Bab 3 - Kopi & Kraf

232 33 34
                                    

SUASANA di K2 (Kopi & Kraf) agak lengang ketika Diha 'Afina melangkah masuk. Maklumlah waktu makan tengah hari telah berakhir jadi kafe tidak sesibuk mana. Hanya ada beberapa orang pelanggan yang sedang menikmati minuman masing-masing.

Baru sahaja hendak melepaskan lelah, dia dimaklumkan berita tidak terduga oleh salah seorang pekerjanya. Berita penangkapan Qaira.

"Betul ke ni, Ed? Q kena tangkap polis?" Cepat-cepat dia menarik kerusi. Punggung dilabuhkan berhampiran Edrus yang leka bermain permainan mobil di telefon bimbit. Melihatkan respons acuh tidak acuh Edrus, tangan kanan Diha sengaja menutup permukaan skrin telefon anak muda itu. Ingin perhatian tidak berbelah bahagi daripadanya.

Edrus mengangkat muka. "Itulah yang saya dengar, kak. Dia telefon kafe. Abang Ariyyan yang angkat. Lepas tu, terus Abang Ariyyan ajak Duan temankan pergi balai. Abang cuma suruh beritahu akak. Takut akak tercari-cari sebab tadi abang call akak tak dapat," jelasnya panjang lebar.

Diha memang tiada di kafe dari pagi kerana pergi menghantar makanan ke rumah anak-anak yatim di pinggir bandar. Kebetulan telefon bimbitnya kehabisan bateri.

"Apa Q buat sampai dia kena tangkap polis?" soal Diha musykil. Nadanya dilatari runsing.

Edrus sekadar menjongket bahu. Perlahan-lahan cuba mengalihkan jemari Diha yang masih melekat di atas skrin telefonnya.

"Q tak kena tangkaplah, kak," celah Amira yang muncul dari dapur. Dia membawa sedulang mufin coklat berinti mentega kacang yang baru siap dibakar.

Diha berpaling. "Habis tu? Ed cakap Abang Ariyyan kena pergi balai ni ...."

"Si Ed ni macamlah akak tak biasa. Info dia mana pernah betul!" Dulang diletakkan di atas kaunter. Bekas kaca di hadapannya dibuka. Menggunakan penyepit, mufin-mufin dipindahkan dan disusun untuk jualan.

"Q cuma kena bagi keterangan kat polis. Dalam perjalanan nak ke sini, ada kemalangan, dia jadi saksi. Lebih kurang macam tu lah," terang Amira.

Diha menghembus nafas lega. Segera bahu Edrus ditepuk geram.

"Kamu ni Ed, lain kali bila orang cakap cubalah dengar dan cerna bagi faham sikit! Ni tak, telinga tu asyik bersumbat je!" Sengaja dicabut salah satu fon telinga Edrus ekspresi tidak puas hati. Pekerjanya yang seorang itu, telefon bimbit ibarat berjahit di tangan. Jikalau tidak sibuk bermain permainan, masa akan dihabiskan dengan TikTok, Instagram, Twitter dan Youtube.

Edrus hanya tersengih umpama kerang busuk. Reda dibebel oleh Diha. Kemudian, dia bingkas bangun apabila mengesan kelibat dua orang pelanggan yang menjejakkan kaki ke dalam kafe.

"Selamat datang ke K2!" ucapnya ramah, mengalu-alukan kedatangan mereka. Langkah diatur laju ke belakang kaunter, bersiap sedia untuk menerima pesanan.

ARIYYAN menarik brek tangan. Melalui cermin pandang belakang kereta dia memandang Qaira. "Kamu okey, Q?" Sempat dilirik telatah Riduan di sebelah. Sedari tadi menghidu-hidu bungkusan makanan di tangan yang memancing seleranya.

Qaira menganggukkan kepala seraya tersenyum. "Terima kasih banyak-banyak, bang sebab tolong Q. Maaflah dah susahkan abang."

Sesudah insiden dengan Encik Mo, dia menghubungi Diha. Ingin meminta jasa baik Diha atau teman-teman di kafe menjemputnya di tempat kejadian. Dengan baju berlumuran darah, mustahil dia boleh menapak ke K2 tanpa menimbulkan tanda tanya atau mencetuskan rasa panik orang awam.

Malangnya, Diha gagal dihubungi. Mujurlah sewaktu menelefon K2, Ariyyan, suami kepada Diha yang menjawab panggilan. Lelaki itu datang menjemput dan menghantarnya ke balai polis untuk memberi keterangan. Ariyyan dan Riduan turut menemaninya sehingga semua urusan di balai polis selesai.

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now