Bab 23: Robotman

11 0 0
                                    

         Pencarianku itu tidak memakan masa yang lama. Selang beberapa minit selepas aku dan Miss R menemuramah pengunjung-pengunjung dan peserta-peserta yang hadir, ada sesuatu yang berjaya menarik perhatianku.

         "Boleh tahan nampaknya mereka semua ini?" Itulah yang terkeluar spontan dari mulutku apabila mataku terpandang sekumpulan tiga orang lelaki yang aku rasakan mempunyai aura dan karisma yang sangat mempesonakan. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin kerana pakaian mereka yang nampak menonjol berbanding yang lain. Atau pun kerana gaya jalan mereka yang penuh keyakinan. Aku juga tertanya-tanya watak yang mereka bawakan ke festival itu. Walaupun mereka kelihatan menarik di mataku, aku kurang pasti sama ada gaya mereka itu sesuai atau pun tidak untuk dijadikan sebagai material Hey yang diinginkan Daniel kerana kelainan yang mereka tonjolkan seperti tidak mengikut tema karnival.

         Salah seorang daripada mereka tidak berbaju dan hanya mengenakan seluar panjang berwarna hitam dengan contengan tatu di badan. Seorang lagi mengenakan kostum dari watak filem Star Wars iaitu Stormtrooper. Kedua-dua mereka mengapit seorang lelaki berkepala robot yang mengenakan sut kemas berwarna hitam. Daripada ketiga-tiga mereka, aku amat tertarik sekali dengan lelaki berkepala robot itu. Aku merasakan yang gayanya sangat unik dan melucukan. Dari jauh, aku meneliti bahagian kepalanya yang diperbuat daripada kotak berwarna coklat keemasan. Matanya diperbuat dari lampu merah berbentuk lonjong dan bibirnya dilukis dengan cantik sekali. Aku memanggil Miss R dan cuba bertanyakan pendapatnya mengenai mereka.

         "Aku rasa apa yang mereka pakai tidak kena dengan tema karnival inilah," kata Miss R. "Lagi-lagi yang pakai sut Stormtrooper itu. Bukankah itu watak dari filem Star Wars?"

         "Tetapi dia nampak menarik bukan?" Aku menunjuk kepada lelaki berkepala robot itu. Namun, tiada apa-apa respons yang diberi Miss R.

         "Miss R!" Aku separuh menjerit.

         "Ya Marina.....?"

         "Dia... nampak... menarik... bukan?" Aku mengulang soalanku.

         "Ya. Yang berlengging itu ya? Comel!" Miss R mengangkat-angkat keningnya. Dia mengukir satu senyuman nakal.

         "Bukan. Aku maksudkan yang berkepala kotak itu," aku mencubit lembut tangannya.

         "Apa yang comelnya? Muka pun aku tidak nampak."

         "Memanglah. Yang aku maksudkan adalah gaya dia," aku cuba meyakinkan Miss R. Dia kemudiannya mengambil masa beberapa minit untuk menganalisa lelaki itu.

         "Betul juga kata kau. Hanya dia seorang sahaja yang pakai kostum sebegitu hari ini."

         "Jadi apa pendapat kau Miss R?"

         "Okey. Kalau begitu. Aku rasa kita pergi sahaja kepada mereka. Kena tema atau tidak. Itu lain cerita. Nanti kita cuba suruh dia buka kotak itu dari kepala dia. Dari situ nanti baru kita boleh beritahu sama ada dia benar-benar unik atau pun tidak," Miss R menyusun strategi.

         "Kalau tidak unik?"

         "Kalau tidak unik. Kita tidak perlulah masukkan dia dalam Hey."

         "Okey Miss R. Aku setuju!"

        Kami berdua mendekati mereka yang ketika itu sedang sibuk membelek figura-figura Anime menarik yang dipamerkan di salah sebuah gerai pameran.

         "Hai. Kami dari majalah Hey. Boleh kami tanya beberapa soalan?" aku memulakan langkah. Ketiga-tiga mereka mengalihkan perhatian kepada kami.

         "Boleh. Tidak ada masalah," kata lelaki berkepala robot itu, suaranya bergetar seperti sebuah robot elektronik yang aktif. Aku memandang Miss R yang telah bersiap sedia dengan kamera untuk merakam aksi lelaki berkepala robot itu. Kedua-dua belah mata kami terbeliak besar. Kami tidak menyangka yang lelaki itu boleh bersuara seperti robot yang sebenar. Miss R mengangkat ibu jarinya sebagai memberi tanda yang itu material yang baik untuk Hey. Dia menyukainya dan cukup yakin Daniel akan mengizinkan video lelaki itu dimuat naik ke vlog rasmi Hey.

SferaWhere stories live. Discover now