Bab 18 - Cari Jalan

49 12 11
                                    

SPAGETI dipinggan dibiarkan begitu sahaja, tidak dijamah. Minda Layla jauh menerawang. Hakikatnya, dia mati akal. Tandus idea bagaimana hendak mengalihkan semula perhatian Mujahid kepada diri.

Semenjak Mujahid mengenali Qaira, dia terus diabaikan. Mujahid tidak semesra dulu. Sudah tidak punya masa untuk diluangkan bersamanya. Dia benci semua itu. Semakin benci apabila lelaki idamannya secara terang-terangan mengaku cinta terhadap sang gadis penyelamat nyawa.

"Uit, tak nak makan ke spageti tu? Kalau tak nak bagi I la. I lapar lagi ni." Suara Farina menyentak lamunan Layla. Segera pandangan dihalakan ke arah teman yang sedang duduk bersetentang dengannya.

Farina tersengih buat muka sepuluh sen. Lasagna daging kambing yang dipesan telah licin-licau dimakan.

"Nak ke tak nak spageti tu?" ulang Farina. Dari tadi dia terliur melihat hidangan Spageti Ayam Cajun Berkrim yang dipesan Layla.

"Ambillah. I tak ada selera," balas Layla. Dia benar-benar putus angin. Pinggan spageti yang masih penuh disorongkan kepada Farina.

Dengan teruja, Farina mencapai garpu lalu mula menikmati pasta berkrim di hadapannya. Meskipun sudah sejuk, keenakan hidangan berkenaan tetap membelai tunas rasa. Gabungan serasi krim keju dengan kuah pasta berkrim yang pekat diserlahkan lagi dengan ayam yang dipanggang dengan rempah cajun amat membangkitkan selera.

"Apalah you ni ... pesan makanan sedap-sedap lepas tu tak makan. Bazir tau!" omelnya sambil menyambung suapan.

"I buntu ni, Rina. I tak tahu nak buat apa," adu Layla. "Kalau you ada di tempat I sekarang, you pun tak akan ada seleralah nak jamah makanan."

"Kasihan I tengok you, Layla. Parah benar sampai hilang selera. Dahlah, jangan sesakkan kepala fikir teruk-teruk. Abang long dengan perempuan tu belum tentu jadi. Orang yang dah kahwin pun boleh cerai-berai. Inikan pula yang tak ada apa-apa hubungan," pujuk Farina. Tangan Layla ditepuk lembut dalam usaha menenangkan walang hati si sahabat.

"Mana boleh tak fikir, Rina. Geram dengan marah I ni tak surut-surut dari semalam you tahu tak? Lain macam Mujahid kali ni! Bila I tanya kenapa perangai dia pelik, kenapa tak macam dulu ... jawapan dia sebab dia dah jatuh cinta!

Disebabkan perempuan tu, dia boleh ketepikan I begitu sahaja. Sibuk kejarkan cinta, I yang selama ni depan mata dia macam tak ada nilai langsung. Huh, jatuh cintalah sangat!" rengus Layla. Air jus tembikainya disedut laju meredakan tekak yang terasa perit.

"I sendiri tak sangka abang long jadi begitu. Yalah, selama I masuk keluarga tu dan kenal dia, dia tak pernah serius berkawan dengan mana-mana perempuan. Dia ni jenis lelaki yang kahwin dengan kerja. Alah, dengan you pun dia tak tunjuk minat sangat, kan?"

Layla menepuk meja. "Tak tunjuk minat?" Tajam matanya menatap Farina. "Hello! What's not to like about me?" Telunjuk runcing dihalakan tepat ke wajah sendiri. Dia tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan Farina. Cantik rupawan sepertinya bukan sahaja mampu menarik perhatian Mujahid, malah ramai lagi lelaki di luar sana.

"Okey, sorry I salah cakap." Cepat-cepat Farina membetulkan tutur. Enggan mencalarkan hati temannya. "Maksud I, walaupun you dengan abang long rapat, tapi dia jenis tak tunjuk sangat perasaan dia, kan?

Memanglah dia tak declare you tu girlfriend dia, tapi apa-apa dia mesti cari you, nak pergi mana-mana akan bawa you. Sepanjang I ingatlah, you seorang je perempuan yang dia pernah bawa balik rumah. I rasa mama pun dah anggap you menantu.

Cuma sekarang ni bila dia terhegeh-hegeh kejar budak bancuh kopi tu yang I pelik. Tak sangka abang long boleh tergila-gilakan orang macam tu. Euww, taste dia hauk betul! Serius, Layla. Kalau nak dibandingkan you dengan minah pencaras tu, you sepuluh kali ganda lagi cantik tau!"

Ego Layla kian menebal dimuakan pujian Farina. Memang dia tahu dia lebih cantik daripada gadis pelayan tersebut. Dia lebih bergaya. Lebih serba-serbi. Itulah sebabnya dia marah! Qaira tidak layak sama sekali menjadi saingannya.

"You tahu tak ... sekarang ini I dengan Firdaus memang tengah marah dengan abang long. Kami minta tolong dahulukan modal untuk Firdaus mula berniaga, dia tak kasi! Asyik suruh Firdaus buat rangka perniagaan. Nak tengok nak kaji bagai. Sejak sibuk bercinta, dah pandai berkira dengan adik-beradik," tokok Farina penuh emosi. Butir bicaranya laksana menyimbah api yang memarakkan kemarahan Layla.

"Nak tolong adik macam mana, duit semua habis pergi kat perempuan tu!" tukas Layla. Bukan dia tidak tahu Mujahid banyak berhabis wang ringgit membelikan Qaira hadiah yang mahal-mahal.

"Ish, geramlah! Bertahun-tahun I dengan Mujahid, I nilah yang setia sokong dia dari dulu. Dia tak hargai lamgsung! Alih-alih, hanya kerana perempuan tu kononnya selamatkan dia, terus dia puja macam tuhan!"

"Tapi kan ...." Farina terfikirkan sesuatu. Namun kata-katanya tergantung apabila Layla memotong.

"Apa I nak buat ni, Rina? Apa I nak buat ni?"

Jemari diketuk-ketuk di atas permukaan meja. Luahan keresahan yang membelit sanubari. Dia tidak boleh kalah dengan Qaira. Tidak sama sekali.

"Haa ... dengarlah dulu apa I nak cakap. Belum habis cakap you dah potong," tegur Farina. Garpunya diletakkan ke pinggan. Dia mengelap mulut dengan kain napkin sebelum menyambung, "Tapi kan, bagi I dalam hal ni you ada kelebihan."

Layla jongket kening. "Kelebihan apa yang I ada sekarang ni, Rina? Semua dah kena sailang!"

"Mama dah kenal you. You kan selalu datang rumah jumpa mama. I yakin mama akan pilih you. Terima you sebagai menantu. You dah beberapa tapak di hadapan. Lagipun mama jenis yang tak tentukan anak-anak dia nak berjodoh dengan siapa." Farina cuba meyakinkan Layla.

"You dengar tak apa yang you cakap ni? Mana kelebihan I kat situ? Kalau mama jenis tak kisah anak dia berjodoh dengan siapa, lagilah tipis peluang I, Rina! Bukannya mama boleh paksa Mujahid kahwin dengan I! Dah terang-terang I bukan pilihan Mujahid sekarang ni!" bentak Layla sebal. Teman yang diharap dapat menenangkan buncah sebaliknya membuatkan Layla bertambah sakit hati.

Farina terdiam. Dia menepuk dahi memikirkan teori tidak masuk akalnya yang bercanggah sesama sendiri. Sekarang semuanya bergantung kepada Mujahid. Andai Mujahid memilih Qaira, sirna terus peluang Layla. Puan Aishah tidak akan membantah. Tidak akan pertikai. Wanita itu menerima siapa pun jodoh pilihan anak-anaknya.

"I tak boleh berlapang dada, Rina. Kalau dalam sekelip mata je dia boleh buat Mujahid tergila-gilakan dia, I tak terkejut kalau suatu hari nanti satu keluarga, dengan you, dengan mama sekali sujud kat kaki dia."

Farina memutarkan bola mata. Dia juga tidak suka spesies perempuan perampas tidak sedar diri seperti Qaira. "Habis tu you nak buat apa?"

"I perlu fikirkan jalan macam mana I nak singkirkan dia."

"Singkirkan dia?" Farina menyoal kembali.

"Yalah. Nyahkan dia dari hidup Mujahid. Itu sahaja cara untuk I dapat Mujahid kembali." Sarat terkandung kesumat intonasi Layla.

"Kalau I jadi you, I tak akan cuba singkirkan dia. I akan cari jalan untuk lebih rapat dengan dia," saran Farina dengan lirikan bermuslihat.

"Maksud you?"

"Pernah dengar tak orang cakap, dekati kawan-kawanmu tetapi lebih dekati seterumu?" duga Farina. Sebelah alis diangkat penuh makna.

Berkerut dahi Layla mencerna butir bicara Farina. 'Berkawan dengan Qaira? Walau dalam kelahiran atau semesta mana sekali pun, Qaira bukan kawan!'

Layla mendengus. Hatinya berdongkol. Entah mengapa dia merasakan pertemuannya dengan Farina hari itu nyata sia-sia.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now