"Apa yang kau suka tentang Norman sebenarnya?" Tanya Michelle. Ketika itu, aku datang bersama-sama dengan Ally ke spanya untuk satu sesi urutan kaki. Sambil diurut, aku membuka ceritaku kepada Michelle.
"Kalau kau hendak tahu apa yang aku suka tentang Norman, hmm... banyak yang boleh aku senaraikan. Aku suka Norman sebab dia ini seorang yang berkarisma, budiman, sentiasa tenang, dia sentiasa bercakap dengan menggunakan tona suara yang rendah, suara dia amat dalam, kulitnya sawo matang dan bersih, tinggi, matanya menawan, lengan dan bahunya menawan, rambutnya lembut, pembersih, pandai bergaya, pandai membersihkan rumah dan dia ni jenis susah hendak dapat dahulu kau tahu. Tetapi aku tidak berusaha sangat dahulu semasa kami mula menjalinkan hubungan sebab dia yang mendekati aku dahulu. Dia yang memulakan langkah. Apa yang aku maksudkan di sini adalah dia menjadi kegilaan ramai orang satu ketika dahulu. Jadi memang rasa beruntung sebab dapat kenal dengan dia," tanpa aku sedari beberapa pelanggan dan pekerja di situ pasang telinga dan mereka cuba menahan ketawa.
"Amboi. Bersinar-sinar mata kau bila bercakap tentang Norman ya," kata Michelle dia kemudian mengetapkan bibirnya.
"Apa? Eh, mana ada. Aku cuma kelakar bila baca senarai ini dan bila teringatkan kisah lama."
"Bercakap dengan panjang lebar sebegitu. Lepas itu kata tidak ada apa-apa. Oh! Tolonglah Marina," kata Ally pula. Cuba menyokong kata-kata Michelle.
"Eh, betulkah?" Aku bertanya kepada tukang urut yang sedang mengurut kakiku.
"Ya," kata tukang urut itu. Dia mengangguk perlahan.
"Oh! Malunya aku," aku menutup mukaku yang kemerahan.
"Jadi bagaimana sekarang? Syam atau Norman?" Tanya Michelle.
"Hmm... Aku tidak mungkin dapat menerima Norman semula. Tidak," kataku sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Jadi kau betul-betul serius dengan Syam?"
"Hmmm."
"Itu sahajalah kau ini Marina," ujar Ally. Tidak berpuas hati dengan respons yang aku berikan.
"Shhhhh. Ada panggilan," telefon bimbitku yang sejak dua jam tidak berbunyi berdering.
"Marina. Awak tahu Diana Sinclair akan datang ke Kuala Lumpur sekali lagi bukan?" Suara Daniel berkumandang.
"Diana Sinclair ya? Um..." Mendengar nama Diana Sinclair membuatkan aku tidak senang duduk. Aku tahu dia sememangnya akan datang semula ke kerana beberapa rancangannya sebelum itu terpaksa dibatalkan apabila dia perlu segera pulang ke Amerika Syarikat atas sebab-sebab tertentu.
"Ya. Memang dia akan datang semula, tetapi saya tidak tahu pula bila."
"Dengar cerita dia akan datang minggu hadapan," kata Daniel.
"Minggu hadapan?" Apa yang diberitahu benar-benar buat aku teruja. Sekiranya ada cermin di hadapanku, pasti aku dapat lihat mukaku bersinar-sinar.
"Amboi bukan main suka lagi awak ya," usik Daniel.
"Oh. Jelas sangatkah?" Aku tertawa dengan gelagatku sendiri.
Tamat sahaja perbualan dengan Daniel, dengan perasaan ingin tahu yang berkobar, aku terus mencari maklumat terkini tentang Diana Sinclair. Seperti biasa, khidmat Pak Cik Google digunakan.
Namun carian pertama yang aku jumpa bukan berkenaan kehadiran Diana ke Kuala Lumpur tetapi berkenaan dengan bekas suami Diana, Mirza Adam Sinclair.
YOU ARE READING
Sfera
General FictionJurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!