Bab 19 - Ini Bukan Kopi Juara

149 29 26
                                    

SEBUAH termos kopi berwarna kelabu yang terletak elok di atas meja dicapai oleh Mujahid. Termos dihiasi lakaran doodle bertemakan kopi dan tertera nama 'Encik Mo' itu merupakan pemberian Qaira. Melalui tulisan nota pada kad yang diterima, Qaira menggunakan khidmat seorang rakan pelukis untuk menghias termos tersebut khusus buat dirinya.

Dia tersentuh. Nyata gadis itu ingin menjernihkan keadaan rentetan perselisihan kecil antara mereka. Dalam seminggu ini, sudah beberapa kali Qaira menghantar hadiah, menitip pesan dan bertanya khabar. Percubaan membeli jiwa dan memujuknya.

Mengenangkan Qaira, kalbu dipagut bisa rindu tidak bersempadan. Apa khabar gadis pujaannya? Adakah Qaira baik-baik sahaja?

"Jauh mengelamun? Ingat buah hati ke?" Mujahid segera berpaling. Akmal Farihin sedang tersengih di muka pintu bilik.

"Eh, ngah! Mama ada tinggal barang ke?" soal Mujahid, pelik melihat keberadaan adiknya di situ. Sesekali, Farihin memang akan menjemput Aishah untuk tidur di rumahnya semalam dua. Sekurang-kurangnya dapatlah wanita itu bertukar suasana. Baru sekejap tadi dia melepaskan Aisyah mengikut Farihin pulang ke rumah. Tidak sampai sepuluh minit sudah berpatah balik.

"Mama, biasalah. Kalau tak ada barang tinggal kan tak sah," balas Farihin tersenyum seraya menayang beg kecil berisi ubat-ubatan yang perlu diambil Aisyah saban hari.

"Okey, gerak dulu, long. Jangan dok menung layan jiwang je. Kalau rindu, pergilah jumpa dia. Cepat sikit angah dapat kakak ipar," usik Farihin sebelum beredar. Dia tahu sekarang ini si abang sulung sudah pandai bermain cinta.

Mujahid menyandarkan belakang tubuh ke kerusi. 'Kalau rindu, pergilah jumpa dia.' Kata-kata Farihin bergema semula di layar minda. Keluhan berat terbit dari seulas bibirnya tanpa mampu ditahan. Alangkah baik jika semudah itu dia dapat melempiaskan rindu.

Namun, dia harus menghormati permintaan Qaira. Qaira tidak selesa diasak. Dia tidak mahu membuatkan gadis itu berasa jengkel atau sesak dengan kehadirannya. Cukuplah insiden tidak terduga yang dicetuskan Layla tempoh hari. Perkara sebegitu tidak akan diizinkan berulang.

Telefon bimbit yang berbunyi dicapai. Skrin yang menyala diperhatikan. Pesanan daripada Qaira.

'Encik Mo? Dah dapat kiriman saya? Suka tak termos tu?'

Tersenyum sendiri, Mujahid membalas pesanan sang pencuri hati dengan sebaris ayat tiga patah kata. Memadai hanya dengan itu. Andai Qaira benar-benar mendambakan ruang buat diri, dia dengan rela hati sedia memperuntukkan ruang itu seluas-luasnya.

EDRUS dan Amira berkerumun meneliti paparan skrin telefon bimbit yang sedang diunjukkan oleh Qaira. Balasan mesej daripada Mujahid dibaca.

'Terima kasih, Qaira.'

"Terima kasih, Qaira? Itu aja? Datuk aku pun boleh tulis mesej lebih panjang daripada tu!" komen Edrus. "Sudah terang lagi bersuluh, Q. Encik Mo memang jauh hati dengan kau. Sahih! Tiada ragu lagi."

"Itulah, masa orang tu ada tak layan betul-betul. Orang tu bawa diri baru kau terkemut-kemut tercari-cari," sokong Amira pula.

Qaira memandang teman-temannya silih berganti. Tiada walau seorang pun yang menawarkan simpati, berusaha melunakkan gundah hati. "Korang ni tak payah tambah runsing aku boleh tak? Yelah, aku salah! Ni kan aku tengah cuba nak pujuk dia ni."

"Dah terlambat!" tokok Edrus. Dia kemudiannya memanggil Riduan yang berada di belakang kaunter. "1 hari lagi, Duan!" laungnya sambil mengangkat tinggi jari telunjuk ke udara.

Riduan mengangguk laju. Lantas dia mengambil pen penanda dan menghampiri kalendar yang tergantung di dinding berdekatannya. Dia melukis satu simbol pangkah pada tarikh hari berkenaan. Sudah lapan hari berturut-turut Encik Mo tidak berkunjung ke K2.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now