WAKTU perniagaan K2 sudah berakhir. Qaira menanggalkan apron yang dipakai. Dia mengurut-urut tengkuk. Sedikit penat menyiapkan pesanan pelanggan-pelanggan kafe petang tadi. Teman-teman yang lain sibuk mengemas. Tugasnya juga hampir selesai. Hanya tinggal mesin espresso sahaja yang belum dibersihkan.
"Setakat malam ini, jumlah views video kau yang orang muat naik di internet dah cecah ratusan ribu!" Ed bersuara. Sebelah tangan memegang sebatang penyapu manakala sebelah lagi menatal skrin telefon. Memasang impian untuk menjadi TikToker, Instafamous dan Youtuber terkenal, itulah topik-topik yang sering meniti di bibirnya - views, rating, likes, trending.
"Q ni dah kira aset penting dah ni, bang! Selain dari suruh dia promosikan ARJUNA, dia boleh promote kafe ni sekali," ulas Edrus bersungguh-sungguh.
"Iya, bisa dipertimbangkan tuh," balas Ariyyan sambil ketawa kecil. Dilayankan omelan Edrus. Niat memanjangkan bicara terbantut tatkala lensa mata mengesan kekeruhan pada riak wajah Qaira. Ibarat mendung berarak berat, bila-bila masa akan memuntahkan hujan. Pasti gadis itu kurang selesa dengan apa yang dihadapinya. Dari tadi Qaira lebih banyak berdiam.
Qaira memeriksa telefon bimbit. Terkejut melihat bersusun notifikasi berkait panggilan masuk dan pesanan-pesanan yang diterima. Dia lelah. Tidak larat menjawab panggilan demi panggilan. Tidak berupaya meladeni pertanyaan bertalu-talu melalui Whatsapp dan Telegram.
Dengan tersebarnya video dia membantu Encik Mo, bermulalah fasa hidup tidak tenteram Qaira. Sekejap ada panggilan dari teman-teman. Kemudian, dari saudara-mara di kampung. Tidak cukup itu, teman sekampus, kenalan-kenalan ketika dia mengambil kursus barista dan rakan sekolah yang sekian lama terputus hubungan turut menelefon. Semua atas satu tujuan. Bertanyakan sama ada benar dia si gadis dalam video tular tersebut ataupun tidak.
Satu keluhan dilepaskan.
"Relakslah, Q. Kalau aku, happy giler kot jadi viral. Tu, pergi tengok akaun IG kau, mesti pengikut kau dah bertambah."
"Akaun Q private-lah," sampuk Amira. Sambil mengelap meja, mulut tidak henti mengunyah potongan jeruk buah pala. Disuakan plastik jeruk kepada rakan-rakan. "Lagipun, Q tak gila glamor macam kau!" sambungnya.
Qaira diam. Dia membuka akaun Instagram. Tepat telahan Edrus. Terdapat banyak permintaan untuk mengikut akaunnya. Bukan satu bukan dua. Beratus-ratus! Hampir mencecah seribu! Dia menggelengkan kepala. Setelah itu, dia log masuk akaun Facebook pula. Terbelalak mata melihat jumlah permintaan menjadi rakan yang terpapar.
'Apa semua ni?'
Dari siang tadi, saudara-mara, sahabat dan kenalan tidak jemu-jemu menandakan nama Qaira di ruangan komen pada setiap videonya baik di Instagram mahupun Facebook. Itu belum diambil kira ulang kicau Twitter dan penyebaran menerusi kumpulan Whatsapp.
Tindakan mereka membuatkan identiti Qaira gagal dirahsiakan sama sekali. Tidak hairanlah ramai orang asing yang entah dari mana ingin 'berkawan' dengannya.
"Orang sekarang ni memang peliklah. Aku ni entah siapa-siapa ... diorang kenal pun tidak ... alih-alih nak follow! Kalau follow artis ke, orang kongsi video masak ke ... boleh terimalah jugak!" getus Qaira kurang senang. Telefon bimbit disisipkan kembali ke dalam poket seluar.
"Hello, my future Instafamous buddy! Kenapa tak terima permintaan-permintaan tu?" soal Edrus.
"Ish, tak kuasalah! Ada sebab kenapa akaun aku private, kan?" bidas Qaira. Perkongsian-perkongsiannya di laman sosial bukan untuk tatapan umum.
"Rugilah, Q. Inilah peluang kau nak jadi Instafamous. Lepas ni boleh buat product review. Masyuk! Haa, lagi satu ... mana tahu dalam ramai-ramai tu, ada calon imam kau," giat Edrus. Riduan yang mendengar cuma tersengih.
![](https://img.wattpad.com/cover/203353025-288-k772032.jpg)
YOU ARE READING
Bukan Sindrom Nightingale
RomancePertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...