BUNGKUSAN makanan di atas meja dibuka. Semerbak aroma nasi arab menerjah deria bau. "Fuh, makin lapar saya dibuatnya!" ujar Qaira tersenyum sambil memandang Diha. Wanita itu sedang menyiapkan éclair untuk jualan. "Nasi Arab ni Abang Ariyyan beli kat tempat biasa ke, kak?"
"Agaknyalah, tadi dia ada jumpa kawan dekat-dekat situ," balas Diha. "Air teh lemon ada dalam peti sejuk, Q. Kalau nak air panas, bancuh sendiri."
"Okey, kak. Saya makan dulu. Tak nak join ke?" ajak Qaira. Pelawaannya turut dipanjangkan kepada Bibi, salah seorang pekerja di bahagian dapur yang membantu Diha. Kedua-dua mereka menggeleng serentak, mahu menyudahkan kerja.
Baru dua tiga suapan, telefon Qaira berbunyi. Panggilan video daripada Qaleel. Spontan bibir melakar senyum lebar. Telefon bimbit ditegakkan di atas meja.
"Assalamualaikum, bang!" sapa Qaira ceria sebaik sahaja wajah Qaleel muncul di skrin.
"Tengah rehat ke tu?" soal Qaleel setelah menjawab salam si adik.
Qaira angguk. Suapan nasi Arab di tangan ditunjukkan ke arah Qaleel sebelum dimasukkan ke dalam mulut. "Baru balik ya?"
"Sampai pagi tadi," ucap Qaleel. Dia bertugas di luar kota beberapa hari ini. Menjadi jurugambar untuk majlis perkahwinan anak tunggal orang kenamaan di utara tanah air. "Eh, bak ada telefon Q tak semalam?"
"Ada. Bak dengan ibu jadi turun KL hujung minggu nanti," balas Qaira ceria.
"Bersedialah."
"Bersedia apa?"
"Mana tahu kalau-kalau diorang datang bawak calon suami Q sekali." Qaleel mengurut-ngurut dagu. Keningnya dijungkitkan.
"Tak lawak, okey!" selar Qaira. Belakangan ini isu jodoh sering dijadikan modal untuk abangnya mengusik.
"Ni, Q tak bagi jawapan lagi kat abang ...."
"Jawapan apa?"
"Ada seorang lagi member abang nak kenal dengan Q. Hadi. Dia pernah datang rumah kita. Q bagi lampu hijau je, abang jalankan."
Qaira memutarkan bola mata. Serentak itu riak muka bosan dipertontonkan kepada Qaleel. "Abang ni ... kalau satu hari tak menyakitkan hati Q tak sah, kan?"
Qaleel ketawa.
"Siapa lagi nak sakitkan hati Q? Itu memang tugas abang dari dahulu. Q ada banyak pilihan tau! Dekat abang ada satu ... dua ... tiga ... Okey, dekat abang tiga orang. Bak punya kawan, pun dua tiga orang ... tu belum campur belah ibu. Fuh, Q tak tengok calon-calon ibu berapa ramai! Berderet! Bersusun-susun!" giat Qaleel. Semakin galak dia ketawa. Pada masa yang sama kedengaran suara Balkish, isterinya yang menegur Qaleel agar berhenti mengusik Qaira.
"Alah, kau tahulah Qaleel macam mana, Kish! Dia kalau tak sakat aku satu hari tak boleh tidur lena agaknya," getus Qaira.
"So, on tak on?"
"Encik Qaleel Esqandar!" jerit Qaira geram. Dia pamer tampang muka serius.
"Ya, Cik Qaira Esabel?" Qaleel mengajuk ekspresi si adik. Masih terus ingin melanjutkan gurauan.
"Q tak mau siapa-siapa! Abang cubalah pandai-pandai padankan Q dengan mana-mana kawan abang, Q buat perangai kaw kaw ... tiba-tiba diorang buat tak kenal abang! Qaleel? Qaleel who?" ugut Qaira.
"Uish, ancaman dia boleh tahan! Yelah ... yelah. Tak mahulah abang hilang kawan sebab ulah Q."
"Sudahlah, layan abang dok merapu pasal calon jodoh sampai bila tak selesai. Tahu-tahu habis lunch break Q."
![](https://img.wattpad.com/cover/203353025-288-k772032.jpg)
YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomantikPertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...