Bab 25 - Kasih Milik Cinta

93 17 10
                                    

AROMA kopi semerbak menerjah deria bau. Qaira mengangkat muka. Mujahid sedang berjalan ke arahnya membawa sebiji kole berisi kopi panas.

Qaira tersenyum girang. Mujahid dan kopi. Dua-dua kecintaannya. Dia yang duduk bersimpuh di atas permaidani bilik tidur mereka bersama sebuah beg pakaian berganjak sedikit menyediakan ruang buat sang suami. Isi beg dan barang-barang yang telah dikeluarkan dialih ke tepi.

"Bahagianya Q dapat suami yang bancuhkan kopi istimewa setiap hari. Terima kasih, abang," tutur Qaira sambil menyambut huluran kole dari Mujahid. Lelaki itu bersila di sampingnya.

Kopi dihirup penuh nikmat. "Sedap kopi Encik Barista Q buat."

"Tengoklah siapa guru abang! Juara cabaran barista kot," balas Mujahid. Senang melihat reaksi isteri yang sedemikian. Kegembiraan Qaira tika dapat kopi umpama terima intan permata.

"Banyak lagi yang hendak dikemas? Nak abang tolong?"

Qaira menggeleng sembari menyuakan kopinya untuk turut diminum oleh suami. "Dah nak siap. Q tengah asingkan souvenirs untuk mama dan adik-adik." Menyedari kesan buih halus susu yang bersisa di hujung bibir Mujahid, Qaira mengelapnya lembut dengan ibu jari.

"Kenapa? Ada milk moustache ke?"

"Ha ah. Dah tak ada dah."

"Patut guna bibir, bukan guna jari," gurau Mujahid mengulum senyum. Qaira yang pada mulanya tidak menangkap makna tersirat di sebalik kata-kata Mujahid terus tersipu-sipu. Merah mukanya menahan malu.

Mereka baru pulang dari berbulan madu di Jepun. Sebaik selesai majlis menyambut menantu di pihak keluarga Mujahid, kedua-duanya berangkat ke negara matahari terbit, destinasi yang dipilih Mujahid sebagai kejutan buat Qaira.

Meskipun keletihan menempuh penerbangan yang panjang, sampai sahaja di rumah Qaira tidak bertangguh mengemas bagasi. Teruja dia mengeluarkan oleh-oleh yang dibeli khusus buat ahli keluarga dan kawan-kawan di K2.

"Rehat dulu, sayang. Hadiah dan cenderahati boleh beri nanti. Sayang masih jet lag tu," tegur Mujahid, khuatir akan keadaan Qaira yang mengalami lamban jet.

"Tak mengapa. Sikit je. Lepas ni Q nak siapkan baju abang pula. Esok abang masuk kerja, kan?"

"Hmm. Kalau ikutkan hati abang, nak cuti lama lagi," luah Mujahid. Tempoh seminggu lebih di Kyoto dan beberapa bandar lain bagaikan terlalu singkat. Tidak puas memadu kasih, tahu-tahu sudah tiba masa untuk kembali ke tanah air.

Dia belum bersedia untuk berenggang dari isteri tercinta. Namun apakan daya, kerja yang menumpuk di Rustic Records tidak wajar diabaikan begitu sahaja. Esok, dia perlu ke pejabat setelah dua minggu bercuti.

"Sebut pasal kerja, abang nak tanya betul-betul ni." Mengubah posisi duduk, tubuh disandarkan santai pada sofa berhampiran. Dengan lembut susuk Qaira ditarik rapat ke dalam rangkulan.

"Tanya apa?" soal Qaira mendongak memandang suami kendatipun dia dapat mengagak apa yang bakal diutarakan Mujahid.

"Sayang betul ke tak nak kerja buat sementara waktu? Dah fikir masak-masak?" Helaian rambut Qaira yang terjuntai jatuh di pipi kiri disisipkan ke balik telinga. Kemudian, ubun-ubun sang isteri dikucup penuh kasih.

"Betul. Tiga empat bulan ni Q fikir mahu tumpu masa jaga abang, jaga mama dan urus rumah tangga kita dahulu."

"Are you sure?"

Telefon yang berbunyi mencelah interaksi mereka. Mujahid mengerling sekilas nama pemanggil yang tertera di skrin. Dibiarkan panggilan tidak bersahut hingga deringan berakhir. Selepas menukar tetapan ke mod senyap, tumpuannya kembali terhala ke wajah milik isteri.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now