KETUKAN di pintu pejabat memaksa Mujahid mengangkat muka. Layla sedang berdiri di jenang pintu dengan wajah mencuka. Penampilan bergaya dengan busana dakap tubuh berjemeki di dada, solekan tanpa cela dan semerbak bau semburan pewangi yang dipakai masih tidak dapat menyembunyikan air muka kelatnya.
"Ya, Layla. Ada apa?"
Memutar bola mata ke atas, dia berpaling ke arah seseorang di sebalik dinding. "Tu, dia ada dekat dalam," ujarnya malas. Bibir dijuihkan. Badan dianjakkan sedikit memberi ruang kepada seorang budak penghantar untuk masuk.
"Assalamualaikum. Encik Mujahid?"
"Saya," jawab Mujahid sesudah membalas salam sembari membetulkan duduk.
"Ini ada kiriman untuk Encik Mujahid," nyata budak penghantar itu. Sebuah bungkusan sederhana besar bertukar tangan. Mujahid menurunkan tandatangan digital di atas skrin telefon seperti yang dikehendaki.
Sebaik budak penghantar beredar, Layla segera menutup pintu pejabat. Ada perkara penting yang perlu dibincangkan dengan Mujahid.
Dilihatnya Mujahid leka dengan bungkusan yang diterima. Bungkusan itu dibelek, digoncang, ditimbang-timbang. Terdapat sekeping kad ucapan bersampul biru yang disisip di hadapan kotak. Baru sahaja mahu membaca, Layla terlebih dahulu merampas kad tersebut.
"Layla ... itu I punya, kan?" Monoton intonasi suara Mujahid. Dia lelah melayankan kerenah Layla yang disifatkannya kurang matang.
"Alah, ini tak lain tak bukan ... mesti budak pelayan tu yang kasi!" komen Layla. Kad di tangan disorokkan di belakang tubuh. Jika Mujahid hendak sangat, dia kena berusaha cuba mendapatkannya sendiri.
Mujahid tidak pamer sebarang reaksi. Secara peribadi dia tidak suka cara perkataan 'pelayan' meniti di bibir Layla. Nadanya seolah-olah mempersenda, memandang rendah malah meremehkan pekerjaan itu. Tanpa bicara, telapak tangan kanan dihulurkan, meminta supaya kad ucapan dipulangkan kepadanya.
Layla masih seperti tadi. Berdegil, tidak ingin mengalah.
Enggan meladeni tingkah Layla, Mujahid kembali menghadap komputer. Jemari lincah menaip, menyambung tugasan yang tertunda. Riak mukanya serius. Layla tidak diacuhkan.
Layla mendengus. Itu bukan respons yang diharapkan daripada lelaki itu.
"Nah, you sekarang ni dah tak fun lah!" rungut Layla seraya mencampakkan kad ke atas meja. Mendarat betul-betul di hadapan Mujahid.
"Terima kasih." Tidak terkesan dengan angin Layla, kad dicapai lalu dibuka. Terus sebaris senyum manis terukir lebar menghiasi wajah tampannya.
Layla mencebik. Dia tidak senang melihat kegirangan yang terlakar di wajah Mujahid disebabkan oleh orang lain. Apatah lagi pencetus senyuman itu merupakan pesaing cintanya.
Dia fikir dia sudah boleh berlapang dada. Setelah bersemuka dengan Mujahid di K2 tempoh hari dan memberi peringatan keras kepada gadis tidak sedar diri itu, Mujahid mula lekat di pejabat.
Meskipun interaksi antara mereka agak dingin, dia tahu Mujahid membenakan dan menghargai perasaannya. Lelaki itu tidak lagi mengunjungi K2 sepanjang minggu tersebut. Dia gembira. Akhirnya, Mujahid dapat membezakan yang mana intan yang mana kaca.
Tetapi, Qaira pula yang terhegeh-hegeh menitip macam-macam. Semalam, Edrus datang menghantar kopi kegemaran Mujahid. Kopi yang kononnya dibancuh Qaira. Beberapa hari sebelumnya ada kiriman pastri dan kek. 'Huh, memang dasar tidak sedar diri!'
"Dua tiga hari ini asyik hantar barang kepada you je. Apa dia nak?"
Tiada jawaban.
"Sudah sudahlah tu, Mujahid. Dia tak sesuai langsung untuk you. You buka ruang untuk dia ambil kesempatan ke atas you tau."
YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomancePertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...