Hi, assalamualaikum! Selamat hari sabtu!
Mesti ramai sakit hati dengan Naqib kan? Haha. Hakikatnya, memang pergaduhan begini sangat selalu berlaku antara suami isteri.
Benda-benda kecik macam ni. Tp effect dia dalam gak tau..haha...
**********
Zahra melangkah laju ke kantin sekolahnya itu. Hari ini, dia ambil cuti kecemasan, namun dia perlukan penjelasan daripada Jiha, jadi dia tetap ke sekolah untuk bertemu Kak Dot. Sejak semalam dia cuba hubungi Jiha, tak tembus talian. Mungkin Jiha matikan telefon.
"Assalamualaikum, Kak Dot!" Tegas suaranya menyapa pengusaha kantin yang merupakan sepupu Jiha.
"Waalaikumussalam. Eh, cikgu! Santai hari ni? Tak mengajar ke?" Balas Kak Dot melihatkan pakaian Zahra yang hanya berkemeja labuh dipadankan dengan seluar jeans.
"Kak, akak tahu Jiha dekat mana?"
Kak Dot terkebil-kebil. "Eh? Bukan dia dekat rumah mertua cikgu ke?"
Zahra berdecit jengkel. Nafas ditarik dalam-dalam memupuk sabar.
"Kak Dot tahu apa yang Jiha cuba buat? Dia cuba curi barang-barang kemas mak mertua saya, dan tolak umi saya jatuh tangga. Sekarang umi saya masih di hospital."
Kali ini buntang mata Kak Dot. Lekas-lekas dia keluar daripada bahagian dalam kantin dan menarik Zahra ke tepi.
"Se... serius ke cikgu? Jiha.. Jiha mencuri?"
Zahra melepas keluhan dan mengangguk. "Kesal betul saya rasanya. Saya yang recommend kan Jiha pada umi saya. Saya ni niat nak tolong dia. Tak sangka dia ada niat jahat, Kak Dot! Umi saya tu orang tua tau! Sampai hati dia buat macam tu. Sekarang ni, saya nak hadap muka keluarga mertua saya pun dah malu. Muka sua..." Zahra terdiam sejenak. Dia tarik nafas dalam menahan sebak apabila kata-kata Naqib kembali terngiang,
"... Saya tak sangka Jiha sanggup buat macam ni..."Kak Dot tepuk dahi. "Ya Allah. Astaghfirullah. Apa benda yang kau buat ni Jiha, oi!" Bebelnya sendirian.
"Mak mertua cikgu macam mana? Cedera teruk ke?" Soal Kak Dot lagi.
"Alhamdulillah, dah sedar dan stabil. Yang pasti tulang retak sikit."
Kak Dot beristighfar panjang. "Cikgu, Kak Dot..., ya Allah, Kak Dot mintak maaf, cikgu. Sumpah, Kak Dot tak sangka Jiha sanggup buat macam tu. Seumur hidup Kak Dot kenal dia, dia memang budak baik."
Zahra mengeluh sekali lagi. Itulah. Dia pun pelik sebenarnya. Kenapa tiba-tiba Jiha jadi macam ni? Umi memang tak pernah langsung mengadu pasal Jiha semenjak dia bekerja dengan umi.
"Saya perlu jumpa Jiha, Kak Dot. Kalau dia ada hubungi akak, tolong beritahu saya. Otherwise, kami takkan teragak-agak bawa perkara ni ke polis," ujar Zahra tegas.
Sekali lagi buntang mata Kak Dot.
"Ya Allah, Jiha... Kenapalah cari penyakit Jiha, oi!"
"Saya pergi dulu. Kalau ada apa-apa maklumat pasal Jiha, contact saya segera ya?"
Kak Dot terangguk.
Zahra terus berlalu meninggalkan kawasan sekolah itu. Lama dia berteleku di dalam keretanya. Tak pasti hendak ke mana.
Dia malu nak ke hospital. Kerana dia rasa ini semua salahnya. Bak kata Naqib, dia yang memandai bawa Jiha ke rumah mertuanya itu.
Patut ke aku pergi ziarah? Atau aku patut balik je?
Duduk di rumah nak buat apa? Tunggu Naqib balik? Boleh ke aku hadap muka dia?
Zahra lentokkan kepala ke stereng kereta miliknya itu. Walaupun dah bergelen menangis malam tadi, matanya automatik akan berair apabila terkenang riak Naqib semalam.