☕️ Rabu ☕️
DOKUMEN di dalam fail dibaca dengan teliti. Sesekali, Budi yang duduk di hadapannya diperhatikan. Berpuas hati dengan apa yang dibaca, Mujahid menurunkan tandatangan di ruangan bawah dokumen. Fail diserahkan semula kepada Budi.
"Bagus, Budi," pujinya. "Dah boleh teruskan projek ni."
"Terima kasih, bos," ucap Budi gembira kerana berjaya melunaskan tugasan yang diberi dengan baik.
Kedua-dua mereka menoleh apabila pintu diketuk.
"Bos, maaf ganggu. Bos nak saya belikan makanan dulu sebelum masuk studio?" soal Emma. Sebentar lagi Mujahid akan terlibat menerbitkan lagu baharu seorang artis di bawah naungan Rustic Records. Mana tahu jika majikannya mahu mengisi perut terlebih dahulu.
"Boleh juga. Tapaulah apa-apa. Nasi campur atau nasi ayam ke. Nasi kandar pun okey. Beli untuk semua sekali ya. Nanti kita makan sama-sama di pantri."
Hari itu jadual kerja Mujahid agak padat. Mesyuarat dengan wakil Universal Music pada sebelah pagi, disusuli sesi rakaman lagu, kemudian perbincangan dengan pekerja-pekerjanya pula. Memang dia tidak berkesempatan langsung untuk ke K2.
Melontar pandang keluar melalui jendela kaca, lamunan dibiarkan terbang bebas mengingati si dia. Mujahid tahu dia rindu akan Qaira. Rindu yang kian mencengkam diri, menyesakkan dada.
Segala yang dilakukan serba tidak kena. Meskipun baru sehari tidak bersua, dia asyik terkenang-kenang wajah yang satu itu. Senyumnya. Tawanya. Tindak-tanduknya yang cekap membuat kerja di K2. Tetapi, apakan daya. Tidak boleh tidak, komitmen kerja perlu diutamakan.
Sejurus selepas Budi dan Emma beredar, dia membuka aplikasi Facebook. Spontan tampang wajah berubah ceria tatkala melihat hantaran terkini Qaira. Kopi kacang hazel dengan latte art berbentuk muka panda. Butang 'Suka' ditekan.
Lantas dia memeriksa Messenger. Tadi dia ada mengajukan soalan berkenaan kopi kepada Qaira.
'Qaira suka minum kopi apa sebagai treat untuk diri setelah seharian penat bekerja?'
Masih tiada respons.
'Mungkin sedang sibuk menyiapkan pesanan kopi," simpul Mujahid. Bagai memahami resahnya, tika itu juga dia menerima satu notifikasi.
Satu muat naik terbaharu daripada Qaira. Gadis itu telah menandakan nama Mujahid pada foto yang dikirimnya. Segelas aiskrim vanila yang dicurahkan dengan lelehan espresso kelihatan sangat mewah, memancing selera siapa sahaja yang memandang.
YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomansaPertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...