AYSAR MUJAHID hilang imbangan. Kedua-dua belah kaki sudah tidak mampu menampung diri. Rebah, tubuhnya jatuh terhempas keras di atas hamparan jalan berbatu kerikil. Dia kehabisan daya. Terlentang lemah di tepi kereta, Mujahid bergelut mencari sisa nafas.
'Apa yang berlaku ni? Apa jadi kat aku?' Kemamar, orientasi fikir terjejas. Jasad terasa ringan terawang-awang. Sinar cahaya matahari yang langsung menampar muka menjadikan pandangannya berpinar-pinar. Sedikit demi sedikit bukaan mata menyempit, bertukar suram. Kelam. Gelap.
"Encik? Encik boleh dengar saya tak?" Satu suara yang melontar pertanyaan bergema di tabir telinga. 'Siapa?' Mujahid memaksa diri untuk membuka mata.
Kelihatan seorang gadis sedang bertelut di sisinya. Dengan penglihatan yang berbalam, seraut wajah yang sarat mengandung kerisauan itu diamati. Gadis ini. Gadis ini yang melaung tadi. Tatkala hendak bersuara, kesakitan semerta menjerut waras. "Argh!" Dia mengerang kuat. Berkerut mukanya menahan sakit.
Erangan jahar Mujahid membuatkan Qaira lega. Sekurang-kurangnya dia tahu yang lelaki itu masih sedar. Tidak pengsan.
Dia memerhati keadaan sekeliling. Seorang wanita bertindak pantas menghubungi pihak ambulan. Selebihnya, hanya saksi- saksi kejadian yang tertinjau-tinjau, sibuk menghalakan telefon bimbit masing-masing ke arah mereka berdua.
Qaira mengeluh. Inilah penyakit umat gajet zaman sekarang. Semua benda mahu dirakam. Tiada siapa membenakan nasib mangsa. Keutamaan bukan pada yang memerlukan pertolongan. Apa-apa rakam dahulu, yang lain jatuh nombor dua. Utamakan content, buru bahan untuk kejar like. Untung nasib esok lusa apa yang dikongsi tular dan dapat jaja nama.
Perhatian kembali tertala pada Mujahid. "Saya Qaira. Encik kena tikam ni. Saya cuba bantu encik ya." Dia memulakan interaksi.
Minda laju berfikir. Kawasan yang cedera perlu ditekap dengan kuat. Tekanan mesti diterapkan secara berterusan atau lelaki ini berkemungkinan besar akan kehilangan banyak darah.
Qaira mengengsot merapati Mujahid serapat yang boleh. Tidak boleh sewenangnya menggerakkan orang yang cedera. Tinggi risikonya. Bau hanyir darah yang membuak keluar kuat menceroboh deria hidu. Mujurlah dia bukan jenis hemofobia. Jika tidak, tidak pasal-pasal pula dia pengsan di situ.
Tubuh dibongkokkan ke depan, menilai tahap kecederaan mangsa. Melihatkan darah yang terus merembes keluar, Qaira mengagak luka tikaman itu dalam.
Dia mengeluarkan sehelai apron dari dalam beg. Apron tersebut baru dibasuh. Sekurang-kurangnya, apron itu bersih buat digunakan sebagai lapik untuk menekap luka dalam waktu kecemasan seperti ini.
"Boleh saya tahu nama encik?" Qaira mengalihkan tangan lelaki itu yang memegang perut lalu digantikan dengan tekanan daripada kedua-dua belah tangannya.
"Mu ... mooo!" Tidak sempat mengungkap patah nama hingga habis, Mujahid mengerang kuat rentetan tindakan Qaira. Tak sempat 'Mujahid', yang terluah cuma 'Mo'.
"Mo ...." Percubaan kedua gagal ditindan desah rintih. Hanya Tuhan yang tahu betapa hebat kesakitan yang dialami. Dunianya seakan berpusing. Ligat.
"It's OK. Tak mengapa, Encik Mo." Lancar sahaja seulas bibir Qaira memanggil Mujahid dengan gelaran Encik Mo. 'Panggil Mo pun cukuplah,' putusnya.
"Maaf, saya kena tekan bahagian yang luka ini. Encik Mo tahan sedikit ya."
Mujahid mengangguk lemah. Terbaring di atas jalan begitu, dia umpama sudah berada di hujung-hujung nyawa. Sedalam mana lukanya? Seteruk mana kecederaannya? Entah dia akan selamat entah tidak.
Mulalah dia terkenangkan mama, angah, acik dan ucu. Bagaimanakah jika sesuatu yang buruk menimpanya? Dapatkah lagi peluang bersua dengan mereka? Persoalan demi persoalan menyerbu serentak. Memikirkan nasib diri, dada jadi sesak. Dihimpit resah, dia ingin bangkit.
ANDA SEDANG MEMBACA
Bukan Sindrom Nightingale
RomansaPertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...
