"Bluek! Bluek!"
Terbongkok-bongkok Rina memuntahkan isi perut. Habis semuanya terluah semula, termasuk sarapan yang baru dijamah.
"Ok ke, Girl?" Azim yang baru tiba ke bilik air itu bertanya sambil mengusap belakang isterinya itu.
Rina hanya tergeleng-geleng. Masih rasa mual. Masih rasa belum puas memuntahkan isi perut.
"Tiba-tiba je. Awak makan apa?"
Rina diam tak menjawab. Sebal juga rasanya hati.
Apa benda nak tanya pulak! Bukan makan sama-sama ke? Dia yang beli roti jala tu tadi ke?
Buat kesekian kali, dia muntah, seolah-olah ada sesuatu menolak makanan yang belum sempat terhadam.
"Kenapa dengan Mama, Ayah?" Tanya Natrah yang dah hampir 3 tahun umurnya.
"Mama sakit. Natrah duduk depan. Jangan kacau Mama, ok?"
Natrah memandang ibunya sejenak sebelum berjalan ke ruang tamu semula.
"Nak muntah lagi?" Tanya Azim, masih mengurut belakang Rina.
Rina menggeleng. Dia beralih ke sinki membasahkan wajah. Berkumur berkali-kali menghilangkan rasa yang tertinggal.
Azim pula terus menyimbah air ke dalam mangkuk tandas membersihkan sisa muntah Rina.
"Saya nak baring eh?" Beritahu Rina dan terus berjalan ke katil tanpa menunggu jawapan Azim.
Azim hanya memandang sekilas sebelum terus membersihkan tandas. Mujur dia bukan jenis penggeli. Kalau tak, makin bertambahlah sisa kumuhan dalam tandas ni.
"Mama sakit ke?" Suara comel Natrah kedengaran.
"Taklah. Perut mama rasa tak best je. Bagi mama rehat sekejap ok?"
"Ok. Mama rest. Natrah ambik air untuk mama eh?"
Rina tersenyum sedikit. "Err, tak apa, sayang. Mama tak haus."
Yang sebenar, Rina nak mengelakkan bertambah satu lagi kerja nak mop lantai yang basah dek air tumpah dari cawan yang dibawa si kecil.
"Kenapa mama uwek?"
"Mama salah makan agaknya," jawab Rina. Nak dibiarkan soalan si anak tak berjawab, tak sampai hati pula.
"Oo, tu la. Jangan makan salah-salah. Kena makan betul. Macam ayah dengan Natrah. Ayah tak uwek pun."
Dalam dia rasa lemah dan tak berdaya, tawa tetap terhasil mendengar celoteh anak tunggalnya itu. Ada saja akalnya. Kelakar! Macam bapaknya!
"Sayang, nah! Minum air suam ni." Azim masuk membawa segelas air masak.
Rina duduk dari baringnya.
"Ayah, mama makan salah. Kita makan betul kan?"
Azim tersengih. Kepala sang anak digosok lembut.
"Hmm, tu la! Mesti mama makan tak baca doa ni."
Bulat mata Natrah memandang Rina yang sedang meneguk air.
"Aiyok... tak tahu! Mama makan tak baca doa. Mesti syaiton ajim ajim dah makan benda dalam perut mama. Tu la mama muntah!"
"Uhuk! Uhuk!" Tersedak air masak Rina dibuatnya dek kerana nak ketawa berdekah.
"Ajim ajim apa pulak Natrah! Itu nama ayah tu! Jangan la letak lepas perkataan syaitan!"
Natrah sengih menyeringai menampakkan susunan gigi.