QAIRA terkejut melihat lelaki di hadapannya. Dia kenal seraut wajah itu. Mereka pernah bersua sebelum ini. Tetapi, apakah yang dilakukannya di sini? Mengapakah dia berbual-bual dengan Ariyyan?
"Encik Mo?" Tanpa sedar terpacul nama panggilan untuk lelaki itu.
Tuan punya badan juga nyata tidak menyangka bertemu dengan Qaira. Dia tergemap. Namun, beberapa saat kemudian bibirnya mengorak senyum.
"Assalamualaikum, Qaira," sapa Mujahid. Tidak berkedip mata memandang Qaira. Senyuman yang menata wajah kian melebar tatkala mendengar salamnya dijawab. Suara itu. Suara yang belakangan ini menghantui lena dan jaganya.
"Encik Mo?" Bertaut kening Ariyyan mendengar panggilan Qaira kepada Mujahid. "Wah, keren banget nama loe ya!" usiknya.
Pandangan Mujahid yang sedari tadi terpaku di wajah Qaira beralih tumpuan pada Ariyyan. "Kau tak cakap dengan aku pun yang ...." Kata-kata tidak mampu dihabiskan. Seribu satu perasaan yang datang menyerbu serentak membuatkan dia putus bicara. Dia tidak bermimpi. Gadis penyelamatnya kini berada di hadapan mata!
"Qaira ini ...."
"Abang Ariyyan ni bos saya," celah Qaira menyambung tutur Ariyyan.
"Oh, jadi Qaira kerja di kafe ini ya?"
Angguk.
"Qaira, kenalin ini Mujahid. Temanku. Kalian sudah pernah bertemu sebelum ini, bukan?"
Angguk lagi.
"Qaira apa khabar?" Menyebut nama Qaira menjelmakan segantang rasa senang dalam sukma Mujahid. Hebat betul penangan gadis ini.
"Baik. Alhamdulillah. Encik Mo dah sihat?" Qaira sedikit kekok apabila Mujahid asyik merenungnya. 'Berkelip ke tidak mata dia ni?'
Mujahid tidak membalas. Terus hanyut dibawa perasaan. Buat seketika sepi menakluk suasana. Baik Qaira mahupun Mujahid, kedua-duanya diam. Tidak bersuara.
Ariyyan yang menyaksikan situasi canggung itu terus mencipta dalih.
"Apa, Ed? Bentar, aku bantu!" Dia berpaling ke arah Mujahid dan Qaira. "Kalian ngobrol duluan ya. Ada kerja tuh," ucapnya lalu bangkit. Mahu beredar dari meja.
Qaira mula panik.
"Abang, janganlah tinggal saya kat sini," bisiknya kepada Ariyyan. Dia tahu Ariyyan ingin memberi ruang privasi kepada dirinya dan Mujahid. Edrus elok-elok sahaja di tempatnya. Berdecit pun tidak!
Ariyyan tertawa kecil. "Ed panggil." Tanpa menghiraukan Qaira, dia mendapatkan Edrus di belakang bar kopi.
"Err, bos ... buat apa kat sini? Mana ada saya panggil bos?" Edrus bingung.
"Shhh! Tenang aja. Lihat tuh ...." ujar Ariyyan sambil menjuihkan bibir ke arah Mujahid dan Qaira. Mujahid tampak seperti sedang memulakan bicara. Mengajak Qaira untuk duduk tetapi gadis itu menggeleng. Dia tetap bergeming sopan di tepi meja.
"Eh, itu mamat yang Qaira tolong kan, bos? Encik Mo kan tu?" soal Edrus. Waktu itu Amira dan Riduan turut menyertai mereka. Sesak kawasan bar kopi dengan keempat-empat mereka saling berhimpit di situ.
Ariyyan angguk. "Encik Mo? Mengapa Encik Mo?" Tadi Qaira pun membahasakan Mujahid 'Encik Mo'.
"Entah! Setahu saya memang Q panggil dia Encik Mo," respons Edrus.
"Kiranya bos kenallah dengan Encik Mo ni?" Amira bertanya penuh minat. Dia mengeluarkan plastik berisi jeruk buah salak dari saku apronnya lantas ditawarkan kepada yang lain.
"Iya. Mujahid itu temanku."
"Oh, patutlah hari tu bos minta nak tengok video si Qaira yang ada muka orang dia selamatkan sekali, eh?"
ANDA SEDANG MEMBACA
Bukan Sindrom Nightingale
RomancePertemuan antara Aysar Mujahid dengan Qaira Esabel bukanlah sebuah pertemuan biasa. Pertama kali bertentang mata kedua-duanya berada dalam situasi mencemaskan yang tidak diduga. Sejak itu, Mujahid bertekad mencari dan mengejar cinta Qaira biarpun g...
