Tubuh yang terasa lelah direhatkan di atas sofa di ruang tamu. Sesekali leher diurut lembut mahu meregangkan otot-otot yang terasa begitu tegang.
Hujan lebat yang turun di luar memberikan sedikit kedinginan pada tubuh. Hari ini adalah di antara hari paling memenatkan buat Tengku Kaizer.
Dari awal pagi membawa ke petang jadualnya penuh dengan bermesyuarat dan bertemu dengan client ke sana ke mari. Pada sebelah malamnya pula, dia harus menghadiri majlis sambutan hari jadi Selena serta makan malam bersama keluarga Emmerson.
Dan tidak disangka-sangka, Rachel pula ditimpa kesusahan jadi dia terpaksa bergegas mendapatkan gadis itu sepantas yang mungkin.
Ah, Rachel.
Memikirkan gadis itu membuatkan hati Tengku Kaizer tiba-tiba dirundum sedih dan simpati. Setibanya dia rumah Clara tadi, Rachel dilihat terbaring lemah di atas sofa dalam keadaan tidak sedarkan diri. Menurut cerita Clara, Rachel ditemui pengsan di dalam bilik air bersama beberapa butir ubat tidur yang berselerak di atas lantai.
Lantas, dia bersama Clara bergegas pula ke hospital menghantar Rachel dan mujur saja Rachel serta kandungannya sempat diselamatkan.
Tengku Kaizer yakin Rachel bertindak sejauh itu pasti terlalu tertekan disebabkan kandungannya.
Sam. Lelaki itu harus bertanggungjawab. Biarlah kali ini hatinya benar-benar terluka melihat gadis kesayangan hidup bersama orang lain. Apa yang penting sekarang adalah Rachel dan anak di dalam perutnya serta masa depan mereka kelak.
Kasihan anak kecil itu nanti. Membesar tanpa keluarga yang lengkap. Tanpa tanggungjawab dari ayah kandung sendiri. Dan Tengku Kaizer juga tidak sanggup melihat Rachel menderita sendirian.
Satu keluhan berat dilepaskan pada bibir. Tubuh yang lesu dan fikiran yang bercelaru itu harus direhatkan terlebih dahulu. Jadi, Tengku Kaizer mula membuka langkah naik ke atas untuk membersihkan diri pula. Sudah seharian menyibukkan diri, akhirnya dia dapat merehatkan tubuh.
Anak tangga didaki satu persatu. Sempat jari membuka suis pada dinding mahu menerangi rumah yang dari tadi berada di dalam kegelapan.
'Haih, Karina ni pun satu. Duduk rumah tak reti nak buka suis-'
Langkahnya serta merta mati.
'Ya Tuhan!'
Mata terbuntang luas.
"Karina!"
Dia lupa mahu mengambil Karina di bakeri.
Dengan pantas kakinya berpatah balik semula menuju ke pintu rumah. Sambil itu jari sibuk mendail nombor Karina namun panggilan tidak dapat disambung walau sudah di cuba entah berapa kali.
Jam hampir menunjukkan pukul 1 pagi. Bila memikirkan Karina yang keseorangan menunggunya di bakeri pada jam begini mengundang rasa risau dalam diri.
Macam mana lah dia boleh terlupa mahu menjemput Karina tadi?
Pintu utama rumah dikuak dan...
"Karina?"
Kehadiran gadis itu berdiri di muka pintu benar-benar memeranjatkannya.
"M-macam mana you-"
Mulut terkunci rapat setelah terpandangkan keadaan Karina yang basah kuyup dan menggigil kesejukan memeluk tubuh.
"K-kai." bibir Karina mengukir senyuman walau bibir menggeletar menahan rasa sejuk.
"Karina, I-..."
"Sorry, saya lambat balik. Ingatkan nak tunggu sampai hujan reda tapi saya takut awak risau. Jadi saya minta Mikhael hantar saya balik saja." beritahu Karina. Tubuh digosok-gosok perlahan mahu menghasilkan haba.
YOU ARE READING
KARINA
RomanceCOMPLETED Karina Milani x Tengku Kaizer Semua orang pernah jatuh cinta bukan? Karina juga begitu. Jatuh cinta pada lelaki asing yang bergelar suami. Karina tidak pernah meminta namun cinta itu sendiri yang tiba-tiba hadir untuk lelaki yang bernama T...