HILANG. Sudah tiga hari Qaira hilang tanpa berita. Bibit-bibit resah terus memagut tenang hati Aishah. Soalan demi soalan bertali arus mengganggu kelapangan fikiran. Di manakah Qaira berada? Bagaimanakah keadaannya?
Walangnya dikongsi dengan Zuraidah, besannya yang berada di Johor. Zuraidah juga tidak senang duduk mengenangkan anak perempuannya yang gagal dijejaki.
"Qaira dan Qaleel tu walaupun bukan anak dari rahim saya, saya jaga sejak mereka merah lagi, kak. Sayang lebih daripada nyawa saya sendiri. Kalau orang buat anak saya, tidak kiralah Qaira atau Qaleel, saya turut rasa sakitnya."
"Maafkan akak, Zu. Akak betul-betul tak sangka semua ni boleh berlaku." Entah sudah berapa kali dia memohon kemaafan.
"Tak perlu minta maaf, kak. Bukan salah akak. Apa yang berlaku di luar kawalan kita. Hal rumah tangga anak-anak, tidak elok kita masuk campur sangat," ucap Zuraidah menenangkan Aishah. Tiada gunanya wanita itu dipertanggungjawabkan atas apa yang telah terjadi.
"Mujahid tu anak akak, Zu. Kesilapan dia akak anggap kesilapan dan kegagalan akak juga. Apa pun alasannya, akak tak boleh terima apa yang dia lakukan pada Qaira."
Terdengar keluhan kecil di hujung talian. "Hal itulah yang buat saya dan Abang Johari sedikit terkilan. Kami mak ayahnya masih ada. Kalau Mujahid sudah tidak mahukan Qaira, kenapa tidak dipulangkan Qaira kepada kami dengan cara baik?" Sayu kedengaran suara Zuraidah di sebelah sana.
"Q tu dari kecil kami jaga sebaik mungkin. Abang Johari langsung tidak angkat tangan pada dia. Jentik, cubit, memang tak pernah. Si Qaleel pula, kalau boleh seekor nyamuk pun tak dibenarkan sentuh adiknya. Kami tak minta layanan lebih-lebih, kak. Cuma harap Mujahid dapat jaga dan lindungi Qaira." Dalam pada cuba menuntun diri agar bertenang mendepani khabar kehilangan puteri bongsu, terbawa-bawa juga kilannya.
Aishah semakin dihimpit rasa bersalah. Marahnya terhadap Mujahid kian memuncak. Andai diikutkan hati, ingin sahaja diheret dan diikat Mujahid pada pokok mangga di belakang rumah. Biar sakit seluruh tubuhnya digigit kerengga.
Tetapi, hendak dimarah lebih-lebih, anaknya itu telah dewasa. Mujahid bukan rebung, sudah jadi galah. Jika pertimbangannya tidak dapat membezakan apa yang betul apa yang salah, dia tidak lagi boleh dilentur.
Tidak lama kemudian, komunikasi antara mereka tamat selepas Zuraidah memberi jaminan akan segera memaklumkannya apabila pihak mereka berjaya mengesan keberadaan Qaira. Namun, jaminan itu tidak mempu menghulur jenjam buat Aishah. Resah dan kesal saling bertingkah di lubuk hati.
Aishah kesal kerana sebagai suami, anak sulungnya gagal menjadi ketua keluarga yang baik. Gagal menata perasaan sendiri sehinggakan rentetan tindakannya, Qaira keluar dari rumah sehelai sepinggang tanpa sebarang berita.
'Apalah yang along fikir? Apa yang along nak buktikan?' monolognya. Dalam tempoh usia perkahwinan yang masih terlalu muda, mempersia-siakan surinya adalah perkara terakhir yang Aishah jangkakan daripada Mujahid.
'Q, di mana kamu, nak?'
Tanpa dapat dihalang, minda melayang mengimbas kembali peristiwa tidak terduga yang berlaku tiga hari lepas.
Petang itu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah setelah beberapa malam menginap di kediaman Farihin dan Izzah. Muzamil yang datang menjemputnya. Tergesa-gesa mereka berdua bergerak balik kerana sudah merancang untuk keluar bersama Qaira pada petang tersebut.
Sewaktu kereta yang dipandu Muzamil menghampiri rumah, pintu pagar automatik dibuka dari dalam dan Qaira tiba-tiba meluru keluar. Tanpa memandang kiri kanan, menantunya masuk ke dalam sebuah kereta asing yang diparkir betul-betul di depan pagar. Tidak menunggu lama, kereta itu terus berlalu pergi.
YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomancePertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...