KESESAKAN jalan raya menuju ke K2 lebih teruk daripada yang dijangka. Mujurlah Mujahid dan Layla bertolak awal dari pejabat. Jika tidak, tentu mereka akan terlewat menghadiri pertemuan yang telah ditetapkan.
"Kenapa?" Mujahid menoleh apabila dirasakan Layla tertinggal di belakang, tidak menyaingi langkahnya.
"Kasut I masuk batu," rengus Layla berjalan terhencot-hencot dari tempat parkir. "You masuk dulu," ujarnya yang sudah pun menyandarkan tubuh pada palang tangga, kemudian membongkok menanggalkan kasut tumit tinggi sebelah kanan yang dipakai.
"Selamat datang ke ... " Suara ceria Edrus dan Amira mengalu-alukan pelanggan ke K2 terhenti serentak sebaik sahaja menyedari kehadiran Mujahid. Spontan kedua-keduanya mempamer wajah kelat.
"... K2." Hendak tidak hendak Edrus menghabiskan sisa kata. Selepas itu, tiada tutur lanjut. Tiada walau sedikit keramahan yang ditawarkan kepada Mujahid.
Amira awal-awal lagi sudah angkat kaki menghampiri Riduan yang duduk di belakang kaunter. Riduan juga sekadar melempar pandang dari jauh. Tidak menegur mesra seperti selalu.
"Hai, Ed! Apa khabar? Lama tak jumpa. Wah, bukan main segak sekarang!" Sedar akan bibit-bibit tegang yang wujud antara mereka, Mujahid cuba mencipta interaksi.
Edrus tidak membalas. Jika tadi matanya tunak menentang wajah Mujahid, kini pandangan tajam terarah pada Layla yang baru muncul. Selamba si gadis memaut lengan Mujahid sambil membetulkan ikatan tali halus kasut tumit lima incinya.
"Kenapa ni?" soal Layla setelah membetulkan kedudukan. Pelik menyaksikan Mujahid dan salah seorang pekerja K2 berdiri bertentangan seolah-olah bermain lawan mata.
Mujahid cuma menggeleng. Malas memanjangkan cerita. Dia mengerti layanan dingin Edrus, lirikan tidak puas hati Amira dan Riduan atas sebab apa. Dia juga jelas mereka memilih untuk memihak siapa.
"Mujahid, cepatlah! Tu Ariyyan dah panggil!" Nada nyaring Layla menyentak Mujahid.
Dari salah satu meja yang berdekatan dengan tingkap, Ariyyan menggamit mereka. Turut bersamanya, Iman Firdaus, wakil daripada Nusa Network tersenyum lebar menanti.
"Assalamualaikum," ucap Mujahid seraya bersalaman dengan Ariyyan dan Iman Firdaus.
"Hai, Firdaus. Kita bersua lagi. How are you?" sapa Layla. Tangan dihulur untuk berjabat dengan Firdaus. Berpaling menghadap Ariyyan, aksi manjanya semakin ketara. "Hello, ganteng! Nice hair cut! By the way, tahniah atas kejayaan persembahan ARJUNA minggu lepas! Kalian memang hebat!"
"Makasih. Biasa-biasa aja deh," jawab Ariyyan berbasa-basi.
"Kena macet di jalan tadi?" Pertanyaan diajukan kepada Mujahid yang mengambil tempat di sampingnya.
Mujahid mengiakan.
"Proyek pembinaan di simpang itu masih belum rampung. Mungkin dua tiga bulan lagi," terang Ariyyan.
"Jam teruk, Ariyyan. Habis cair solekan I," sampuk Layla dengan tangan mengibas-ngibas muka. Rambutnya yang panjang beralun lembut tika disebak ke belakang. "Maaflah, Firdaus. Tak pasal-pasal buat you menunggu."
"Eh, tak perlu minta maaf! Saya yang sengaja datang awal. Yalah, hendak juga merasa apa hidangan istimewa di kafe Ariyyan dan isteri. Memang tidak sia-sia saya datang dengan perut kosong," tutur Firdaus sambil menunjukkan pinggan dan gelas yang licin tidak bersisa di hadapannya.
Ariyyan ketawa besar. "Lorh, cuman pembuka selera doang. Masakan udah kenyang! Ayo! Pesan hidangan makan siangnya pula. Kita bicara sembari mengisi lambung. Lebih seru!" ujar Ariyyan.
ANDA SEDANG MEMBACA
Bukan Sindrom Nightingale
RomantikPertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...
