Catatan Rindu untuk Kasih #4

97 19 7
                                    

Assalamualaikum suri hati abang,

Jangan bosan jika abang kerap berbicara tentang rindu. Abang tidak pasti sampai bila episod rindu ini akan berterusan. Tetapi, percayalah. Abang tidak akan sekali-kali mengalah dengan KITA.

Ruang.

Apa yang telah berlaku membuatkan abang sedar, antara perkara penting dalam sesuatu hubungan itu ialah ruang. Ya, ruang.

Ingat lagi tak waktu Kasih berasa jengkel dengan kehadiran abang? Kasih cakap terus di hadapan muka abang sama ada boleh ataupun tidak dalam satu hari abang tidak ganggu Kasih.

Abang tersentak. Abang tidak pernah fikir akan terima reaksi sedemikian daripada Kasih. Abang datang dengan harapan setinggi gunung ingin mengajak Kasih keluar makan malam. Sudahnya, disebabkan insiden tidak terduga itu, abang pulang dengan seribu satu bentuk kecewa dan hampa.

Kekecewaan dan kehampaan itulah yang memaksa abang berfikir panjang, kenang tindakan-tindakan abang. Rupanya selama ini, abang telah banyak mengganggu ruang Kasih, menyesakkan Kasih. Memang wajarlah abang dibentak dan dimarah.

Sejak hari itu, abang cuma memerhati dari jauh, ambil tahu dari jauh semua perkembangan Kasih. Abang  cuba sedaya upaya memperuntukkan ruang yang Kasih perlukan. Seksanya hati ini dari hari ke hari menegah jasad agar tidak menuju ke K2, mencari Kasih yang saban detik dirindu.

Abang cuba untuk tidak langgar sempadan itu. Perkara terbaik yang boleh dilakukan untuk seseorang yang kita cinta ialah dengan memberikan si dia ruang dan masa secukupnya.

Sama seperti sekarang ini. Abang terus merindui dan mencintai dari jauh.

Petang tadi, abang nampak Kasih keluar bersama kawan-kawan K2. Kalau diikutkan rindu, mahu sahaja abang bergegas mendapatkan Kasih. Memeluk Kasih.

Puas abang bergelut dengan perasaan, menahan gerak agar tindakan tidak mendahului waras akal. Abang bimbang keceriaan Kasih akan berganti sugul sebaik sahaja ternampak kelibat abang.

Kasih,
Sesuatu hubungan itu sewajarnya menjadikan kita bebas bukannya terjerat. Menyenangkan bukannya menyesakkan. Memberi ruang bukannya menceroboh.

Kadangkala kita perlu sekadar mencintai seseorang dari jauh, memberikannya cukup ruang dan masa untuk berfikir sebelum dia kembali ke dalam hidup kita semula.

Ini harapan abang. Abang tidak akan putus berdoa agar Kasih kembali kepada abang. Ambillah sebanyak mana masa dan ruang yang Kasih perlukan. Abang bersedia memberikan semua itu buat Kasih kerana Kasih satu-satunya insan yang abang cintai.

Yang menantimu pulang ke dakapanku,
Cinta

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now