipun tidak diundang, dia terlalu ingin melihat Qaira menyempurnakan tugasan akhir yang diberikan oleh para juri. Tugasan yang menentukan sama ada dia layak bergelar juara cabaran barista ataupun tidak.
Tetapi, dia khuatir andai kemunculannya di lokasi pertandingan akan mengocak ketenteraman Qaira sekali gus mengganggu fokus gadis itu. Mujurlah Edrus yang memang suka menghadiri parti bertema, lagi-lagi parti samaran tampil dengan idea bernas. Dia perlu menyamar.
Mengenakan topi, kemeja T longgar, bermisai dan janggut palsu persis seorang penyanyi rap terlebih umur yang sudah luput zaman kegemilangannya, dia berjaya diseludup masuk ke galeri pertandingan oleh Riduan dan Edrus.
"Benda-benda yang boleh buat Q cam Encik Mo, kita buang," putus Edrus. Kaca mata hitam yang sering dipakai Mujahid turut diganti dengan kaca mata baharu. Atas usaha dan kreativiti mereka berdua, Mujahid gagal dicam sesiapa. Dia sendiri terkejut melihat pantulan diri di cermin kaca. Malah, Ariyyan langsung tidak mengesyaki apa-apa tatkala mereka berpapasan di pintu utama.
Duduk bersantai di ruang tamu, dia terus melayan perasaan. Telefon bimbit masih kejap di tangan. Tetingkap pelayar yang digunakan untuk meninjau akaun media sosial Qaira ditutup. Dia membuka pula galeri video. Dimainkan kembali video rakaman Qaira sewaktu beraksi di pusingan akhir cabaran barista dua hari yang lalu.
Tika namanya dipanggil, dengan tenang Qaira menghampiri mesin kopi dan mula membancuh kopinya. Setiap gerak-geri Qaira tampak tangkas dan yakin. Dia memilih untuk tidak menghasilkan latte art, sebaliknya bahagian atas permukaan kopi diletakkan krim putar, dicurahkan lelehan lepa Lotus Biscoff dan ditaburkan serpihan kekacang gajus bersalut madu dan mentega. Kemasan terakhir ialah renjisan cecair berwarna keemasan untuk mendapatkan efek bergemerlapan penuh magis.
Setelah selesai, Qaira merapati meja para juri. Cawan kopi dihidangkan di atas sebuah dulang empat segi bersama semangkuk kecil kacang gajus dan lepa Lotus Biscoff.
Sesi penjurian bermula. Empat orang juri merasa kopi buatan Qaira. Salah seorang daripada mereka yang merupakan ketua juri mengangguk-angguk sambil tersenyum manakala seorang lagi membulatkan mata ekspresi kagum. Rata-rata maklum balas yang diterima semuanya positif.
Dengan senyuman manis yang tidak lekang dari wajah, Qaira menjawab soalan-soalan yang diajukan kepadanya dengan baik.
"Apakah nama hidangan kopi ini?" tanya satu-satunya juri wanita untuk pertandingan itu dalam aksen Perancis.
"Hidangan kopi saya pada hari ini dinamakan Kopi Kasih dan Cinta."
"Sila terangkan mengapa bahan-bahan ini yang anda pilih dan apa konsep yang cuba diketengahkan?"
"Bagi penggemar kopi, secangkir kopi panas atau sejuk memang cocok untuk apa jua keadaan yang sedang dilalui. Baik ketika kita sedang gembira, berduka, rasa kehilangan atau memerlukan masa mengasingkan diri ... secawan kopi tanpa ragu adalah ganjaran terbaik untuk diri.
Kopi Kasih dan Cinta, sesuai namanya menyatukan pelbagai elemen dalam satu hirupan. Keenakan pahit kopi yang tidak kalah aromanya, kelazatan coklat yang diperkaya kemewahan krim putar, rasa tersendiri dari kayu manis dan sedikit kekacang gajus lemak masin memberikan tekstur tambahan yang tidak diduga.
Kesemua elemen ini bergabung serasi dan mampu membelai deria rasa, mencetuskan kepuasan dalam setiap hirupan," jelas Qaira panjang lebar.
"Menarik. Apa inspirasi anda? Sebarang kisah istimewa di sebalik kopi ini?"
"Sewaktu mengolah resepi kopi ini, saya mahu mengangkat dua perasaan penting dalam diri kita, kasih dan cinta. Bagi saya, konsep kasih dan cinta sangat luas dan setiap kita mengalaminya dalam babak kehidupan sehari-hari.
Kita mungkin berdepan dengan hari yang sukar lagi memenatkan, menerima berita tragis, dimarahi majikan atau berhadapan dengan sesuatu yang tidak menyenangkan. Tetapi, saat kita kembali kepada orang yang kita kasihi dan cintai, segalanya akan lenyap malah terubat.
Ini yang cuba saya ketengahkan. Betapa buruk atau teruk angin kita untuk hari itu, penawarnya ialah secawan kopi. Semua akan berubah setelah menikmati Kopi Kasih dan Cinta."
"Golongan sasaran anda? Maksud saya, siapakah yang sesuai menikmati Kopi Kasih dan Cinta?" Juri keempat yang sedari tadi lebih banyak berdiam, mencelah.
"Sesiapa sahaja, walaupun individu tersebut bukan penggemar kopi. Saya percaya kombinasi pahit kopi dan manis coklat bakal menepati cita rasa semua. Bayangkan, apabila kita kesunyian atau sedang merindui seseorang, Kopi Kasih dan Cinta ini akan memujuk dan memanjakan kita. Seolah-olah kita pulang ke hangat dakapan insan tersayang.
Saya sertakan sekali serpihan kekacang dan lelehan Lotus Biscoff di tepi sajian kopi ini. Ingin lebih cinta ..." Tuturnya dihentikan seketika. Mangkuk kacang gajus diangkat sedikit. "... atau lebih kasih." Kali ini mangkuk berisi cairan Lotus Biscoff pula digerakkan ke atas. "Terserah selera." Qaira menyimpulkan pembentangannya dengan senyuman penuh makna.
Butang mandir ditekan beberapa kali. Tidak jemu rakaman berkenaan diulang-ulang. Tidak bosan dia memerhatikan Qaira yang petah berbicara menerangkan hidangan kopi ciptaannya.
"Ingin lebih cinta atau lebih kasih? Terserah selera."
Kekunci jeda disentuh. Paparan skrin yang beku direnung. Seraut wajah bercahaya itu memaksa sukma terus-terusan bersenandung kidung rindu. Mujahid sedar, penangan perasaan yang sedang ditanggung tidak boleh diremehkan. Sesak rongga dadanya mengepung amukan cinta yang memberontak hebat.
Dalam diam, lelaki itu tertanya-tanya. Adakah perpisahan sementara antara dia dengan Qaira turut membibitkan rindu di pihak yang satu lagi? Mungkinkah Qaira berkongsi emosi dan perasaan sama seperti yang dialami?
Tidak beroleh sebarang jawaban, dia menghela nafas dalam-dalam. Bilakah agaknya episod rindu ini akan berakhir? 'Duhai gadis, aku terlalu merinduimu.' Jantung berpalu kencang pada ritma luar biasa mendambakan cinta. Kala itu Mujahid perlu akur pada isyarat hati.
'Kopi Kasih dan Cinta'.
Dia benar-benar yakin dialah calon pertama yang memerlukan kopi tersebut.
YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomancePertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...