Pilihan lagu untuk mengiringi pembacaan kalian kali ini - Promise. Selamat mendengar!
QAIRA berdendang riang mengikut alunan irama yang berlagu melalui fon telinga yang dipakainya. Dia sedang bersiap-siap untuk pergi kerja, kembali memulakan tugas di K2 setelah bercuti beberapa hari bersama keluarga.
Sebaik menapak keluar, dia mendongak menyapa langit siang yang cerah. Berlatarbelakangkan kanvas biru indah, kelompok awan yang ibarat gumpalan alusmitai putih diperhatikan penuh asyik. Sesudah puas, derap kaki dihayun santai. Dia masih punya banyak masa. Tidak perlu tergesa-gesa.
Di pertengahan jalan, langkah Qaira tiba-tiba mati tika melewati sebuah perhentian bas. Entah mengapa, ada getar halus yang mengusik sanubari. Tanpa sedar, dia melabuhkan punggung di atas bangku batu simen berhampiran.
Pandangan dilempar ke seberang jalan. Titik pertemuan pertama antara dia dengan Mujahid. Di bahu jalan itulah lelaki itu ditikam. Layar fikir memutarkan kembali memori. Qaira seperti dibawa semula ke detik pertemuan pertama mereka.
Menelusuri apa yang berlaku, dari saat dia perasan lelaki yang merempuhnya memiliki sebilah pisau di tangan sampailah susuk Mujahid rebah akibat ditikam, umpama tayangan adegan demi adegan di pawagam minda. Dalam suasana orak-arik, dia nampak dirinya berlari mendapatkan Mujahid, berlutut di tepi lelaki itu, sedaya upaya membabak luka bagi menyekat darah daripada deras mengalir keluar.
Setiap apa yang terjadi; setiap tutur antara mereka; setiap ekspresi Mujahid yang berkeringat meringis menahan sakit sehinggalah dibantu oleh paramedik dan dikejarkan ke hospital, semuanya jelas tergambar bagai baru sahaja berlaku.
Terus melayan rentak lamunan, fikiran dibiarkan bebas menjejak rantaian episod Mujahid cuba membeli jiwanya dalam usaha meraih cinta. Kunjungannya ke K2, soalan-soalan kopinya dan hadiah-hadiah yang dibawa. Imbasan-imbasan memori itu mendatangkan gelora indah yang membanjiri pojok hati.
Orang sekitar yang lalu-lalang melintasi perhentian bas langsung tidak dibenakan. Bahkan, apabila ada orang yang datang mengambil tempat di tepinya, Qaira hanya mengerling sekilas lalu beranjak sedikit ke samping untuk mewujudkan jarak.
Indera lihat dan bau serentak menghantar impuls ke otak. Qaira seolah-olah direnjat. Dengan tumpuan terhala ke hadapan, tubuhnya semerta jadi kejur. Mengapakah lelaki yang duduk di sebelahnya kelihatan seperti Mujahid? Malah, semerbak bau wangian yang dipakai juga sama.
'Tidak mungkin.' Dia menyedapkan hati. Pandai sahaja minda mencipta angkara menjelmakan Mujahid di situ.
'Tapi ....' Dia menghela nafas.
Satu. Dua. Tiga.
Perlahan-lahan Qaira menoleh ke kanan.Dia tidak salah.
Mujahid. Dalam bentuk jasad yang nyata. Bukan mainan benak semata.
Mujahid. Berada di sisinya. Di perhentian bas itu.
"Encik Mo?" soal Qaira masih tidak percaya dengan apa yang dilihat.
"Assalamualaikum, Qaira." Sapaan Mujahid bersulam segaris senyuman. Senyuman yang bertukar tawa tatkala dilihat Qaira panar, menampar pipi kanannya beberapa kali.
"Tak sakit ke pukul pipi sendiri? Ya, ini saya. Mujahid," ucap Mujahid meyakinkan Qaira.
"Encik Mo buat apa di sini?" Sempat sorot mata dikelintar meninjau keadaan keliling. Cuma dia dan Mujahid di perhentian bas berkenaan.
"Qaira buat apa di sini?" Soalan dibalas soalan. "K2 kan jauh lagi."
"Saya ... saya ... itu ...." Tidak semena-mena dia gugup. Jika selalu dia tiada masalah menyusun kata dengan siapa sahaja, kali ini mendepani lelaki itu, kepetahannya bertemperas. Tiada walau sebaris ayat mudah yang mampu diungkap.

YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomancePertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...