Bab 6: Signal

30 0 0
                                    

          Sambil menunggu Norman yang tidak lagi muncul-muncul di hadapan pintu masuk Sunway Pyramid, aku membelek-belek album Beck bertajuk 'Sea Change' yang baru sahaja dibelikan oleh seorang kawanku yang baharu pulang dari luar negara. Cakera padat itu untuk Norman, tunanganku yang sudah hampir sebulan tidak aku temui.

          Aku duduk berfikir untuk seketika. Memikirkan bagaimana hubungan aku dan Norman boleh bertahan bertahun-tahun lamanya walaupun banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh itu. Aku kembali seketika ke masa silam kami. Perlahan-lahan, aku menyelak satu-persatu memori yang tertulis di halaman-halaman mindaku. Lantas, aku berkonklusi bahawa hubungan aku dan Norman berkekalan sehingga hari ini kerana halwa telinga kami. Maksud aku di sini adalah muzik. Ya! Kerana muzik. Sejak dari dulu lagi kami suka bercakap mengenai muzik. Carta US Billboard, Anugerah Grammy, siapa pecah rekod siapa dan macam-macam lagi yang berkaitan dengan muzik.

          Sepanjang perkenalan kami, aku selalu menghadiahkan rekod-rekod muzik kepadanya. Kadangkala, dia juga menghadiahkan rekod-rekod muzik kepadaku tetapi diselang-selikan dengan buku atau pun novel. Kemudian, kami akan bercakap mengenainya secara mendalam. Itulah yang seringkali menjadi topik perbualan utama kami sejak dari mula lagi. Aku masih ingat lagi rekod pertama yang aku hadiahkan kepadanya iaitu 'Bounce' dari Bon Jovi. Ketika itu, aku sangkakan dia menyukai kumpulan muzik itu dan juga jenis muzik yang dibawa mereka, tetapi rupanya Bon Jovi bukan citarasanya. Norman nyata boleh layan lagu-lagu mereka yang rata-ratanya sedap didengar dan menarik tetapi pada pendapatnya, kumpulan itu tidak berevolusi dan tidak suka dengan cabaran. Tetapi itu hanya pendapatnya, kenyataan bahawa Bon Jovi adalah sebuah kumpulan yang hebat tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Sejak dari itu, aku terus dapat menangkap apa yang diinginkan Norman secara muzikal.

         ''Hmm...'' aku mengeluh sendirian. Norman masih lagi belum sampai. Aku cuba menghubunginya tetapi tidak ada respons yang diberikan. 'Huh! This is very him,' kataku di dalam hati. 'Boleh jadi dia terlupa selok belok jalan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya'. Tetapi itu adalah sesuatu yang mustahil melainkan dia disihir atau dipukul dengan teruk sehingga menyebabkan gegaran otak kerana baru sahaja sebulan dia meninggalkan ibu kota, bukannya setahun. Norman sebenarnya pada ketika itu baru sahaja pulang dari Seychelles atas urusan kerja. Dikenali sebagai seorang pengurus restoran yang cekap, Norman ditugaskan untuk memantau sepasukan tukang masak yang ditempah khas bagi menyediakan makanan selama sebulan untuk krew-krew Baby Bath Production yang terlibat di dalam pengambaran filem Seruan Pulau (di peringkat antarabangsa filem itu dikenali sebagai The Island) arahan pelakon dan pengarah terkenal Hanida Hasry. Hanida juga merupakan pelakon utama di dalam filem itu. Filem itu adalah projek pertama arahannya yang mendapat publisiti meluas dari pihak media.

         Apa yang membuatkan aku beria-ia untuk berjumpa dengan Norman malam itu adalah kerana rasa ingin tahuku yang membara untuk mengatahui apa yang sebenarnya berlaku di Seychelles. Terutama sekali, Hanida Hasry. Faktor utama adalah minat dan faktor kedua adalah kerana cemburu. Ya. Aku mengaku yang aku berasa cemburu. Yalah. Siapa yang tidak cemburu jika tunangannya diminta oleh seorang wanita cantik dan terkenal seperti Hanida semata-mata untuk memantau 'sepasukan tukang masak'!

         "Tidak salah kalau kau menaruh perasaan syak. Jika aku jadi kau, aku juga akan rasa begitu," kata Gina kepadaku tempoh hari apabila aku memberitahunya mengenai hal ini. Walaupun tunang Hanida iaitu Danish Fikri berada di Seychelles kerana dia turut membintangi filem itu, aku masih lagi belum berpuas hati. Tahu-tahu sahajalah, macam-macam boleh terjadi di sana dalam masa sebulan. Tambahan pula, Hanida sendiri yang meminta Norman untuk menemaninya. Bayangkan! Hanida sendiri yang memintanya! Jadi, memang sepatutnya aku mendapatkan penjelasan dari Norman. Aku rasa semua itu tidak keterlaluan bukan?

         "Hai Marina..." kata Norman. Akhirnya dia muncul juga setelah sembilan puluh minit lewat dari masa yang dijanjikan. Wajahnya kelihatan selamba. Seperti tidak melakukan apa-apa kesalahan.

SferaWhere stories live. Discover now