Catatan Rindu untuk Kasih #6

97 15 10
                                        

Kasih yang abang rindui saban hari,

Abang perlukan mesin waktu. Ya, katakan apa sahaja. Abang gila, kurang siuman, tetapi ketika ini abang memang perlukan sebuah objek yang dipanggil mesin waktu.

Abang perlu mesin waktu untuk kembali ke hari pertama pertemuan kita. Abang ingin lihat senyuman Kasih yang meminjamkan secebis tenang buat abang, meyakinkan abang yang semuanya akan baik-baik sahaja.

Abang perlu mesin waktu untuk pulang ke hari pernikahan kita. Abang mahu lihat senyuman manis Kasih persis seorang bidadari yang bersedia menawarkan cinta seluas semesta. Senyuman saat Kasih sah menjadi milik Cinta.

Abang perlu mesin waktu untuk kunjungi semula fasa bulan madu kita. Abang hendak alami semula setiap detik kala jantung abang berdetak hebat menyaksikan senyuman mesra Kasih di sisi abang, melayan kerenah abang.

Abang rindu segalanya tentang KITA.

Dan abang perlukan mesin waktu untuk halang Mujahid masa lalu daripada melakukan perkara bodoh, menukar warna-warni ceritera bahagia kita kepada sumpahan hitam penuh noda.

Hari ini, semua janji abang pada Kasih terimbas satu per satu dalam fikiran. Pelbagai janji yang abang tabur. Ironinya, abang tidak ambil masa yang lama untuk mungkiri kesemuanya. Atas setiap janji dan kepercayaan Kasih yang abang khianati, ada satu kelaran hebat menghiris lubuk hati. Kian lama, kian dalam. Perit kesannya memamah emosi.

Maafkan abang, sayang. Abang gagal menjadi seorang suami yang baik buat sayang.

Abang terlalu hanyut dengan kebahagiaan yang baru kita kecapi bersama sehingga abang lupa untuk mempertahankannya.

Abang sedar, abang sewajarnya lebih bertanggungjawab dalam menjaga kesejahteraan rumah tangga kita.

Kehilangan Kasih. Hidup tanpa Kasih. Ini harga yang perlu abang bayar atas kecuaian dan kesilapan abang.

Abang benar-benar perlukan mesin waktu untuk betulkan semua itu.

Mencintaimu
tidak kira dalam dimensi masa mana pun,
Cinta

Bukan Sindrom NightingaleCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang