Assalamualaikum.
Kekasih hati yang abang cintai,
Apa khabar, sayang? Kasih baik-baik sahaja, bukan?
Hari ini abang tonton video 'pertemuan pertama' kita. Abang rindu ....
Kasih tahu tak, malam pertama abang dirawat, abang langsung tak boleh tidur. Teringatkan Kasih. Abang kesal kerana semasa kita berbual-bual sambil tunggu ambulan, abang tidak bertanya lanjut tentang Kasih. Sekurang-kurangnya nama penuh Kasih atau di mana Kasih bekerja. Yelah, dengan situasi kita masa tu, abang pun tak mampu berfikir dengan betul.
Tetapi abang cuba untuk positif. Dengan dunia serba canggih dan kehebatan kuasa media sosial, abang yakin akan dapat jejak Kasih. Lagipun video kita sudah tersebar seluas-luasnya. Orang nampak Kasih. Wajah Kasih jelas dalam tu. Mustahil kalau abang cari Kasih abang tak akan jumpa.
Nyata abang salah. Sangat sukar mencari seseorang yang tidak mahu ditemui. Kasih terlalu privasi. Saban hari pekerja abang berusaha untuk menjejak Kasih. Mereka hubungi Kasih agar Kasih bersetuju untuk bertemu abang. Abang nak personally jumpa Kasih untuk ucap terima kasih.
Kasih enggan. Kasih kata Kasih tidak perlu sebarang penghargaan. Kasih hanya lakukan apa yang perlu dilakukan dan Kasih tidak selesa diganggu.
Salah abang juga pada masa tu. Abang takut dengan perasaan sendiri. Abang guna alasan untuk berterima kasih dan ingin beri ganjaran pada Kasih kerana sudah selamatkan abang. Soal perasaan pun abang nak buat formal macam bisnes, kan? Mengenali siapa Kasih, mengetahui keluhuran dirimu, sudah tentu Kasih tidak akan terima.
Sedangkan abang ingin lebih dari itu. Bukan sekadar ingin berterima kasih. Abang ingin mengenali Kasih. Mendekati Kasih. Menjadikan Kasih sebahagian daripada hidup abang.
Ingat lagi tak Kasih cakap apa pada abang hari kejadian itu?
Semuanya akan selamat.Hati abang ini yang tidak selamat, sayang. Setiap detik teringatkan Kasih.
Semasa Kasih bangkit dan berlalu pergi, abang tahu Kasih bukan pergi begitu sahaja. Kasih bawa sekali sesuatu milik abang bersama Kasih. Separuh hati abang Kasih ambil.
Semenjak insiden itu, setiap hari abang berharap. Setiap hari jugalah abang memasang angan. Mengimpikan saat kita bertemu semula. Kita pernah crossed path. Tak mustahil lain kali kita akan terserempak juga, bukan? Pekerja abang tidak lagi disuruh mencari apatah lagi menghubungimu sebab abang hormati pendirian Kasih. Ruang privasi yang Kasih damba.
Malangnya, makin lama abang rasa harapan tu makin tipis. Setiap kali bermulanya hari baharu, Kasih makin jauh sedangkan hati abang semakin sakit. Dalaman abang umpama berlohong.
Alhamdulillah, sayang. Pertemuan kedua kita mengubah segala-galanya. Abanglah manusia paling gembira dan sampai bila-bila pun abang akan terhutang budi pada Ariyyan. Biarpun masa tu Kasih menolak dan menidakkan kehadiran abang, abang yakin Kasih belahan jiwa abang. Kasih cinta hati abang.
Abang juga tidak akan lupa akan kemanisan sweet americano yang Kasih hidangkan pada abang petang yang penuh bermakna itu. Manis dan mengasyikkan. Umpama seribu satu perasaan abang buat Kasih yang bergabung harmoni menjadi satu.
Kasih,
Sebelum ini abang tidak pernah percaya soal hati. I am a very objective person and I'm OK with that. Abang tak pernah serius fikir tentang perasaan abang atau apa yang abang perlu untuk lengkapkan hidup abang.Abang cuma fikir nak cari duit, cukupkan keperluan mama. Pastikan mama dan adik-adik dapat hidup selesa. Itu keutamaan abang. Dapat bahagiakan mereka, abang bahagia. Abang tak endahkan kehendak hati abang sendiri.
Kalau ada kawan-kawan yang terbawa-bawa perasaan, hanyut dalam cinta dan asmara, abang akan tertawakan mereka kerana abang anggap mereka terlalu layankan perasaan. Tidak realistik. Abang tidak pernah cuba memahami.
Akhirnya terkena pada batang hidung abang sendiri. Abang tak pernah sangka seseorang yang asing boleh beri impak besar pada orang lain. Buat kita berubah dan berbeza dari diri kita yang sebenar.
Seseorang itu ialah Kasih. Kasih jadikan abang seorang lelaki yang lain. A totally different person. Abang tak pernah fikir soal cinta, soal rindu. Kasih buat abang jadi pemburu yang tanpa lelah mendambakan semua itu.
Abang ikut Kasih lagi hari ini. Kasih jumpa seorang teman. Dia beri Kasih sebuah beg kertas dan Kasih nampak gembira sangat. Menilai dari senyuman mewah Kasih, abang tahu ada sesuatu berkaitan dengan kopi di dalam beg itu.
Seksa sungguh beban rindu ini, sayang. That smile was not even meant for me (senyuman itu mungkin untuk biji kopi di dalam beg kertas di tanganmu), tetapi abang dah cukup bahagia mengusung indahnya hingga ke dalam mimpi.
Kasih,
Harapan abang, andai Kasih masih punya niat untuk terus simpan bahagian hati ini, bernafaslah serentak dan senada dengan abang. Abang janji abang akan baiki segala kekurangan dan cari 'sempurna' untuk kita.Andai tidak, abang rayu ... tolong pulangkan bahagian hati yang Kasih curi. Abang akan cuba bersedia untuk terima kesakitannya.
Akan tetap setia mencintai dan menyayangi,
Cinta
YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomansaPertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...