Bab 26 - Mula

90 18 23
                                    

SUASANA di meja makan meriah tengah hari itu. Seperti biasa, apabila kesemua anak menantu berkumpul, Aishah sibuk memasak pelbagai hidangan istimewa. Gembira dia menyediakan masakan kegemaran anak-anak dengan dibantu Qaira dan Izzah.

"Sedapnya bau nasi Arab mama ni!" puji Farihin, menyambut mangkuk besar berisi juadah utama mereka dari tangan emaknya lalu diletakkan di atas meja. Nasi Arab Mandy lengkap dengan sup, acar sayur dan sos harrah.

Masing-masing sudah tidak sabar untuk menjamu selera. Gamat ruang tersebut dengan suara-suara saling bertingkah, bertanya khabar sesama mereka. Paling jadi tumpuan, tentulah pasangan pengantin yang baru pulang berbulan madu.

"Gambar yang abang long dan kak long pakai kimono dekat Kyoto tu cantik," ujar Izzah. Selain kimono biasa, Qaira juga berpeluang mengenakan uchikake, pakaian tradisional mewah berseni yang biasanya dipakai oleh pengantin di sana.

"Yang dekat Arashiyama Bamboo Forest tu pun not bad," sampuk Firdaus merujuk kepada hutan buluh yang turut dikenali sebagai Sagano Bamboo Forest. Mereka sedang berbual mengenai gambar-gambar percutian Mujahid dan Qaira semasa melawat tarikan-tarikan menarik di sekitar Kyoto.

"Tahu tak, tengok gambar along dan kak long banyak bergaya dengan kimono, mama risau takut korang seronok sangat duduk sana sampai lupa nak balik sini." Farihin bocor rahsia.

"Tak kanlah sampai lupa balik ...." Mujahid ketawa sambil melirik Aishah.

"Eh, mestilah! Gaya along dengan Q dah macam orang tempatan! Siap pakai persalinan pengantin lagi. Ni nasib baik balik reti cakap Melayu," giat Aishah. Semua yang berada di meja makan ketawa kecuali Farina. Wanita itu mencebik dan memutarkan bola mata. Jengkel melihat perhatian yang diberikan kepada menantu baharu keluarga itu.

"Haa ... dah mari kita makan. Ucu kata dia lambat sedikit. Dia pergi ambil brownies di rumah Biha. Tak usah tunggu dia. Kita makan dahulu," nyata Aishah, menepuk tangan Mujahid mengisyaratkan anak sulungnya agar membacakan doa.

Selesai doa makan dibaca dan diaminkan, loceng pintu berbunyi. Serentak itu, telefon bimbit Mujahid berdering. Mengangkat telefon, Mujahid bangun dari meja makan.

"Ucu ke? Tak kan dia tak bawa kunci?" aju Aishah hairan. Fokus beralih pula kepada Qaira yang menyendukkan nasi ke pinggan. "Cukup, Q. Terima kasih," ucapnya apabila dihulurkan bekas air untuk membasuh tangan.

Mujahid muncul semula ke ruang itu. Sewaktu Qaira hendak mengisi pinggannya dengan nasi, cepat-cepat dia menegah. "Tak perlu, sayang. Abang makan kejap lagi."

Sejurus, dia berpaling memandang mama dan yang lain. "Kalian makan dulu ya. Layla datang."

"Layla? Kenapa dia cari along?" soal Aishah.

"Ada perkara along nak bincang sikit dengan dia," jawab Mujahid ringkas. Agak lain kedengaran intonasi suaranya kala itu.

Tidak sempat Aishah bertanya lanjut, sekelip mata susuk Mujahid hilang di balik dinding. "Ini yang mama kurang gemar. Dah tak ada beza hari cuti dengan hari kerja," luahnya seraya menggeleng. Kemudian, dia menyuruh anak-anak yang lain supaya mula menjamu selera.

Setelah kira-kira dua puluh minit berlalu, belum nampak batang hidung Mujahid. Aishah meminta Qaira pergi memanggil suaminya. Kebetulan Qaira sudah habis makan. Penangan lamban jet masih bersisa. Biarpun hidangan air tangan ibu mentua enak-enak belaka, dia cuma lalu makan sedikit sahaja sekadar mengisi perut.

"Pergilah panggil mereka berdua, Q. Ajak Layla makan sekali. Entah apa masalahnya. Tak menyempat-nyempat! Kalau nak bincang hal kerja pun lepas makanlah. Macam tak cukup hari," bebel Aishah tidak puas hati. Waktu makan bersama keluarga wajar dimanfaatkan sebaiknya. Tidak sepatutnya diselit dengan agenda kerja.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now