Bab 14 (1) Affogato

137 24 29
                                        

DERAP langkah dihayun laju. Sesekali mata mengerling bacaan paparan waktu di pergelangan tangan. Mujahid benar-benar berharap agar dia tidak terlambat. Setibanya di luar pintu utama K2, dia berhenti sebentar, mendamaikan aturan nafas yang sedikit berantakan.

"Encik Mo?" Satu suara yang memanggil memaksa Mujahid berpaling. Dua orang lelaki yang berdiri berhampiran K2 sedang memandangnya. Jika tidak silap, salah seorang daripada mereka yang memanggil tadi.

"Maaf, saudara ni Encik Mo, kan?" soal lelaki yang lebih muda berbanding seorang lagi.

"Ya saya. Maafkan saya. Kita kenal ke?" tanya Mujahid mendekati kedua-duanya. Setakat ini yang menggelarnya Encik Mo hanya Qaira dan mereka di K2.

Lelaki yang lebih tua tertawa kecil. "Minta maaf, nak. Kami tidak tahu nama anak yang sebenar. Qaira selalu bahasakan Encik Mo ... Encik Mo ... kami pun terikut-ikut sama," jelas Johari.

Mujahid tidak pasti sama ada pernah bertemu dengan mereka ataupun tidak. Wajah mereka seakan-akan biasa dilihat. 'Tetapi ... di mana?' Minda sempat dikerah bekerja cuba mengecam dua lelaki yang berdiri di hadapannya.

"Nama pak cik, Johari. Qaira anak bongsu pak cik. Ini pula Qaleel, abang kembar Qaira," terang Johari lanjut apabila Mujahid masih diam terpinga-pinga.

Penjelasan ringkas Johari mematikan persoalan yang berlegar di benak. 'Qaira? Mereka ini ahli keluarga Qaira?'

Segera tangan dihulur bersalaman dengan kedua-dua lelaki itu. "Saya Mujahid." Dia memperkenalkan diri. Senyum diukir semanis dan selebar mungkin.

'Galeri foto Qaira di Facebook,' fikir Mujahid. Patutlah Johari dan Qaleel seperti biasa dilihat sebelum ini. Dia sama sekali tidak menduga akan bersua dengan ahli keluarga Qaira di situ. Apatah lagi ayah dan pasangan kembarnya.

"Apa khabar, pakcik? Qaleel?"

"Baik, alhamdulillah," jawab kedua-duanya serentak.

"Tengah tunggu Qaira ya? Eh, kenapa tidak masuk ke dalam?"

"Tak mengapa. Sementara tunggu Qaira habis kerja, saja-saja ambil angin di luar ni. Mujahid nak ke mana? Tergesa-gesa pak cik tengok."

Tanpa teragak-agak, Mujahid menceritakan tujuan kedatangannya untuk bertemu Qaira. Berbeza saat mendepani Qaira, dia tidak kekok berbicara dengan Johari dan Qaleel. Seolah-olah sudah lama saling mengenali, ketiga-tiga mereka terus rancak berbual sehinggalah Qaira muncul di hadapan pintu K2.

"Hah, tu. Panjang umur dia." Qaleel menjuih ke arah Qaira.

Gadis itu riang melambai sebaik sahaja terpandang Johari dan Qaleel. Namun, raut wajah sedikit berubah tatkala mengesan kewujudan Mujahid di samping mereka. Dia menapak merapati ketiga-tiganya. Tangan Johari dan Qaleel disalami.

"Encik Mo ... Encik Mo buat apa di sini?" soal Qaira menoleh pada Mujahid. Dia hairan. Sehari suntuk tidak nampak bayang lelaki itu di K2, tiba-tiba terpacul mendadak begitu. Sempat ekor mata menangkap lirikan nakal Qaleel. Qaira buat tidak peduli.

"Saya baru habis kerja. Datang nak jumpa Qaira sekejap. Hendak beri ini," ucap Mujahid sambil menyuakan sebuah beg dingin berpenebat berwarna biru.

Qaira menyambutnya. "Apa ni, Encik Mo?" Beg dingin berkenaan di buka. Terdapat sebekas aiskrim perasa vanila dan termos air panas yang Qaira yakin di dalamnya berisi espresso.

"Affogato." Memekar terus senyuman di bibir. "Encik Mo bawakan saya affogato. Terima kasih banyak-banyak," ujarnya girang. Langsung teringat akan pertanyaan lelaki itu beberapa hari lalu tentang apa yang gemar dinikmatinya setelah penat bekerja.

Bukan Sindrom NightingaleCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang