Catatan Rindu untuk Kasih #3

161 30 31
                                    

Assalamualaikum belahan jiwa,

Apa khabar Kasih hari ini?

Hari ini abang lihat hantaran-hantaran Kasih di Facebook dan Instagram. Cantik-cantik latte art yang Kasih buat. Memang berseni. Abang paling suka yang berbentuk bunga mawar. Dari dahulu Kasih cuba nak buat supaya kelopak mawarnya bertindan cantik dan lebih realistik, kan? You did it.

Senyuman Kasih ketika memegang cawan kopi yang sempurna corak rekaannya  itu sangat bermakna untuk abang. Abang tahu Kasih puas hati dan abang turut tumpang gembira. Kasihlah peminat kopi paling tegar yang abang pernah jumpa. Sehingga hendak cari laluan ke hati Kasih pun perlu guna kopi.

Pagi tadi abang ikut Kasih. Seperti biasa setiap Jumaat, Kasih akan mengunjungi pusaranya. Lama Kasih bersendiri di situ. Sekejap Kasih senyum. Ada kalanya Kasih titiskan air mata. Kasih seolah-olah sedang berbicara. Mungkin mengadu atau meluahkan perasaan.

Hati abang dipagut pilu, sayang. Alangkah baiknya kalau abang sendiri yang jadi tempat Kasih meluahkan perasaan, menghamburkan segala keresahan. Telinga abang ini yang sepatutnya mendengar keluhan dan rintihan Kasih. Bahu abang, dada abang yang sepatutnya jadi sandaran Kasih. Abang benar-benar berharap abang ada di sisi Kasih. Tenangkan Kasih. Jinakkan setiap cebis galau yang mengulit tangkai hati.

Ya Allah, rindunya abang pada Kasih. Apa yang berlaku antara kita ini benar-benar membuatkan abang sakit. Terhukum. Andai ini balasan atas kejahatan-kejahatan abang terhadap Kasih, abang reda.

Kasih,
Dua tiga hari ini abang asyik terkenang percubaan-percubaan awal abang dalam memancing perhatian Kasih. Setiap hari abang akan cari Kasih, ingin lihat wajah Kasih.

Abang bagai sudah berkampung di K2. Kafe tu dah jadi pejabat nombor dua abang. Sampaikan jumpa klien pun diatur di K2. Semuanya semata-mata ingin dekat dengan Kasih. Berpeluang memerhatikan Kasih buat kerja dari jauh hantar segantang kehangatan dalam hati abang. Abang senang dengan perasaan itu.

Abang tidak akan lupa waktu Kasih hidangkan abang air kosong. Ya, air kosong. Tetapi, percayalah, itu air kosong paling sedap dan nikmat yang pernah abang rasa.

Cuma Kasih salah. Kasih kata air itu akan dapat meneutralkan keadaan abang. Tidak sama sekali. Walau abang teguk hingga habis, gelora hati abang tidak tenang sebaliknya makin memberontak mendambakan Kasih.

Dahsyat betul penangan Kasih, bukan? Selalu abang pujuk hati, abang tak boleh berputus asa. Abang kena terus mencuba.

Dan apabila Facebook request abang yang sekian lama Kasih pandang sepi diterima, abang terlalu gembira. Besar ertinya satu butang 'Terima' yang Kasih tekan hari itu.

Kita dah jadi kawan.

Yang amat merindui sahabat hati,
Cinta

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now