Prolog - Menoktahkan Aku dan Dia

434 46 43
                                    

SUASANA hening malam itu tidak sehening dan sekontang kolam hati Aysar Mujahid. Sudah beberapa ketika dia duduk di meja kerja, tekun menulis sesuatu. Apa yang terbuku di hati diluah menjadi aksara-aksara yang diabadikan ke atas lembaran sebuah buku berkulit keras.

Saat tulisan dinoktahkan, dia menarik nafas lega. Bebanan yang selama ini ibarat batu besar yang menekan pundaknya kini telah pun terangkat.

Mujahid berteleku membaca semula catatan lima buah perenggan yang dicoretnya tadi. Kata demi kata. Ayat demi ayat. Stanza demi stanza. Berulang-ulang kali. Serentak itu, minda dibawa terbang melayang menjengah memori silam yang mengocak tenang rasa.

Bunyi ketukan di pintu mengheret Mujahid kembali ke alam nyata. Dia berpaling.

"Along?" Kedengaran suara mamanya dari balik daun pintu. "Along dah tidur ke?"

"Jaga lagi ni. Masuklah, ma. Pintu tak kunci."

Sekejapan itu, terjengul Aishah melempar senyum ke arah anak sulungnya. Perlahan dia melangkah masuk. Mujahid dirapati.

"Pukul berapa along balik? Mama tak sedar pun?" Bahu Mujahid disentuh lembut. Pandangan mata mendarat penuh kasih pada sebujur wajah anaknya.

"Adalah dalam sejam tadi. Waktu tu mama dalam bilik, tengah solat. Along tak mahu kacau," balas Mujahid.

"Along dah makan?" soal Aishah lagi. Punggung dilabuhkan ke birai katil.

"Sudah, ma. Sebelum balik tadi makan di kedai mamak dengan Budi."

"Betul ni along dah makan?" Jelas jawapan tersebut tidak berjaya memuaskan hati Aishah. Entahkan betul sudah makan entahkan tidak.

"Hari ini mama masak lauk kegemaran along, gulai lemak udang dengan belimbing buluh. Sambal belacan dan ikan puyu kering pun ada. Nak mama panaskan untuk Along tak? Mama teman along makan sekali ya." Bersungguh-sungguh dia mengajak, cuba memancing selera si anak.

Lauk gulai lemak udang memang kegemaran Mujahid. Biasanya, pasti bertambah nasi yang dimakan apabila juadah berkenaan dihidangkan. Apatah lagi andai digandingkan dengan sambal belacan.

Aishah bimbang. Belakangan ini keadaan Mujahid memang tidak terurus. Makan minum tidak menentu. Rehatnya tidak sempurna. Tidur hanya sepicing dua.

"Tak mengapalah, ma. Along kenyang lagi ni. Nanti kalau along lapar, along panaskan sendiri."

"Hmm. Yelah. Ikut along. Jangan biarkan perut tu kosong tak berisi. Mama tak suka tengok anak mama sakit sebab tak pandai jaga diri. Jangan aniaya diri sendiri, long. Dah sakit terletak karang susah. Along susah. Mama susah." Kegusaran melihat keadaan si anak dizahirkan melalui bebelan.

"Ni, bawah tudung saji ada brownies coklat. Ucu bawa balik. Kalau along teringin nak makan dengan aiskrim, ambil dalam freezer. Kopi ...." Belum pun sempat dia menghabiskan tutur, Mujahid meningkah.

"Ma, jangan risau. Kalau along nak makan, nak brownies atau kopi, pandailah along turun bawah buat sendiri." Dia bangkit dari kerusi lalu turut sama duduk di sebelah Aishah. Tubuh Aishah dirangkul lantas wanita itu dipeluk mesra.

"Bimbang sangat anak dia kurus tak cukup makan," usik Mujahid, cuba menyuntik ceria dalam perbualan mereka. "Anak mama ni, hukum dah kena pergi gym dah ni. Along dah kena diet," sambungnya sambil tangan menepuk-nepuk perut.

Gurauan Mujahid hambar tidak bersambut. Aishah mencebik. "Dah kerempeng keding macam tu buat apa nak pergi gym lagi!" Kata-katanya mengundang tawa besar Mujahid.

"Bukan apa, along. Mama ...." Sekali lagi bicara tergantung apabila Mujahid menyentuh tangannya.

"Along okey, ma. Along okey." Nada Mujahid bertukar serius. Bersungguh-sungguh dia meyakinkan mamanya. "Percayalah."

Aishah sedaya upaya ingin percaya yang Mujahid baik-baik sahaja. Namun, jauh di sudut hati, dia tahu situasi Mujahid sebaliknya. Cepat-cepat hala pandangan diubah. Khuatir jika riak rawan yang terpapar di tampang muka akan memberi kesan pada emosi si anak.

"Along buat apa tu?" aju Aishah menjuihkan bibir ke arah meja kerja. Tadi sewaktu dia masuk, Mujahid sedang khusyuk membaca sesuatu.

Mujahid senyum nipis. "Selesaikan urusan along dengan dia." Dia membalas ringkas, cuba untuk berintonasi selamba dan bersahaja. Hakikatnya, apa yang keluar dari mulut kedengaran begitu janggal. Terasa kering dan pahit kerongkong saat menuturkan ayat itu.

'Selesaikan urusan dengan dia' bermakna menamatkan segala-galanya. Mujahid sedar dia harus kuat. Dia harus terima bahawa ini jalan yang terbaik.

"Hari ini tak jumpa dia?" Pertanyaan memancing Aishah menyentak dialog minda.

"Maksud mama, hari ini Along tak stalk dia?" Mujahid bergurau lagi.

Tiada respons dari Aishah. Kerancuan nyata melingkari sanubari. Mujahid tahu mamanya runsing mengenangkan apa yang telah berlaku. Aishah malah tidak menyokong kata putus yang diambil.

"Along dah fikir masak-masak?" Tangannya mengusap pipi Mujahid. Dibiarkan di situ buat beberapa ketika. Tidak sampai hati melihat wajah Mujahid yang kian hari kian cengkung. Tubuh anaknya juga makin susut.

Angguk.

"Along kena ingat, perkara ini bukan hanya libatkan Along seorang, tetapi turut libatkan dia. Perasaan dia along kena tenggangkan. Kena ambil kira."

"Sebab libatkan dialah Along nekad, ma."

Keluhan berat terhambur dari sepasang bibir tua milik Aishah. Ikut hati dia tidak bersetuju dengan anaknya. Ikut waras, dia akur itulah pilihan yang paling wajar. Namun, dia sedar. Ekoran tindakan berkenaan Mujahid akan terseksa. Mampukah naluri ibunya melihat kesedihan dan hari-hari kosong yang bakal dilalui sang anak nanti?

"Jujur mama cakap, mama tak suka semua ni. Mama bimbang, long."

Mujahid mencapai tangan kanan Aishah lalu digenggam kejap. "Tak mengapa, ma. Apapun yang terjadi selepas ini, along akan berlapang dada. Along akan terima dengan reda."

Bukan Sindrom NightingaleWhere stories live. Discover now