SKOR muzik di tangan diselak dan diamati. Not-not muzik yang menari di atas lima baris hitam dipanggil staff itu diperiksa. Sesekali, beberapa anak kunci keyboard dibunyikan mengikut not yang tertera. Sebolehnya dia mahu susunan muzik lagu baharu bakal dirakam kelak sempurna hasilnya.
Sudah agak lama Mujahid menghabiskan masa di dalam studio. Sengaja dia menyibukkan diri dengan kerja. Perkara-perkara lain dia enggan ambil pusing. Lagi-lagi hal rumah tangganya. Permasalahan besar antara dia dengan Qaira.
Qaira.
Mujahid membuang keluh. Lembaran kertas muzik dilepaskan ke atas keyboard. Sekuat mana dia cuba mengelak dari memikirkan masalah yang dihadapi, kotak mindanya gagal berbuat demikian.
Telah lama dia bersabar dengan wanita bergelar isterinya itu. Tiga bulan dia menjeruk perasaan, bertahan mendepani kerenah Qaira. Berusaha menyembunyikan pekung rumah tangga dengan rapi kerana tidak mahu kemelut dalaman antara mereka dihidu sesiapa. Tambahan pula, dia ingin lihat sejauh mana Qaira akan terus memanipulasi dengan helah-helah licik.
Tetapi, hari itu Qaira terlalu mencabar diri. Anginnya sudah cukup teruk dengan isu tertunggak di Rustic Records. Tiba-tiba, Layla menelefon menceritakan sesuatu yang menyebabkan marahnya pada Qaira memarak ibarat nyalaan api disimbah minyak.
"Ada staff kita nampak isteri you yang buat. Please, Mujahid. Tolonglah tengok-tengokkan dan tegur dia. Be professional! Ini dah sampai jejaskan kerja kita. I nak jumpa Mr. Tan tadi tau!"
Mujahid benar-benar geram dengan sikap tidak matang Qaira. Yang bermasalah adalah antara mereka berdua? Mengapakah mesti diheret Layla sama?
Entah apa logik di sebalik tindak-tanduknya, Mujahid tidak pasti. Cemburu? Sakit hati? Bukan sekali. Bukan dua kali. Mujahid lelah untuk menghitung.
Jika sebelum ini dia memilih untuk berdiam dan tidak mengambil sebarang tindakan, hari itu sabarnya menemukan erti batas. Permainan dan muslihat Qaira harus ditamatkan.
Sebaik memutuskan panggilan Layla, dia naik ke bilik bersemuka dengan Qaira. Menepati jangkaan, Qaira yang nyata-nyata sudah tertangkap enggan mengaku salah. Malah, tegar sahaja berdalih memerankan watak polos, kononnya tidak tahu apa-apa.
Pergaduhan tercetus. Tika itu Mujahid bertekad tidak lagi memendam rasa. Dia menjelaskan kepada Qaira bahawa dia sudah tahu semua. Setiap apa yang Qaira selindungkan daripada pengetahuannya.
Mereka bertelingkah. Sedar rahsianya bocor dan gagal mempertahankan diri, Qaira keluar dari rumah. Tidak nampak bayangnya sehingga ke hari ini.
Biarlah. Mujahid sendiri tiada niat untuk mencari.
Demi Tuhan, dia perlu ruang untuk bertenang. Untuk kembali membetulkan kompas diri yang orientasinya selama ini dipesongkan oleh Qaira!
Salah cinta. Ya. Hakikatnya, dia salah cinta. Adakah manusia lain yang sebodoh dirinya? Jatuh cinta separuh nyawa pada orang yang salah. Sewenangnya rela menyerahkan sekeping hati diperkotak-katikkan begitu sahaja.
Siapa yang bercinta untuk disakiti? Siapa yang berkahwin untuk derita?
Mujahid meraup muka. Dia memang bodoh. Bodoh lantaran terpedaya dengan omongan cinta tiada nilai Qaira. Bodoh mengizinkan diri jadi objek senda wanita itu.
Qaira merenggut istilah gembira dari kamus hidupnya. Hasrat mengecap syurga indah bersama suri hati langsung sirna kerana tuan empunya diri melalui siri tindakannya telah membuatkan kehidupan Mujahid berantakan.
Sekarang ini, bukan sahaja hubungan antara dia dengan Qaira hebat diamuk badai, bahkan apa yang lebih teruk, hubungan antara Mujahid dengan mamanya turut jadi keruh.
![](https://img.wattpad.com/cover/203353025-288-k772032.jpg)
YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomancePertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...