Gubahan indah untuk mengiringi pembacaan kalian kali ini - Pujaanku. Selamat mendengar!
BUTANG kecil pada mesin espresso ditekan buat kesekian kali. Tanpa lelah, Qaira menyediakan satu per satu pesanan kopi pelanggan. Minggu itu memang minggu yang agak sibuk buat semua warga K2. Susulan kejayaannya menjuarai cabaran barista baru-baru ini, Kopi Kasih dan Cinta telah dimasukkan sebagai salah satu menu istimewa K2.
Saban hari K2 diserbu pelanggan yang datang berkunjung semata-mata untuk mencuba kopi juara ciptaan Qaira. Maklum balas yang diterima sangat baik. Kopi Kasih dan Cinta berhasil memikat selera penggemar-penggemar kopi.
Baik dia mahupun Edrus, dua-dua tidak menang tangan. Jika selalu mereka bergilir membancuh kopi, sekarang ini terpaksa bertugas serentak pada masa yang sama. Qaira akan menyiapkan pesanan khusus yang berkehendakkan Kopi Kasih dan Cinta manakala Edrus menguruskan yang selebihnya.
"Amboi, bukan main segak hari ini! Lama tidak nampak. Sibuk ke? Mahu pesan apa?" Seperti biasa Edrus ramah melayan pelanggan di kaunter.
"Hari ini saya ingin kopi yang dinobatkan jadi juara tu."
Semerta pergerakan Qaira terkunci tatkala indera dengar menangkap tutur empunya diri yang membuat pesanan. 'Suara itu.'
Segera dia menoleh.
Mujahid.
Di hadapan Edrus yang tersengih-sengih, susuk lelaki yang sinonim dengan gelaran Encik Mo sedang berdiri, mengukir senyum manis.
Qaira terpempan. Tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tika lensa mata mendarat pada seraut wajah itu, sebuah rasa yang sukar diterjemah melimpahi lubuk hati. Sesuatu yang menyenangkan tetapi gagal diungkapkan dengan kata-kata.
Perbualan antara Mujahid dan Edrus yang kemudiannya disertai oleh Riduan juga sudah sayup-sayup, tidak kedengaran jelas butirannya. Kelam. Peredaran waktu seolah-olah dalam fasa gerakan perlahan. Dia terperangkap dalam menata perasaan sendiri.
Sorot pandang diarahkan mengekori langkah Mujahid yang masih tersenyum sambil menuding ke salah satu bangku di bar kopi, memberi gambaran bahawa dia akan duduk di situ.
"Satu lagi Kopi Kasih dan Cinta, Q!" Laungan Edrus menyentaknya. Cepat-cepat Qaira menyiapkan pesanan. Satu Kopi Kasih dan Cinta. Kopi yang memang diolah saat hati libang-libu memikirkan lelaki itu. Buat julung kali, kopi yang dicipta bakal dicicip sendiri oleh sang pencetus inspirasi.
"Assalamualaikum, Qaira," tegur Mujahid lembut semasa Qaira menghidangkan kopi.
"Waalaikumussalam," balas Qaira, memaniskan muka.
Mereka bertaut tenung. Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya oleh Mujahid untuk menatap Qaira, gadis yang saban hari dirindu. Buat seketika tiada bicara yang terzahir antara kedua-duanya.
YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomantikPertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...